Polis Dan Tentera Mengundi Awal

on Tuesday, April 30, 2013

polis,tentera mengundi


KUALA LUMPUR - Seramai 272,387 orang anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan pasangan masing-masing menjalankan kewajipan mereka sebagai rakyat menerusi pengundian awal hari ini.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria (gambar), sebanyak 544 pusat mengundi yang melibatkan 882 tempat mengundi di ibu pejabat polis dan kem tentera telah disediakan untuk tujuan tersebut.

"Untuk pengundian awal ini, pengundi-pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk tangan kiri dan dakwat kekal ini adalah berbeza warnanya berbanding pengundian biasa.

"Bagi maksud menjalankan pengundian awal itu, SPR telah menyediakan sebanyak 10,000 botol dakwat kekal," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Pengundian awal adalah satu proses penambahbaikan SPR bagi menggantikan amalan undi pos yang dilaksanakan dalam pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, hanya anggota polis, PGA dan tentera yang bertugas di perbatasan atau pada hari pengundian masih perlu mengundi secara pos.

Selain itu, kemudahan undi pos turut diberikan kepada petugas media, kakitangan SPR, kakitangan awam yang sedang berkhidmat di luar negara bersama pasangan.

Pelajar sepenuh masa yang belajar di institut pengajian tinggi di luar negara serta pasangan turut diberikan kemudahan undi pos.

Kamaruddin menjelaskan, pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat-peringkat bergantung kepada bilangan pengundi hingga pukul 7 petang.

"Proses pengundian awal akan disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan termasuk pemerhati tempatan daripada 17 pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR turut mendapat kebenaran masuk ke pusat pengundian daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

Jelas beliau, kertas undi tidak akan dikira di saluran atau tempat mengundi, sebaliknya akan disimpan di tempat selamat seperti di lokap polis.

"Kertas undi itu hanya akan dikira pada jam 4 petang pada hari pengundian biasa 5 Mei ini," ujarnya.

Dalam pada itu, pengundian secara pos di luar negara membabitkan 6,339 pengundi di 103 perwakilan negara di seluruh dunia selesai semalam.

Timbalan Pengerusi (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah keluar mengundi tinggi biarpun pihaknya belum menerima peratusan rasmi mengenainya daripada semua kedutaan terlibat.

"Kita jangka kesemua undi pos dijangka dapat sampai ke tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini," katanya.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal