Ibu Maut Nahas 4 Kenderaan

on Friday, June 21, 2013

nahas 4 kenderaan,ibu maut

Kereta dinaiki mangsa gagal elak 2 kereta berlanggar

Port Dickson - Seorang suri rumah maut, manakala suami dan anaknya cedera dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer 17 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, dekat sini malam kelmarin.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan turut dilaporkan di Kilometer 253 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Seremban, kira-kira 4.30 pagi semalam yang menyebabkan tiga warga Singapura menaiki sebuah ambulans dari Hospital Taiping, Perak untuk ke negara itu, parah. Turut cedera dua lelaki yang menaiki sebuah kereta berasingan.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 11.15 malam di sini, Ridhawati Redzuan, 39, maut serta-merta, manakala suaminya, Hambali Husin, 39, parah, namun anak lelaki mereka, Mohamad Ashraf, 6, hanya cedera ringan.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat, Hambali pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), manakala Ashraf dihantar ke HPD.

Menurut polis, keluarga itu dalam perjalanan dari Johor ke sini apabila PROTON Saga dinaiki tiga beranak berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak dua kereta PERODUA Myvi di depan yang terlebih dulu berlanggar, lalu berpusing beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Sebuah PROTON Wira yang berada di belakang kenderaan mangsa bagaimanapun sempat mengelak daripada melanggar kereta tiga beranak itu, tetapi terbabas dan turut melanggar pembahagi jalan. Sebuah daripada PERODUA Myvi terbabit pula terus meninggalkan tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi Myvi dihantar ke HPD oleh rakannya.

“Pemandu PROTON Wira yang terbabas pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tiga warga Singapura parah

Kejadian kedua kira-kira jam 4.30 pagi semalam di Seremban pula menyebabkan lima lelaki termasuk tiga warga Singapura parah. Warga Singapura itu dikenal pasti sebagai pemandu, doktor dan pesakit yang menaiki ambulans milik sebuah hospital negara berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke negara mereka dari Hospital Taiping, Perak.

Dua lelaki yang turut parah ialah pemandu dan penumpang warga tempatan yang menaiki sebuah Toyota Altis. Bagaimanapun, seorang jururawat wanita, juga warga Singapura yang turut menaiki ambulans terbabit hanya cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, dua kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Nissan Almera dan PERODUA Alza yang semuanya menghala ke selatan, namun pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan itu hanya cedera ringan.

“Kita masih menyiasat kejadian berkenaan yang turut menyebabkan PERODUA Alza terbabit hangus terbakar sebelum dipadamkan pihak bomba,” katanya sambil menambah, semua mangsa dihantar ke HTJS dan keadaan mereka dilaporkan stabil.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal