Rajagobal masih kekal jurulatih Harimau Malaya

on Sunday, December 16, 2012

harimau malaysia,jurulatih,rajagobal
                                       


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menaruh kepercayaan kepada Datuk K. Rajagobal untuk membimbing skuad Harimau Malaya.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, badan induk tersebut tetap yakin dengan kredibiliti jurulatih berusia 56 tahun itu dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Terdahulu, masa depan Rajagobal mula mencetuskan tanda tanya selepas skuad kendaliannya gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand pada aksi separuh akhir Khamis lalu.
Bagaimanapun, Azzuddin berkata, para pengkritik khsusunya tidak harus menyalahkan Rajagobal di atas kegagalan tersebut.
Menurut Azzuddin, Rajagobal yang masih terikat kontrak dengan FAM sehingga Disember 2013, harus diberikan sokongan selain mahu pencapaian bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu sebelum ini diambil kira oleh semua pihak.
"Takkan hanya satu kegagalan kita hendak buang Rajagobal yang banyak memberikan sumbangan kepada skuad negara?
"Sebenarnya, kita perlu terus memberikan sokongan kepada jurulatih itu sebagaimana beliau telah membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.
"Sudah adat menang kalah dalam sesuatu pertandingan dan kita harus menyedari bahawa Harimau Malaya tidak boleh sentiasa berada di atas.
"Rajagobal masih kekal sebagai jurulatih skuad kebangsaan sebagaimana kontraknya akan berakhir pada Disember 2013 ini," kata Azzuddin kepada Kosmo! Ahad semalam.
Azzuddin turut melahirkan keyakinan terhadap Rajagobal yang kini mengalih tumpuan memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
"Rajagobal masih memiliki tugas bersama skuad negara yang mana mereka akan beraksi pada pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan.
"Saya yakin dengan pengalaman ketika beraksi pada Piala Suzuki AFF kali ini, beliau akan melakukan 'kerja rumah' sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015," katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap Rajagobal.
"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai... tidak seperti sebelum ini.
"Bagaimanapun, beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad negara," kata Ahmad Shabery di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Credit:kosmo.com.my

Ranking: 5

{ 1 comments... read them below or add one }

lina@happy family said...

Pelatih yang baik harus dipertahankan.


January 1, 2013 at 12:49 PM

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal