Tauke Bengkel Kena Tembak

on Wednesday, June 5, 2013

tauke bengkel ditembak

Taiping - Seorang pemilik bengkel kereta maut, manakala rakannya cedera ditembak lelaki bertopeng di sebuah restoran yang dipenuhi pelanggan di Taman Kota Jaya, Simpang dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berusia 36 tahun sedang bersarapan apabila dua lelaki menaiki motosikal tiba di situ sebelum seorang daripadanya memasuki restoran berkenaan dan melepaskan tiga das tembakan dari jarak dekat yang mengenai leher mereka.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Polis, Yusuf Mohd Diah, berkata seorang mangsa terbabit, K Govintaraju meninggal dunia di Hospital Taiping, manakala rakannya, S A Manivannan yang bekerja di sebuah kilang tayar, masih dirawat di hospital sama.

“Kejadian berlaku apabila salah seorang lelaki bermotosikal itu masuk ke dalam restoran berkenaan dan menuju ke arah kaunter, lantas berpusing dan mengeluarkan pistol dari bahagian pinggangnya sebelum melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa yang sedang bersarapan di meja berhampiran.

Suspek melarikan diri

“Tembakan itu mengenai tepat di leher Govintaraju, manakala rakannya kena sipi bahagian leher.

“Penjenayah terbabit melarikan diri dengan membonceng motosikal ditunggang rakannya yang menunggu tidak jauh dari tempat kejadian, sebelum memecut ke arah lokasi tidak dapat dipastikan,” katanya, di sini, semalam.
Ketika kejadian, Yusuf berkata, ada kira-kira lapan orang lain sedang bersarapan dalam restoran berkenaan dan kedua-dua mangsa dihantar oleh rakan mereka ke Hospital Taiping dengan menaiki kereta.

Siasat motif kejadian

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, polis kini memburu dua penjenayah terbabit serta berharap orang awam yang ada maklumat mengenai kejadian itu dan suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8080222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal