Pahang Vs Johor DT - Jaminan Kawalan Lebih Ketat

on Saturday, June 1, 2013

pahang vs johor dt kecoh

Kuala Lumpur - Tahap keselamatan di Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditingkatkan menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) yang ditukar waktu perlawanan dari jam 4.15 petang kepada 8.45 malam esok.

Selain pemeriksaan lebih ketat di setiap pintu masuk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama pihak polis akan mengadakan pemeriksaan mengejut di dalam stadium dari masa ke masa sepanjang perlawanan.
Waktu perlawanan ditukar ke sebelah malam selepas tahap pencahayaan lampu limpah di stadium ketika diperiksa pegawai FAM semalam, didapati memuaskan.

Tiada tiket palsu

Aspek keselamatan ketika perlawanan kembali menjadi perhatian selepas insiden yang berlaku di Stadium Darul Makmur Rabu lalu yang menyaksikan penonton yang melebihi kapasiti stadium masuk hingga ke tepi padang sebelum balingan objek dari luar stadium memaksa perlawanan antara Pahang dan Johor DT terpaksa ditunda.

Menurut Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud, insiden berkenaan berlaku kerana tindakan segelintir penonton yang memecahkan empat pintu masuk stadium, bukan kerana cetakan tiket palsu seperti dihebahkan.

Kami tidak menerima sebarang laporan dari polis atau Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkenaan penjualan tiket palsu, kata Ahmad Fuad. Insiden yang berlaku semalam (kelmarin) berpunca dari empat pintu yang ditolak dan mangga dibuka.

Kehadiran penonton

Ahmad Fuad turut menolak kemungkinan perlawanan tertunda itu akan dilangsungkan di stadium kosong seperti dicadangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam.

Jawatankuasa pertandingan tempatan sudah memutuskan berkenaan perkara itu semalam (kelmarin), ia adalah muktamad (bermain dengan kehadiran penonton) kecuali jawatankuasa eksekutif memutuskan sebaliknya, kata Ahmad Fuad.

Tetapi memandangkan masa amat singkat dan kebanyakan pegawai tinggi FAM berada di Mauritius menghadiri Kongres FIFA, saya rasa tidak mungkin akan ada perubahan.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal