Remaja Nekad Terjun Kereta....

on Saturday, March 30, 2013

Remaja diculik nekad terjun kereta



Masjid Tanah: Remaja perempuan berusia 14 tahun menerima tujuh jahitan di kepala akibat cedera selepas nekad terjun dari kereta penculiknya di Kuala Sungai Baru, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, remaja itu bertindak demikian kerana bimbang dengan keselamatannya.
“Remaja perempuan itu nekad terjun selepas individu yang memandu kereta dinaikinya itu enggan menghantarnya pulang seperti dijanjikan dan sebaliknya membawa beliau terus ke arah Kuala Linggi,” katanya di sini, semalam.

Umar Ali berkata, sebelum kejadian remaja itu bersama teman lelakinya yang berusia 17 tahun, dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Perdana Jernih dengan motosikal.

Katanya, motosikal itu kehabisan minyak dan mereka menunggu bapa remaja perempuan datang.

“Sejurus selepas itu, seorang pemandu kereta menawarkan bantuan untuk menghantar mereka pulang.

“Pada mulanya remaja perempuan itu enggan menerima, namun berubah fikiran selepas melihat seorang remaja perempuan di dalam kereta yang dimaklumkan pemandu berkenaan sebagai anaknya,” katanya.
Umar Ali berkata, teman lelakinya itu tidak menyertai mereka kerana menjaga motosikal.

Katanya, pemandu berkenaan tidak menghantar remaja itu balik dengan memberi alasan terlambat menghantar anak perempuannya ke sekolah.

“Lelaki berkenaan terus memandu ke arah Kuala Linggi dan dalam masa sama mula bercakap perkara lucah dengan remaja terbabit.

“Menyedari dirinya tidak selamat, mangsa kemudian nekad terjun dari kenderaan itu selepas 12 kilometer perjalanan,” katanya.

Umar Ali berkata, polis menahan suspek kira-kira jam 5 petang di sekitar Kuala Sungai Baru.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.

Tiga Sekeluarga Lemas Ketika Berkelah Di Pantai Pandak, Chendering

Lemas dipantai pandak chendering,tiga sekeluarga lemas



Kuala Terengganu: Tiga sekeluarga lemas ketika cuba menyelamatkan anak seorang daripada mangsa yang lemas ketika mandi di Pantai Pandak, Chendering, dekat sini, petang tadi.

Mangsa yang lemas ialah Adam Daniel Mohd Hafiedz, 7; bapanya, Mohd Hafiedz Harun, 32, serta bapa saudaranya, Saifuddin Harun, 49, yang tinggal di Kampung Chendering.
Dua lagi mangsa yang terselamat kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Mereka ialah seorang lagi abang Mohd Hafiedz, Burhanuddin Helmi yang bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur serta abang iparnya, Ahmad Idzham Tayyib, 41, yang tinggal di Kuala Ibai, dekat sini.

Semua mangsa termasuk dua yang dirawat di ICU dikatakan ke pantai berkenaan bersama keluarga masing-masing untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.40 petang, apabila Adam yang sedang mandi di pantai berkenaan, tiba-tiba lemas.

Sebaik menyedari Adam lemas, Mohd Hafiedz segera menyelamatkan anak keduanya itu, sebelum diikuti dua lagi abangnya, Saiffuddin dan Burhanuddin Helmi serta abang iparnya.
Bagaimanapun, Mohd Hafiedz dan Saifuddin juga lemas akibat dipukul ombak besar, manakala Burhanuddin Helmi dan Mohd Idzham yang cuba menyelamatkan mangsa, hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang berada di pantai itu.

Jurucakap polis berkata, Mohd Hafiedz dan Saifuddin terkorban ketika cuba menyelamatkan Adam yang lemas akibat dibawa arus deras.

Katanya, ketika berusaha menyelamatkan tiga mangsa terbabit, Burhanuddin dan Ahmad Idzaham turut lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang berada di kawasan pantai berkenaan.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama tujuh ahli keluarga membabitkan 35 orang ke pantai berkenaan untuk berkelah," katanya.

Bapa mentua Mohd Hafiedz, Musa Mohamad, 70, ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ berkata, dia tidak menyangka perjumpaan mereka adik beradik ke pantai berkenaan untuk berkelah berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila tiga daripada mereka, termasuk menantu dan cucu terkorban.

Maut ,Kereta Dihempap Cerucuk Besi Seberat 10 tan

maut dihempap cerucuk besi,cerucuk besi 10 tan di subang


Subang: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas tiang cerucuk besi seberat 10 tan menghempap dua kereta di Jalan Lapangan Terbang Subang, dekat sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, tiang cerucuk besi yang diangkat kren terbabit dikatakan terlepas sebelum menghempap dua kereta yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
Mangsa yang menaiki kereta Hyundai Sonata meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, Nissan Frontier cedera parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, untuk rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu 10 minit selepas insiden dan tiba di tempat kejadian pada jam 7.53 malam.

Beliau berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya serta Petaling Jaya dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

“Ketika tiba di lokasi, tiang cerucuk besi yang tumbang itu menghempap masing-masing sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda.

“Seorang lelaki meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi cedera parah,” katanya kepada BH selepas operasi menyelamat selesai, sebentar tadi.


Bantah Perkahwinan Sejenis

on Tuesday, March 26, 2013

bantah perkahwinan homo,gay dan lesbian


PARIS 25 Mac - Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi membantah draf undang-undang membenarkan perkahwinan sejenis dan kebenaran membolehkan golongan homoseksual mengambil anak angkat.

Tindakan itu diambil selepas beratus-ratus ribu penunjuk perasaan cuba memasuki jalan raya ke Champs-Elysees dan menuju Istana Presiden dalam demonstrasi tersebut.

Penunjuk perasaan terdiri daripada aktivis konservatif, ibu bapa yang membawa anak-anak, pesara dan paderi, berkumpul di ibu negara ini semalam bagi mendesak kelulusan rang undang-undang itu dibatalkan.

Beberapa jam pertama, tunjuk perasaan itu berlangsung dengan aman namun bertukar menjadi ganas apabila kira-kira 100 belia cuba merempuh sekatan polis ke Champs-Elysees.

Keganasan yang berlaku ekoran demonstrasi tersebut mengejutkan pelbagai pihak.

Bantahan itu juga dilihat menjadi medan penunjuk perasaan melepaskan kemarahan dan kekecewaan terhadap kerajaan pimpinan Presiden, Francois Hollande.

Dewan Rendah Parlimen bulan lalu meluluskan rang undang-undang 'perkahwinan untuk semua' sebelum dibentangkan di Dewan Senat bulan depan.

Kedua-dua dewan Parlimen itu didominasi oleh Parti Sosialis pimpinan Hollande dan sekutu-sekutunya.

Demonstrasi bantahan berterusan diketuai pihak berhaluan konservatif, mengurangkan sokongan terhadap draf undang-undang itu beberapa bulan ini dan penganjur tunjuk perasaan tersebut berharap Dewan Senat tidak akan meluluskan rang undang-undang berkenaan. - AGENSI


Mengamuk Selepas Dibelasah Warga Nepal

menyerang asrama warga nepal,rumah pangsa taman cendana



PASIR GUDANG – Kira-kira 1,000 penduduk di rumah pangsa Taman Cendana di sini berang lantas menyerang sebuah blok asrama warga Nepal selepas mereka mencederakan seorang warga emas dengan sebilah pedang samurai di pekarangan sebuah restoran di Jalan Cendana 3 di sini kelmarin.

Kejadian tercetus selepas penduduk dimaklumkan jiran mereka, Anis Ahmad Noor, 57, (gambar kecil) dibelasah 60 warga Nepal yang mabuk.

Akibatnya, Anis terpaksa dikejarkan ke Klinik Penawar di sini dan menerima empat jahitan di kepala dan tujuh jahitan di tangan kiri.

Seorang saksi, Mohd. Nizam Mohd., 39, mendakwa, insiden bermula selepas mangsa membonceng motosikal rakannya, Md. Said Pekir, 67, ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan seorang remaja telah dipukul sekumpulan warga Nepal.

“Tiba di tempat kejadian, warga Nepal berkenaan yang dalam keadaan mabuk terus menyerang mangsa di mana seorang daripadanya membawa sebilah pedang samurai telah melibas kepala dan tangan mangsa.

“Rakan mangsa sempat melarikan diri dan meminta bantuan,” ujarnya ketika ditemui di tempat kejadian.



sumber:kosmo

Pengalaman Baru Dengan Xperia Z

on Sunday, March 24, 2013

sony xperia z waterproof,sony kalis air dan habuk



Pasaran telefon pintar awal tahun ini sangat meriah. Semuanya bermula apabila iPhone 5 keluaran Apple dilancarkan hujung tahun lalu.

Ia kemudiannya disusuli oleh Blackberry yang melancarkan rangkaian Blackberry 10 iaitu Z10 dan Q10. HTC tidak mahu ketinggalan apabila HTC Butterfly sebelum disusuli pelancaran Sony Xperia Z dan terkini Samsung Galaxy S4.

Itu belum lagi jika diambil kira perancangan melancarkan beberapa model baharu dalam tempoh terdepat. Antaranya HTC ONE, Sony Xperia ZL dan tidak mustahil iPhone 5S.

Semua itu berlaku kerana kepentingan telefon pintar hari ini yang memberikan banyak kemudahan kepada pengguna bukan sahaja untuk kerja bahkan untuk hiburan dan kehidupan seharian.

Pada ruangan Gajet kali ini, .com akan memberi sedikit maklumat mengenai telefon pintar terbaharu Sony Xperia Z yang dilancarkan di Malaysia pada awal bulan lalu.

Menggunakan paparan lima inci memberikan kepuasan kepada pengguna untuk melayari Internet, menonton video mahupun bermain permainan video dengan kualiti gambar resolusi penuh.

Paling menarik, Xperia Z ini dilengkapi ciri keselamatan yang tidak kurang hebatnya dengan ciri kalis air dan habuk membuatkan telefon itu lebih tahan dari model lain.

Penggunaan kamera 13 megapiksel dalam mode rakaman mahupun mengambil gambar dengan ciri resolusi penuh membuatkan kamu tidak akan melepaskan peluang merakam segala saat manis.

Menyedari telefon pintar bukan hanya untuk membuat panggilan, pengeluar memberikan nilai tambah kepada fungsi kamera.

Fungsi seperti pemfokusan secara automatik dan pengenalan wajah memberi kamu peluang menggunakan telefon sebagai kamera dengan mudah dan pantas.

Selain itu, fungsi menghantar bahan melalui NFC kian menjadi pilihan pengguna kerana ia membolehkan data dipindahkan dengan mudah, pantas dan di mana-mana sahaja tanpa menggunakan sebarang kabel.

Xperia Z ini turut dikuasakan dengan sistem operasi terbaharu Android Jelly Bean 4.1 yang pantas.

Status Sony yang terkenal dalam pengeluaran muzik dan speaker dimanfaatkan untuk memberikan elemen muzik terbaik pada Xperia Z itu.

Menggunakan ciri speaker sekeliling berdasarkan model Xloud, pengguna pasti terpegun dengan kualiti bunyi Xperia Z.

Ini menjadikan telefon ini telefon pintar terbaik Sony, sebelum syarikat itu memperkenalkan model Xperia ZL sedikit masa lagi dengan ciri yang lebih baik.

Ted Johnson Lahir Tanpa Tulang Kering

on Friday, March 22, 2013

lahir tiada tulang kering,ted johnson



Melbourne: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan tanpa tulang kering, lutut atau buku lali akhirnya mampu memiliki sepasang kasut selepas dipasangkan kaki palsu.

Kaki baru Ted Johnson, 3, mempunyai jari tidak seperti beberapa kaki palsunya yang lain. Minggu ini, dia cuba memakai kaki palsu kaca gentian baru berwarna biru buat kali pertama di gelanggang bola keranjang di Hospital Kanak-Kanak Diraja di Melbourne.


Mesin pengimbas gagal mendedahkan Ted mengalami keadaan yang jarang berlaku tibial hemimelia ketika dalam kandungan ibunya, Abbie.

Di sinilah tibia tulang kering sama ada hilang sebahagian atau sepenuhnya ketika dilahirkan. Kakinya mungkin cacat atau mempunyai jari berlebihan. Keadaan Ted itu bermakna ibu bapanya, Abbie dan Peter terpaksa mengambil keputusan genting agar kakinya dipotong ketika dia berusia setahun.

ted johnson pakai kaki palsu


Kanak-kanak itu sebelum ini dilengkapi dengan dua lagi jenis kaki palsu tetapi ini adalah set kaki palsu pertama lengkap dengan jari kaki.


Dan sebaik saja kaki kaca gentian baru berwarna biru itu dipasang pada Velkro, Ted sudah boleh bergerak. Ibunya berkata: “Dia sangat hebat - tiada apa yang boleh menghalangnya.

“Kami menyangka dia mungkin tidak memerlukannya untuk bergerak, jadi saya tidak percaya betapa hebatnya dia.

Buat pertama kali kami akan membeli kasut untuknya esok.” Pakar protestik, Jim Lavranos yang membuat dan memperbaiki tiga pasang kaki palsu Ted berkata, biasanya kanak-kanak mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk bergerak seiring dengan perkembangan pemanjangan kaki.

“Ted mendapatnya lebih awal daripada yang biasa kami alami kerana dia sangat yakin dan cepat.

Dia akan terbang dengan kaki palsu ini.” - Agensi

Hacker DiHukum Penjara

on Wednesday, March 20, 2013

hacker,penggodam andrew auernheimer,ipad apple inc. hacker


New York: Seorang lelaki dihukum penjara tiga tahun lima bulan kerana menggodam dan mencuri data peribadi 120,000 pengguna iPad Apple Inc.

Antara mangsa termasuk beberapa datuk bandar, seorang penyampai berita televisyen dan tokoh Hollywood.
Andrew Auernheimer, 27, disabit kesalahan pada November lalu oleh juri di Newark, New Jersey membabitkan tuduhan konspirasi mengakses pelayan AT&T Inc tanpa kebenaran, dan satu tuduhan mencuri identiti.

Hukuman yang diputuskan hakim Susan Wigenton hampir dengan tuntutan pendakwa Jabatan Kehakiman supaya dia dipenjara selama 33 hingga 41 bulan.

Pendakwa berkata, hukuman penjara akan membantu menghalang penggodam menceroboh hak peribadi orang ramai di internet.

Antara mereka yang menjadi mangsa aktiviti Auernheimer itu termasuk penyampai berita ABC News, Diane Sawyer; Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg; Datuk Bandar Chicago, Rahm Emanuel dan penerbit filem Hollywood, Harvey Weinstein, kata pendakwa.

“Apabila sedar kesalahannya, Auernheimer mereka cerita bahawa dia cuba untuk menjadikan internet lebih selamat dan apa yang dilakukannya umpama memasuki pintu yang tidak berkunci,” kata pendakwa raya, Paul Fishman dalam satu kenyataan.
“Juri tidak termakan dengan semua itu dan begitu juga hakim ketika menjatuhkan hukuman.”

Auernheimer juga cuba mendapatkan keizinan mahkamah supaya dibebaskan dengan syarat tertentu.

Peguamnya berkata, tiada kata laluan yang digodam dan tempoh penjara lama tidak wajar kerana kerajaan baru-baru ini mendesak hukuman penjara enam bulan bagi seorang defendan dalam satu kes yang lebih serius.

Peguam bela, Tor Ekeland berkata anak guamnya itu akan membuat rayuan. Katanya, Akta Penyalahgunaan dan Pemalsuan Komputer tidak memberikan definisi jelas apakah maksud mengakses secara tidak sah. - REUTERS


Maxis Lancar Pelan BlackBerry Z10

on Saturday, March 16, 2013



Penyedia telekomunikasi pertama bawa masuk model terbaru

Maxis Bhd, muncul penyedia telekomunikasi pertama tempatan yang melancarkan telefon pintar BlackBerry Z10 dengan pelan serendah RM55 sebulan.

Pelanggan syarikat telekomunikasi itu boleh mendapatkan telefon pintar berkenaan di semua Pusat Maxis bermula hari ini.
Ketua Eksekutif Maxis, Sadip Das, berkata syarikat itu berbangga kerana menjadi penyedia telekomunikasi pertama membawa masuk model BlackBerry terbaru ke Malaysia.

“BlackBerry Z10 menjadi titik perubahan dalam sejarah syarikat dengan sistem operasi baru yang direka untuk menetapkan semula standardnya dalam pasaran peranti terminal,” katanya pada pelancaran BlackBerry Z10 itu di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Produk, Peranti, Inovasi dan Perantauan Maxis, T Kugan; Pengarah Urusan bagi Asia Selatan BlackBerry, Hastings Singh; dan Pengarah Negara bagi Malaysia BlackBerry, Annamalai Muthu.

Maxis adalah operator pertama memperkenalkan pelbagai peranti BlackBerry di Malaysia pada 2004 dan terus menerajui pasaran dalam membawa masuk telefon pintar terbaru.

BlackBerry Z10 dilancarkan pada 20 Februari lalu dan boleh ditempah menerusi program pendaftaran Maxis sehari kemudian.
Menerusi BlackBerry Z10, Maxis akan menawarkan tiga pelan terbaik kepada pelanggannya. Pelan pertama dikenali BB More 55 menawarkan komitmen bulanan RM55 dan harga peranti RM1,888 beserta kontrak 12 bulan.

Pelanggan juga boleh memilih pelan BB More 88 dengan komitmen bulanan RM88 dan harga peranti RM1,708 beserta kontrak 12 bulan dan RM1,488 (kontrak 24 bulan).

Bagi pelan BB More 148 pula, pelanggan hanya membayar komitmen bulanan RM148 dengan harga peranti RM1,588 (kontrak 12 bulan) dan RM1,268 (kontrak 24 bulan).

Selain itu, Hotlink juga akan memberi ganjaran kepada pelanggan setia BlackBerry prabayar dengan harga istimewa RM1,888 bagi BlackBerry Z10 bersama data percuma 1.5 gigabait (GB) dengan tawaran itu sah sehingga 30 April ini.
 

Samsung Lancar Galaxy S4

samsung galaxy s4,galaxy s4


NEW YORK: Samsung terus menyemarakkan segmen telefon pintar global apabila syarikat itu melancarkan Galaxy S4 sebentar tadi.

"Untuk setiap individu kehidupan ini adalah satu perjalanan . Apa yang kami mahu tampilkan adalah peranti yang boleh dibawa bersama ke mana saja; atau teman yang dapat membantu kita menjalani kehidupan lebih bermakna," kata Ketua Jabatan Komunikasi Mudah Alih Samsung di sini, sebentar tadi.

Gergasi produk elektronik Korea Selatan itu memperkenalkan siri telefon pintar daripada model Galaxy di Dewan Muzik Bandar Radio menerusi satu majlis berkonsepkan persembahan teater sebagai usaha menampilkan kelainan ketika melancarkan produk baru mereka.

Pada masa sama, Samsung turut mengumumkan model terkini telefon pintar Galaxy S4 akan dipasarkan ke 155 negara pada penghujung April depan.

Galaxy S4 yang menampilkan ciri lebih nipis dan kaya dengan pelbagai aplikasi terkini turut dilengkapi teknologi Definisi Tinggi, saiz skrin pada 12.7 sentimeter serta keupayaannya memahami sembilan bahasa di dunia. - AFP

Suami Mati Pucuk Jika Isteri Bergaji Lebih

isteri bergaji besar dari suami


LELAKI yang memiliki isteri berpendapatan lebih tinggi berkemungkinan besar mengambil ubat perangsang seks kerana kurang bertenaga di bilik tidur, lapor satu kajian.

Penyelidik Denmark dan Amerika Syarikat bermula dengan mengkaji gaji membabitkan data lebih 200,000 pasangan suami isteri. Ia mendedahkan, pil dan ubat bagi mengatasi masalah mati pucuk lain lebih popular di kalangan pasangan yang isteri menerima gaji lebih tinggi.

Kesannya juga dapat dilihat pada keluarga yang isteri memiliki pendapatan cuma sedikit lebih tinggi daripada suami.

Kajian yang dijalankan oleh seorang profesor di Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS), Lamar Pierce mendapati, perbezaan gaji antara suami dan isteri tidaklah terlalu ketara dan dilaporkan lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi cenderung mengambil ubat perangsang seks sebanyak 10 peratus.

"Malah perbezaan kecil dalam pendapatan dikaitkan dengan risiko besar penggunaan ubat mati pucuk apabila wanita menjadi penyumbang utama dalam rumah tangga berbanding lelaki.

"Perbezaan gaji sebanyak £10,000 (RM47,095) yang memihak kepada wanita, menggandakan penggunaan ubat seks. Menariknya, fenomena itu tidak dilihat pada pasangan yang selalunya memiliki pendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, ia terhad kepada perkahwinan yang isteri mengambil alih kedudukan itu daripada suami.

"Ia menunjukkan rasa hilang harga diri menjadi punca keadaan itu," lapor Pierce yang diterbitkan dalam Buletin Personality and Social Psychology baru-baru ini.

Wanita beri nafkah

Pierce memberitahu, peningkatan wanita menjadi penyumbang utama rezeki mencabar peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah dan meletakkan mereka di bawah tekanan psikologi.

"Kehendak seksual lelaki dikaitkan dengan budaya dan faktor sosial seperti kuasa bapa, wang dan rangkaian sosial. Keadaan itu boleh menyebabkan lelaki sukar terangsang atau (alat kelamin) tidak berfungsi apabila mendapati peranan tradisi mereka dirampas.

"Kemarahan dan kekecewaan juga boleh membawa kepada masalah seksual serius seperti mati pucuk," ujarnya.

Dalam tempoh 20 tahun lalu, peratusan isteri di AS yang bergaji tinggi meningkat daripada empat peratus kepada 22 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan.

Kajian terbaharu itu memfokuskan kepada dua kategori data iaitu maklumat demografi dan preskripsi ubatan untuk populasi berkenaan. Berdasarkan data yang diperoleh pada tahun 1997 hingga 2006, sebanyak 569,000 pasangan berumur lingkungan 25 hingga 49 tahun, kedua-duanya bekerja secara sepenuh masa.

Kata Pierce, lelaki yang bergaji rendah menerima kesan psikologi disebabkan perbezaan pendapatan. Sebagai contoh, Pierce mendapati bahawa lelaki yang mempunyai isteri bergaji tinggi lebih cenderung mengambil ubat-ubatan untuk insomnia dan kemurungan berbanding situasi di mana lelaki adalah sebagai pencari nafkah utama.

Kajian turut dijalankan oleh profesor pemasaran di Universiti Minnesota Carlson School of Management, Kathleen Vohs yang mendapati, terdapat dua penjelasan yang mungkin iaitu ia mengancam lelaki untuk menjadi lebih baik daripada isteri mereka dan ancaman yang dibawa sepanjang jalan ke bilik tidur.

"Satu lagi penjelasan ialah suami mungkin menggunakan ubat perangsang seks sebagai satu cara untuk menjamin bahawa dia tidak tertekan ketika di bilik tidur," jelasnya yang menjalankan penyelidikan terhadap kesan pendapatan pada psikologi manusia.

Ujar Pierce, ramai lelaki berbangga mempunyai pasangan yang berpendapatan lebih. Bagaimanapun, ia adalah penting bagi pasangan untuk berfikir tentang perkara itu sebelum mereka berkahwin, dan untuk berkahwin dengan seseorang yang mempunyai potensi pendapatan yang lebih pada masa sekarang dan hadapan.

Kerjasama Strategik Promosi Produk Halal

promosi produk halal


SUNGAI PETANI - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran mengadakan kerjasama strategik dengan Jabatan Agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam negeri dalam mempromosi produk halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendekatan itu boleh dilakukan menerusi penganjuran Karnival Halal pada skala lebih besar dan luas.

Katanya, strategi itu mampu menjadikan Karnival Halal satu jenama besar dan dikenali.

"Ia seperti penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia yang menerima sambutan hangat dengan 2.5 juta pengunjung.

"Karnival halal ini menjadi batu loncatan untuk melihat (jenama) halal dalam konteks atau skala lebih besar. Saya harap program ini tidak bersifat sekali-sekala sebaliknya berkonsepkan tahunan," katanya selepas merasmikan Karnival Halal Kedah 2013 di pekarangan Amanjaya Mall di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Nafisah Abdullah, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff.

Karnival tiga hari itu dianjurkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com manakala Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi.

Menurut Jamil Khir, penganjuran karnival halal diharap dapat dimanfaatkan dengan pengisian pelbagai acara seperti program keagamaan dan hebahan maklumat.

"Penganjur juga boleh mengadakan karnival kerjaya melibatkan agensi agama atau jabatan lain. Mungkin bukan pada skala besar tetapi bersifat negeri untuk berkongsi maklumat mengenai kekosongan jawatan seperti bidang perladangan atau perhotelan," katanya.

Beliau berkata, masyarakat termasuk bukan Islam amat meyakini produk-produk berasaskan jenama halal bukan hanya terikat kepada produk berasaskan makanan tetapi juga perubatan dan minyak pelincir.

"Ada orang bertanya saya mengenai besi yang dimasukkan dalam anggota badan sama ada halal atau tidak. Ini bermakna produk halal ada tambah nilai untuk bisnes," katanya.

Sementara itu, dua syarikat pengeluar makanan dari Kedah memperoleh sijil halal Jakim yang disampaikan oleh Jamil Khir.

Dua syarikat tersebut adalah Saujania Sdn. Bhd. dari Taman Perindustrian Sungai Petani dan Thong Sheng Food Technology dari Bandar Putra, Kulim.

Sijil berkenaan diterima Eksekutif Jaminan Kualiti Saujania Sdn. Bhd., Noor Najiha Yusoff sementara Thong Sheng Food Technology diwakili Pengarah Urusannya, Chew Chin Weng.

Caj Lesen Memandu OKU Dimansuh

caj lesen oku mansuh



MANJUNG - Berkuat kuasa semalam, orang kelainan upaya (OKU) di seluruh negara yang memiliki lesen motosikal tidak lagi dikenakan bayaran pembaharuan, sebaliknya hanya dikenakan caj nominal RM2.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sebelum ini, OKU perlu membayar kadar bayaran yang sama seperti pemilik lesen memandu lain iaitu RM20 bagi motosikal dan RM30 untuk kereta.

Bagaimanapun jelas beliau, pemansuhan bayaran pembaharuan lesen memandu kereta untuk OKU hanya berkuat kuasa pada 1 Mei depan bagi membolehkan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dinaik taraf.

"Selain itu, OKU yang ingin mengambil ujian memandu (Lesen L), bayaran RM10 yang dikenakan (JPJ) sebelum ini dimansuhkan dan mereka boleh (menduduki) ujian secara percuma.


sumber:kosmo

Empat Maut Kemalangan Di KM 17 Jln Lipis - Merapoh

kemalangan maut lipis - merapoh

 KUALA LIPIS, 14 Mac - Empat maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Km 17, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini tengah malam Khamis.

Dalam kejadian 12.30 malam itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan bertembung dengan kereta jenis Honda City yang datang dari arah bertentangan.
 Empat yang terbunuh merupakan penumpang kereta iaitu Nur Hamira Baharum, 24; Hasnah Che Hussin, 66;
 Nik Eryna Nik Ahmad, setahun; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Yanti, 20-an, manakala penumpang dan pemandu bas tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan memberitahu pemberita di sini hari ini, siasatan awal polis mendapati kereta terbabit hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

 "Pemandu kereta terbabit (belum dikenal pasti) dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan (belum dikenal pasti) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh," katanya.

 Beliau berkata semua yang mati dan cedera itu dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan. Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BERNAMA

Amerika Syarikat Dan Seoul Didakwa Lancar Serangan Siber


SEOUL: Korea Utara semalam mendakwa Amerika Syarikat dan Korea Selatan melakukan serangan siber secara berterusan dan intensif terhadap halaman rasminya sejak beberapa hari lalu.

 Beberapa halaman web rasmi Korea Utara termasuk Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), akhbar harian Rodong Sinmun dan penerbangan Air Koryo tidak dapat dimasuki sejak Rabu.

 “Pelayar internet dikendalikan republik kami menjadi mangsa serangan siber harian yang dilakukan secara berterusan dan intensif,” kata KCNA yang menjelaskan bahawa masalah itu berkebetulan dengan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

 Tuduh Amerika Syarikat Dengan menuduh Amerika Syarikat serta bonekanya, Korea Selatan menjalankan perang siber, KCNA berkata serangan itu bersifat pengecut dan tindakan keji berikutan ketakutan. Ketegangan ketenteraan di semenanjung Korea meningkat secara dramatik sejak Korea Utara menjalankan ujian nuklear ketiganya bulan lalu.

 Pyongyang memberi maklum balas terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan latihan ketenteraan bersama itu sebagai ancaman perang disokong senjata nuklear.
“Kami tidak akan biarkan perang siber seperti ini oleh musuh yang sudah mencapai tahap melulu dan melampau,” kata KCNA.

 Tiada maklum balas segera dari kerajaan Korea Selatan terhadap dakwaan pembabitan mereka. - AGENSI

CHATBOX


Sitemap

on Friday, March 15, 2013

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal