Kerjasama Strategik Promosi Produk Halal

on Saturday, March 16, 2013

promosi produk halal


SUNGAI PETANI - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran mengadakan kerjasama strategik dengan Jabatan Agama Islam negeri dan Majlis Agama Islam negeri dalam mempromosi produk halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendekatan itu boleh dilakukan menerusi penganjuran Karnival Halal pada skala lebih besar dan luas.

Katanya, strategi itu mampu menjadikan Karnival Halal satu jenama besar dan dikenali.

"Ia seperti penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia yang menerima sambutan hangat dengan 2.5 juta pengunjung.

"Karnival halal ini menjadi batu loncatan untuk melihat (jenama) halal dalam konteks atau skala lebih besar. Saya harap program ini tidak bersifat sekali-sekala sebaliknya berkonsepkan tahunan," katanya selepas merasmikan Karnival Halal Kedah 2013 di pekarangan Amanjaya Mall di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Datuk Nafisah Abdullah, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff.

Karnival tiga hari itu dianjurkan Jakim dan Jabatan Agama Islam Kedah dengan kerjasama DagangHalal.com manakala Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi.

Menurut Jamil Khir, penganjuran karnival halal diharap dapat dimanfaatkan dengan pengisian pelbagai acara seperti program keagamaan dan hebahan maklumat.

"Penganjur juga boleh mengadakan karnival kerjaya melibatkan agensi agama atau jabatan lain. Mungkin bukan pada skala besar tetapi bersifat negeri untuk berkongsi maklumat mengenai kekosongan jawatan seperti bidang perladangan atau perhotelan," katanya.

Beliau berkata, masyarakat termasuk bukan Islam amat meyakini produk-produk berasaskan jenama halal bukan hanya terikat kepada produk berasaskan makanan tetapi juga perubatan dan minyak pelincir.

"Ada orang bertanya saya mengenai besi yang dimasukkan dalam anggota badan sama ada halal atau tidak. Ini bermakna produk halal ada tambah nilai untuk bisnes," katanya.

Sementara itu, dua syarikat pengeluar makanan dari Kedah memperoleh sijil halal Jakim yang disampaikan oleh Jamil Khir.

Dua syarikat tersebut adalah Saujania Sdn. Bhd. dari Taman Perindustrian Sungai Petani dan Thong Sheng Food Technology dari Bandar Putra, Kulim.

Sijil berkenaan diterima Eksekutif Jaminan Kualiti Saujania Sdn. Bhd., Noor Najiha Yusoff sementara Thong Sheng Food Technology diwakili Pengarah Urusannya, Chew Chin Weng.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal