Peraih Ikan Balik Solat Mati Ditembak

on Saturday, May 25, 2013

mati ditembak di pasir putih


Pasir Puteh: Seorang peraih ikan yang baru keluar dari Masjid Nurul Anuar, di Kampung Pachakan di sini, selepas solat Isyak, maut ditembak lelaki bermotosikal dalam kejadian malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, berkata Zahari A Razak, 57, dari Kampung Pachakan, meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan awal forensik menemui satu kesan tembakan di belakang badan sebelah kiri mangsa.
Beliau berkata, suspek dipercayai melepaskan lima das tembakan namun hanya satu mengenai mangsa yang ketika itu memandu kereta berseorangan.

Mangsa keluar minum

“Selepas solat Maghrib, mangsa bersama tiga jemaah keluar minum di kedai berhampiran sebelum masuk semula ke masjid untuk solat Isyak.

“Pada jam 8.50 malam selepas solat, mangsa dilihat memandu kereta keluar dari kawasan masjid dipercayai untuk pulang dan sebaik melepasi pintu gerbang masjid beliau ditembak seorang lelaki bermotosikal yang dipercayai sedia menunggu di pintu pagar.

“Ada tiga kesan tembakan ditemui pada cermin pintu bahagian penumpang depan, satu ditemui pada tepi pintu yang sama dan satu lagi di bahagian bawah pintu,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Isteri mangsa, Asiah Taib, 55, ketika ditemui berkata, walaupun suaminya kurang sihat akibat penyakit kencing manis, beliau tetap menggagahkan diri untuk bersolat jemaah di masjid berkenaan.

“Arwah pergi masjid kira-kira jam 7 malam dan memandangkan dia berpuasa, saya bekalkan sedikit kuih dan air masak untuknya berbuka di masjid.

“Malah, beliau sempat memaklumkan kepada saya akan pulang awal sebaik solat Isyak kerana mahu makan dan tidur awal untuk menunaikan solat sunat pada awal pagi,” katanya yang bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenainya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, Rajab Yusoff, berkata dia terkejut apabila terdengar bunyi tembakan tidak jauh dari kawasan masjid sebelum ternampak kereta dipandu arwah terbabas.

Sempat ajar mengucap

“Saya dan seorang rakan terus bergegas mendapatkan mangsa dan mendapati beliau sudah terkulai di tempat duduk pemandu dalam keadaan berlumuran darah. Namun kami sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal