Francois-Henri Pinault Serah Dua Arca Bersejarah China

on Sunday, June 30, 2013

arca tembaga bersejarah china


BEIJING - Seorang bilionair di Perancis, Francois-Henri Pinault menyerahkan semula dua buah arca tembaga yang dirampas daripada Istana Musim Panas Beijing ketika Perang Candu kedua pada tahun 1860, kelmarin.

Dua buah arca berbentuk kepala haiwan berusia 150 tahun itu pernah menimbulkan kontroversi pada 2009 apabila ia dilelong oleh firma lelongan Christie oleh Pierre Berge.

Pierre Berge merupakan rakan kongsi kepada pereka fesyen terkenal Perancis, mendiang Yves Saint Laurent yang meninggal dunia pada tahun 2008.

Sebelum itu, arca berupa kepala arnab dan tikus tersebut adalah milik Yves Saint Laurent.

Seorang wakil daripada China pada awalnya telah mendahului bidaan dengan tawaran harga AS$18.2 juta (RM57.5 juta) untuk setiap satu arca tersebut.

Bagaimanapun dia kemudian enggan membayarnya atas alasan artifak itu adalah sebahagian daripada warisan negara dan telah dibawa keluar secara haram.

Pinault mendedahkan bahawa dia telah memiliki dua arca tembaga daripada Berge dan akan menyerahkannya kembali kepada China. Bilionair itu berbuat demikian pada Jumaat lalu pada satu majlis yang berlangsung di Muzium Nasional China dekat Dataran Tiananmen, China. - AFP


Tawar Layanan Serendah Rm10 - 16 Gadis Vietnam Ditahan

16 gadis vietnam ditahan


KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai pelayan dengan bayaran serendah RM10 dikesan beroperasi di kawasan Kepong di sini.

Difahamkan, pelayan warga Vietnam itu dibawa masuk ke negara ini dan diupah bekerja sebagai tarikan supaya pengunjung lelaki memilih premis tersebut untuk berhibur sehingga lewat malam.

Kegiatan tidak bermoral itu bagaimanapun terbongkar apabila sepasukan polis daripada cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu premis itu pada pukul 8.45 malam kelmarin.


Perlawanan Akhir Piala FA 2013

on Saturday, June 29, 2013

piala fa 2013 akhir,johor dt vs kelantan

Kuala Lumpur - Kelantan diramal mampu mempertahankan kejuaraan Piala FA ketika berdepan Johor Darul Takzim (DT) pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Selain berpengalaman dalam tiga aksi final piala itu, Kelantan mempunyai kelebihan kerana dibarisi pemain handalan seperti Badhri Radzi, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad, Obinna Nwaneri, Dickson Nwakamae dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang mampu mengatasi cabaran anak buah Fandi Ahmad.

Bagi saya kedua-dua pasukan sama hebat tetapi Kelantan mempunyai pengalaman beraksi di pentas final di mana ini akan membantu mereka untuk menangani cabaran dari Johor DT,” Datuk M Karathu, bekas jurulatih Kelantan

Johor DT sebaliknya, walaupun dibarisi pemain bintang seperti Norshahrul Idlan Talaha, Leonel Nunez, Nurul Azwan Roya, Andrezinho dan Safee Sali, terpaksa akur dengan ketiadaan pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang digantung perlawanan.

Faktor Mat Yo, Awe

Bagaimanapun, faktor Matyo (Norshahrul) dan Awe (Nurul Azwan) - dua bekas pemain Kelantan yang berhijrah ke Johor musim ini - mampu menampilkan kejutan kerana kedua-duanya bersemangat untuk membuktikan sesuatu bersama pasukan baru.

Apapun aksi di atas padang akan menentukan keputusan, bukan apa yang tertera di atas kertas. Percaturan jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dan jurulatih Johor DT, Fandi, serta kemampuan anak buah masing-masing melaksanakan arahan bakal menjadi penentu pasukan mana muncul juara malam ini.

Jurulatih Tentera, B Sathianathan, berkata kelebihan berpihak kepada Kelantan kerana mereka mempunyai pengalaman beraksi di pentas final dan masih segar dengan kejayaan menjulang trofi tahun lalu.

“Sekalipun Johor mempunyai ramai pemain berbakat, mereka tidak pernah beraksi di pentas final sebelum ini dan ia agak menyukarkan mereka.

“Perlawanan pasti sengit dan hebat. Saya rasa ia akan berlanjutan hingga sepakan penalti,” katanya semalam.

Bagi jurulatih Pahang, Dollah Salleh, kedua-dua pasukan sama hebat dan ada kelebihan masing-masing, tetapi jika berpandu kepada pengalaman, ia memihak Kelantan kerana ini kali ketiga mereka ke final.

“Tidak boleh dinafikan, pengalaman itu akan banyak membantu mereka pada perlawanan itu nanti. Selain itu, Johor DT saya rasa bakal berdepan masalah terutama di bahagian pertahanan dengan ketiadaan Aidil Zafuan Abd Razak yang digantung perlawanan,” katanya.

'Serangan Johor DT, Kelantan seimbang'


Datuk M Karathu , bekas jurulatih Kelantan, berkata jika dilihat di bahagian serangan, Johor DT dan Kelantan tampak seimbang.

“Johor DT mempunyai Norshahrul yang berada pada kemuncak prestasinya, Safee dan Nunez. Kelantan pula mempertaruhkan Indra Putra, Norfarhan dan Faiz Subri.

Sama hebat

“Bagi saya kedua-dua pasukan sama hebat tetapi Kelantan mempunyai pengalaman beraksi di pentas final di mana ini akan membantu mereka untuk menangani cabaran dari Johor DT,” katanya.

Jurulatih Harimau Muda B, Razip Ismail, berkata berdasarkan pengalaman, sudah tentu Kelantan mempunyai kelebihan kerana pernah beraksi di pentas final.

“Namun, itu tidak boleh dijadikan sandaran pada kali ini. Saya memilih Johor DT untuk menang.

“Ini kerana ada antara pemain mereka seperti Norshahrul dan Nunez yang boleh mengubah final kali ini untuk menjadi juara. Saya menjangkakan Johor DT akan menjadi juara musim ini dengan kemenangan 2-1,” katanya.


Rumah Baru Dibeli Penuh Sampah

on Friday, June 28, 2013

rumah sampah,london

London - Seorang tuan rumah terkejut mendapati rumah yang dibelinya dengan harga £450,000 (RM2.25 juta) menerusi satu lelongan berisi sampah sarap setinggi lebih satu meter setengah yang berlonggok selama bertahun-tahun.

Pemaju hartanah Mehmet Koch, 33, membeli rumah teres empat tingkat itu di utara London untuk dijadikan pelaburan bersama adiknya, Abbas.


Pasangan tua yang tinggal di situ sebelum ini tidak membenarkan Mehmet memasuki rumah itu sebelum dia membelinya. Apabila dia memperoleh kunci baru-baru ini, Mehmet terkejut mendapati rumah itu begitu semak sehingga dia tidak boleh menaiki tangga ke tingkat atas.

Mehmet yang syarikatnya, Kaya Properties memiliki 10 rumah di sekitar London, terkejut apabila membuka pintu rumah yang terletak di Finsbury Park itu.


“Saya sangka saya bermimpi. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Kami berkata sesama sendiri, Bagaimana kami hendak membersihkannya,” kata Mehmet.


Setiap bilik penuh dengan baju lama, beg beli-belah, pembungkus yang terbiar dan surat khabar lama setinggi paras bahu.

Mehmet tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas kerana ia juga penuh dengan sampah.


Lebih buruk lagi, rumah empat tingkat berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik atau gas dan berbau busuk.

“Kami simpati kepada mereka yang menetap di rumah ini sebelum ini. Bagaimana mereka boleh tinggal dengan keadaan seperti ini dalam abad ke-21?” kata Mehmet.


Menurut jiran, sepasang suami isteri berusia 70-an yang tidak bergaul dengan orang ramai menetap di rumah itu sejak 1960-an.


“Kami menjenguk rumah itu dari luar tetapi pasangan berkenaan yang tinggal di dalam tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya mengguna satu atau dua bilik rumah itu. Taman di luar dah macam hutan,” katanya. - Dailymail


Pelakon Direman Bantu Siasatan Kes Dadah

pelakon direman kes dadah

Kuala Lumpur - Berang gambarnya dirakamkan, seorang pelakon lelaki cuba menyerang seorang jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Majistret Ampang, semalam.

Insiden berlaku jam 12 tengah hari ketika pelakon terbabit dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas polis memperoleh perintah reman ke atasnya.

Turut direman tiga hari semalam ialah lima rakannya, termasuk dua wanita yang semuanya berusia antara 27 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan dadah.

Empat positif dadah

Semua mereka ditahan di sebuah unit kondominium di Bukit Antarabangsa, pada satu operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ampang Jaya, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Pemeriksaan polis di sebuah bilik kondominium itu menemui satu paket syabu seberat 4.7 gram dan hasil saringan awal ujian air kencing mendapati empat lelaki terbabit positif dadah methaphetamine.

Ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah semalam, pelakon berumur dalam 30-an itu dilihat cuba menumbuk jurugambar berkenaan tetapi tumbukannya terkena pada kamera dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi mengesahkan penahanan reman keenam-enam mereka.

Mereka ditahan reman sehingga esok bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

Pada 11 Mac 2010, pelakon terbabit yang juga anak kepada seorang pelakon terkenal ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur, selepas disyaki mengedar dadah.

Dia yang pada masa itu dikesan memiliki dadah syabu seberat 0.24 gram, kemudiannya dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.

Selepas lebih setahun dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, dia dikenakan hukuman denda RM5,000 dan dibebaskan tanpa syarat, pada Januari 2010.


Masjid Diconteng Lambang Nazi

on Thursday, June 27, 2013

masjid di london diconteng lambang nazi,diceroboh

London - Polis memburu samseng yang memecah masuk sebuah masjid awal pagi semalam dan membuat contengan lambang Nazi pada bangunan itu.

Kebiadapan itu dikesan pada Masjid Redditch Central di Worcestershire selepas anggota polis menyiasat laporan berlaku pencerobohan di situ jam 4.30 pagi.


Penceroboh dipercayai memecah masuk ke kawasan masjid yang masih dibina itu kira-kira jam 2 pagi sebelum menggunakan cat yang ada untuk menyembur mesej kebencian.

Polis masih mengawal masjid di Jalan Jinnah itu ketika anggota forensik menjalankan siasatan.


Tidak dapat dipastikan jika ada barang lain dicuri ketika kejadian. Sementara itu pegawai polis West Mercia, Kevin Purcell berkata selama ini hubungan antara komuniti Muslim dan penduduk setempat berlangsung dengan amat baik.


“Disebabkan beberapa kejadian seperti ini berlaku di seluruh negara, anggota polis diarah berkawal dengan lebih ketat dan kejadian sebegini tidak boleh diterima,” katanya.

Purcell berkata, dia akan mengatur mesyuarat dengan pengerusi masjid, pemimpin setempat dan Kumpulan Penasihat Bebas bagi memastikan semua pihak komited mengelak sebarang serangan seumpama itu berulang.


Grafiti kebencian perkauman itu bukan yang pertama berlaku di masjid berkenaan.

Pada Julai 2006, Masjid Redditch Central dibakar dan menyebabkan kerosakan bernilai £3,000 (RM14,760).


Pengkhianat turut cuba membakar masjid sama pada Januari lalu tetapi api yang dihidupkan pada pintu depan bangunan itu tidak merebak.


Tiada sesiapa yang cedera atau berlaku kerosakan serius dalam insiden itu. - Agensi


Rumah Putih (White House) Diserang!

on Wednesday, June 26, 2013

white house down ,filem

Amerika Syarikat diserang! Sebuah letupan yang dipercayai perbuatan pengganas berlaku di Rumah Putih (White House), Washington D.C dengan ramai kakitangan, termasuk Presiden James Sawyer dipercayai terperangkap di dalam kediaman berkenaan.

Kita juga menerima laporan bahawa beberapa tempat di sekitar Amerika Syarikat telah mengalami serangan pada masa sama. Siapakah yang bertanggungjawab dan apakah motif mereka masih belum dikenal pasti.

Cukup dramatik dan mendebarkan - itulah hasil karya filem dari pengarah Roland Emmerich. Meskipun tema aksi bukan asing kepadanya, ‘White House Down’ adalah satu lagi cabaran unik bagi Emmerich.

Setelah ‘meletupkan’ Rumah Putih menerusi ‘Independence Day' (1996) dan menghempaskan pengangkut pesawat USS John F. Kennedy dalam filem '2012' (2009), Emmerich berdepan dengan satu dilema - bolehkah dia menjadikan Rumah Putih sebagai sasaran sekali lagi?

Jawapannya adalah “Ya”.

Melihat kepada watak yang diketengahkan serta jalan cerita yang berbeza dan menggabungkan elemen aksi dengan genre 'political thriller', Emmerich memutuskan untuk menghidupkan skrip yang ditulis James Vanderbilt.

Berbeza daripada karyanya yang lepas, kali ini Rumah Putih menjadi fokus utama filem 'White House Down'. Pengambilalihan White House membawa kepada krisis global dengan kesannya tidak dapat dibayangkan.

Bagi memastikan Rumah Putih yang ditampilkan di layar perak cukup realistik, Emmerich dan kumpulan produksinya telah mendapatkan khidmat nasihat daripada McLarty Associates melalui bahagian filem dan hiburannya iaitu McLarty Media.

Meskipun kisah 'White House Down' hanyalah satu rekaan, ia berlatarbelakangkan dunia yang nyata, yang mempunyai budaya dan peraturan yang jelas.

Persoalan yang mungkin bermain di fikiran ramai sebelum ini - Apa rupa terminal komputer di White House? Apa yang kelihatan pada skrin monitor bila pekerja White House 'log in'? Butang jenis apa yang dipakai anggota Kongres di label baju mereka supaya pihak keselamatan tahu mereka ahli Kongres?

Bagaimana dialog politik dan tentera? Apa tindakan polis apabila sekumpulan orang berkumpul di White House? Semuanya akan dipertontonkan secara terperinci di 'White House Down'.

Ceritanya bermula dengan John Cale (lakonan Channing Tatum), seorang anggota polis yang telah ditolak permohonannya untuk menyertai perisikan rahsia yang bertanggungjawab mengawal keselamatan Presiden James Sawyer (Jamie Foxx).

Enggan mengecewakan anak perempuannya yang meletak Sawyer sebagai idolanya, Cale membawanya menyertai lawatan ke Rumah Putih.

Malangnya pada hari itu, Rumah PUtih diserang sekumpulan lelaki bersenjata. Kini, terpulang pada Cale untuk menyelamatkan anaknya, presiden dan tanah airnya.

'White House Down' akan menemui penonton mulai 27 Jun ini.


Lucy Millsap Juara Menangkap Ikan Guna Tangan

lucy millsap tangakap ikan patinj 32.7kg

TASIK TEXOMA, Oklahoma - Seorang gadis berusia 19 tahun menjadi wanita pertama memenangi pertandingan menangkap ikan menggunakan tangan di Oklahoma, Amerika Syarikat.

Gadis tersebut, Lucy Millsap menjuarai pertandingan itu selepas menangkap spesies ikan patin seberat 32.7 kilogram (kg) di Tasik Texoma baru-baru ini.

Dia memenangi wang tunai AS$1,500 (RM4,804) selepas menjuarai kategori ikan besar pada pertandingan tersebut yang disertai oleh 200 peserta.

"Ayah bertanya jika saya mahu menyertai kategori wanita, tetapi saya menjawab tidak, saya mahu mengalahkan peserta lelaki," katanya dalam satu temu bual selepas pertandingan itu selesai.

Dikenali sebagai Festival Okie Noodling, pertandingan tersebut memerlukan peserta menyeluk lubang di dalam tasik yang menjadi sarang ikan itu.

Peserta kemudian akan menangkap ikan patin yang menyambar tangan mereka.

Acara tahunan yang menarik kehadiran beberapa ribu penonton itu dimulakan oleh seorang pembikin filem Oklahoma, Bradley Beesley bagi memperkenalkan sukan tersebut. - Agensi


Kecoh Tiket Final Piala FA

kecoh tiket final habis dijual

Penyokong Kelantan marah tak dapat beli tiket selepas datang seawal jam 6 pagi

Kota Bharu - Penjualan tiket final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam kecoh apabila sebilangan besar penyokong Kelantan tidak berpuas hati selepas tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.
Keadaan bertambah buruk apabila mereka bertindak ganas dengan menendang salah satu pintu masuk stadium sehingga rosak dan mengejar kakitangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang menjual tiket hingga ke kawasan padang.


PROTON Lancar Model Kompak Tahun Depan

proton icon

Syarikat anjur peraduan 'Nama Siapa Hebat' tawar hadiah RM120,000

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan kenderaan jenis kompak serba baru, yang juga kereta mampu milik tanpa kompromi dari segi kualiti, pada awal tahun depan.
Pengenalan model itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat yang gemarkan gaya hidup aktif dengan peningkatan dari aspek pemanduan serta ciri keselamatan.
Model dari jenis kompak ini, hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu” Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Eksekutif PROTON

Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata model kompak itu menjadi titik permulaan kepada pelancaran beberapa lagi barisan model baru lain di bawah jenama Proton.

Ia katanya, bakal membantu meningkatkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu untuk merampas kembali kedudukan sebagai peneraju pasaran kenderaan tempatan daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), menjelang 2015.

“Kini, syarikat sedang dalam proses untuk melancarkan sebuah model serba baru dalam pasaran awal tahun depan.

“Model dari jenis kompak ini, iaitu hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, akan menjadi titik permulaan kepada pengenalan beberapa lagi model baru lain di masa depan.
“Kami yakin bersandarkan kepada kerja keras warga kerja serta peningkatan kembali sokongan rakyat Malaysia khususnya bagi model Saga SV, PROTON mampu merampas kembali kedudukan peneraju pasaran kenderaan tempatan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada media selepas melancarkan peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ di Shah Alam, semalam.

Semua kategori

Mohd Khamil berkata, pengenalan beberapa lagi model baru PROTON nanti akan mewakili semua kategori kenderaan, bermula dari segmen A,B,C dan D.

Segmen A mewakili kenderaan jenis kompak; segmen B adalah kereta sedan bersaiz kecil (seperti Proton Saga); segmen C adalah jenis sedan yang sederhana besar, iaitu sesuai untuk yang berkeluarga seperti Persona dan Waja; manakala segmen D merujuk kepada kereta jenis sedan mewah.

Terdahulu, Mohd Khamil berkata, peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ diperkenalkan bagi memberi peluang kepada semua warga negara yang berumur 12 tahun ke atas untuk menamakan kereta kompak baru yang bakal diperkenalkan PROTON awal tahun depan.

“Kami adalah syarikat automotif negara. Justeru kami ingin berkongsi hak ‘sebagai syarikat automotif negara’ ini bersama seluruh rakyat Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan kami untuk membabitkan semua lapisan rakyat dalam menamakan kereta PROTON yang baru ini,” katanya sambil menambah model kompak serba baru itu bakal dikeluarkan di kilangnya di Tanjung Malim, Perak.

Pemenang utama peraduan yang bermula semalam dan berakhir pada 25 Julai itu akan memenangi versi premium model kompak berkenaan, manakala hadiah menarik lain termasuk pakej percutian, hadiah wang tunai dan alat elektrik bernilai lebih daripada RM120,000.


Wanita Melecur Dibakar Suami

wanita melecur dibakar suami di pulau pinang

Bukit Mertajam - Seorang wanita melecur 60 peratus selepas dipercayai dibakar suaminya di rumah mereka di Taman Bayu Mutiara di sini, semalam.

Lai Siew Fong, 36, yang cedera seluruh badan, dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown untuk rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.

Difahamkan, kejadian disedari jiran mangsa kira-kira jam 5.30 petang yang terdengar pasangan itu bergaduh sebelum ternampak seorang wanita dibakar dan memaklumkan kepada polis.

Ketua Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Katanya, suami mangsa melarikan diri selepas kejadian itu dan usaha untuk mengesannya giat dijalankan.

Pernah dipukul suami
“Setakat ini, motif belum diketahui, tetapi kita tidak menolak kemungkinan masalah rumah tangga menjadi punca pergaduhan sehingga lelaki itu membakar isterinya.

“Malah, mangsa pernah beberapa kali membuat laporan polis kerana dipukul suami,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Suspek tiada pekerjaan tetap, manakala mangsa pula bekerja sebagai penjual kuih di sebuah pasar di sini.

Pasangan itu mempunyai dua anak berusia enam dan 10 tahun. Bagaimanapun, mereka tidak tercedera.


Jerebu: Pelabuhan Klang pula catat IPU berbahaya, Banting pula `sangat tidak sihat'

on Monday, June 24, 2013

pelabuhan klang jerebu


KUALA LUMPUR - Setakat jam 5 petang, Pelabuhan Klang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 iaitu pada tahap berbahaya. 

Bacaan yang disiarkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan IPU di Pelabuhan Klang ialah 319. 
Sementara itu, Banting diletakkan sebagai kawasan `sangat tidak sihat' apabila IPU mencatat bacaan 209. 

Selain itu, 22 kawasan pula diletakkan sebagai tidak sihat termasuk di Kemaman (197); Petaling Jaya (196) dan di Port Dickson dengan 193. 

Bacaan IPU di Batu Muda, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula masing-masing 189 dan 156. 

Pada sebelah pagi tadi, Port Dickson mencatat bacaan 335.


Muar Dan Ledang Diisytiharkan Darurat

darurat di muar dan ledang,jerebu


Indeks Pencemaran Udara di Muar, Ledang cecah 746 melebihi tahap kecemasan

Pejabat kerajaan, swasta, kilang, ladang, kuari, tapak pembinaan dinasihat tutup

Kuala Lumpur - Muar dan Ledang diisytiharkan daerah Darurat Bencana Jerebu mulai semalam apabila

bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, iaitu pada tahap kecemasan. Jabatan Alam Sekitar

(JAS) melaporkan bacaan IPU di dua kawasan berkenaan mencecah sehingga 746 pada jam 7 pagi

semalam dan menurun kepada 690 pada jam 11 pagi dan 507 pada jam 5 petang, tetapi masih pada tahap berbahaya.




Ibu Maut Nahas 4 Kenderaan

on Friday, June 21, 2013

nahas 4 kenderaan,ibu maut

Kereta dinaiki mangsa gagal elak 2 kereta berlanggar

Port Dickson - Seorang suri rumah maut, manakala suami dan anaknya cedera dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer 17 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, dekat sini malam kelmarin.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan turut dilaporkan di Kilometer 253 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Seremban, kira-kira 4.30 pagi semalam yang menyebabkan tiga warga Singapura menaiki sebuah ambulans dari Hospital Taiping, Perak untuk ke negara itu, parah. Turut cedera dua lelaki yang menaiki sebuah kereta berasingan.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 11.15 malam di sini, Ridhawati Redzuan, 39, maut serta-merta, manakala suaminya, Hambali Husin, 39, parah, namun anak lelaki mereka, Mohamad Ashraf, 6, hanya cedera ringan.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat, Hambali pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), manakala Ashraf dihantar ke HPD.

Menurut polis, keluarga itu dalam perjalanan dari Johor ke sini apabila PROTON Saga dinaiki tiga beranak berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak dua kereta PERODUA Myvi di depan yang terlebih dulu berlanggar, lalu berpusing beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Sebuah PROTON Wira yang berada di belakang kenderaan mangsa bagaimanapun sempat mengelak daripada melanggar kereta tiga beranak itu, tetapi terbabas dan turut melanggar pembahagi jalan. Sebuah daripada PERODUA Myvi terbabit pula terus meninggalkan tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi Myvi dihantar ke HPD oleh rakannya.

“Pemandu PROTON Wira yang terbabas pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tiga warga Singapura parah

Kejadian kedua kira-kira jam 4.30 pagi semalam di Seremban pula menyebabkan lima lelaki termasuk tiga warga Singapura parah. Warga Singapura itu dikenal pasti sebagai pemandu, doktor dan pesakit yang menaiki ambulans milik sebuah hospital negara berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke negara mereka dari Hospital Taiping, Perak.

Dua lelaki yang turut parah ialah pemandu dan penumpang warga tempatan yang menaiki sebuah Toyota Altis. Bagaimanapun, seorang jururawat wanita, juga warga Singapura yang turut menaiki ambulans terbabit hanya cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, dua kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Nissan Almera dan PERODUA Alza yang semuanya menghala ke selatan, namun pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan itu hanya cedera ringan.

“Kita masih menyiasat kejadian berkenaan yang turut menyebabkan PERODUA Alza terbabit hangus terbakar sebelum dipadamkan pihak bomba,” katanya sambil menambah, semua mangsa dihantar ke HTJS dan keadaan mereka dilaporkan stabil.


Jerebu: Jakarta, Singapura ‘panas’

jerebu di singapura

Indonesia enggan terima bantuan kota Singa jika jumlah terlalu kecil

Jakarta: Indonesia semalam menuduh Singapura bersikap seperti budak kecil dengan menggembar-gemburkan masalah jerebu teruk akibat pembakaran hutan di Sumatera yang menyelubungi republik itu.

“Singapura tidak sepatutnya bersikap macam budak-budak dan membuat gempar. Ini bukan apa yang dikehendaki Indonesia, ia semula jadi,” kata menteri yang menyelaras reaksi Indonesia kepada krisis jerebu, Agung Laksono, kepada wartawan di Jakarta.
Beliau berkata, Jakarta akan menolak sebarang tawaran bantuan kewangan daripada Singapura kecuali jumlahnya besar.

“Kecuali Singapura mahu memberikan kami sejumlah besar wang, kami tidak mahu menerimanya.

“Jika ia cuma setengah juta atau sejuta dolar, kami tidak perlukan ia. Lebih baik gunakan bajet sendiri,” katanya.

Kenyataan dibuat ketika negara jiran Indonesia bersedia mengadakan rundingan mengejut di Jakarta untuk mengurangkan jerebu teruk yang menyelubungi Singapura.

Pada paras bahaya
Indeks pencemaran udara Singapura sekali lagi berada pada paras bahaya dengan bacaan 301 tengah hari, menghampiri rekod 321 yang dicatatkan malam sebelumnya. Sebarang bacaan melebihi 200 dianggap bahaya kepada kesihatan.

Laksono berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti syarikat bertanggungjawab menyebabkan jerebu.

“Ada syarikat Indonesia, Singapura dan Malaysia di situ,” katanya, mengulangi komen terdahulu daripada pegawai di Jakarta yang tidak mahu firma Indonesia dipersalahkan sepenuhnya.

Gesa tindakan berkesan

Singapura semalam menggesa tindakan lebih berkesan daripada Indonesia ketika kualiti udara kekal pada paras tidak sihat untuk hari kedua kerana pembakaran hutan di negara jirannya itu, mengganggu perniagaan di republik berkenaan.

Pekerjaan di beberapa kawasan pembinaan di Singapura perlahan dengan tidak ramai pekerja dilihat dan restoran makanan segera McDonald’s menggantung perkhidmatan penghantaran.

Tentera Singapura turut menggantung latihan di luar.

“Tiada negara atau perbadanan mempunyai hak mencemarkan udara dengan mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Singapura,” kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan pada laman Facebooknya.

Ketua Agensi Alam Sekitar Kebangsaan, Andrew Tan, menghadiri pertemuan yang diadakan di Jakarta, katanya.

“Kami mahukan tindakan muktamad,” katanya.

Pembakaran hutan secara haram di Sumatera, barat Singapura, untuk membersihkan ladang bagi penanaman kelapa sawit menjadi masalah kronik terutama ketika musim panas daripada Jun hingga September.

Singapura, yang selalu berbangga dengan persekitarannya yang bersih, melihat kualiti udaranya merosot kepada paras tidak sihat Isnin lalu. - AFP


Jerebu Cecah Paras Bahaya

jerebu di johor baharu
                                               Jerebu Disekitar Bandaraya Johor Bahru

Tutup sekolah IPU lebih 300

Nusajaya - Semua 491 sekolah di Muar, Ledang, Batu Pahat dan Pasir Gudang membabitkan 273,433 pelajar ditutup serta-merta selama dua hari mulai semalam akibat jerebu yang mencapai tahap berbahaya.

Arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Johor selepas menerima surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menutup semua sekolah di daerah berkenaan berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 300, iaitu tahap berbahaya.
Bacaan IPU di Muar mencatatkan 337 pada jam 7 pagi sebelum meningkat kepada IPU 383 mulai jam 11 pagi, manakala di Pasir Gudang meningkat sehingga 333 pada jam 5 petang.

Langkah keselamatan

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Nor A Ghani, berkata penutupan semua sekolah rendah dan menengah itu perlu sebagai langkah keselamatan apabila jerebu semakin teruk.

“Murid sesi pagi yang datang diminta pulang, manakala murid sesi petang diminta tidak hadir,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal Ke-13, di Kota Iskandar di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Azuri Azizah Saedon.
Mohd Nor berkata, sekolah di daerah lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat IPU 101-200, diminta mengambil langkah berjaga-jaga selain mengehadkan aktiviti di luar bilik darjah.

Sementara itu, tinjauan sekitar Muar mendapati notis pemberitahuan PPD dipamerkan di pintu masuk menyatakan sekolah ditutup bermula esok.

Henti aktiviti kokurikulum

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Jawa, Nora Abdullah, berkata sejak Isnin lalu PPD sudah menghantar pekeliling bagi memaklumkan keadaan jerebu terkini dan langkah keselamatan yang perlu diambil.

Katanya, pagi semalam pihaknya menerima notis terbaru supaya menutup sepenuhnya sekolah sehingga diberitahu berikutan jerebu yang semakin teruk.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud pula mengarahkan semua aktiviti kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah dihentikan jika IPU melebihi 150 bagi murid berisiko dan 250 untuk semua murid.

“Kita juga sudah mengarahkan pentadbiran menutup semua sekolah yang berada dalam kawasan mempunyai IPU melebihi 300,” katanya.

Sementara itu, kementerian membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan bagi memudahkan langkah sewajarnya.



Filem Superman: Man Of Steel Kuasai Carta Pecah Panggung

on Wednesday, June 19, 2013

superman man of steel


LOS ANGELES – Filem adiwira Superman: Man of Steel berada di puncak carta filem pecah panggung di Amerika Utara pada hujung minggu lalu, menurut industri perfileman kelmarin.

Filem arahan Zach Snyder yang dibintangi aktor kelahiran Britain,

Henry Cavill, Amy Adams dan Russell Crowe itu berjaya meraih jumlah kutipan tiket sebanyak AS$113 juta (RM354 juta).

Namun, Man of Steel mendapat banyak kritikan di laman web Rotten Tomatoes ekoran penggunaan teknologi kesan imej komputer (CGI ) yang banyak.

Agensi yang mengumpul jumlah kutipan tiket, Exhibitor Relations memberitahu, filem komedi This Is The End lakonan James Franco and Jonah Hill pula berada di tempat kedua dengan memperoleh AS$20.5 juta (RM64.2 juta).

Berada di tempat ketiga adalah filem Now You See Me yang berjaya meraih jumlah kutipan tiket sebanyak AS$10.3 juta (RM32.3 juta).

Sementara itu, filem sekuel aksi perlumbaan kereta, Fast & Furious 6 lakonan hebat Vin Diesel dan Michelle Rodriguez memperoleh sebanyak AS $9.4 juta (RM29.5 juta) di tempat keempat.

Filem seram bajet rendah, The Purge yang mengungguli carta filem pecah panggung pada minggu lalu menduduki tempat kelima apabila mengaut AS$8.2 juta (RM25.7 juta).

Menurut Exhibitor Relations, The Purge yang dihasilkan dengan kos AS$3 juta (RM9.4 juta) itu sudah memperoleh kutipan keseluruhan sebanyak AS$51.8 juta (RM162.3 juta). – AFP


Perisik Britain Godam Diplomat Asing

on Tuesday, June 18, 2013

GCHQ,Government Communications Headquarters uk


LONDON - Akhbar Guardian melaporkan agensi pengintipan Britain, GCHQ berulang kali menggodam telefon dan e-mel diplomat asing semasa Britain menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa.

Laporan tersebut mencetuskan kemarahan pegawai Rusia yang bimbang sistem komunikasi mereka telah dipintas.

Pendedahan itu dibuat beberapa jam sebelum Britain dijangka mengadakan Sidang Kemuncak Kumpulan 8 (G8) di Ireland Utara semalam.

Pertemuan tersebut dihadiri oleh pemimpin negara kuasa ekonomi dunia termasuk Rusia.

"Skandal ini boleh mencetuskan isu diplomatik yang serius," menurut ahli akademik Britain, Richard J. Aldrich.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Britain David Cameron enggan mengulas ketika ditanya berhubung isu tersebut.

"Kami tidak pernah mengulas tentang isu keselamatan atau perisikan dan saya tidak akan memulakannya sekarang," katanya.

Pegawai-pegawai Rusia semalam mengadu tentang laporan bahawa delegasi mereka menjadi mangsa pengintipan semasa menghadiri beberapa sidang kemuncak sebelum ini.

"Ini satu skandal! Agensi perisikan Britain dan Amerika Syarikat memasang pepijat pada telefon Presiden Dmitry Medvedev semasa sidang kemuncak negara Kumpulan 20 (G20)," kata pengerusi jawatankuasa hal ehwal luar dewan rendah Parlimen Rusia, Alexei Pushkov di laman Twitternya semalam.

Selain mencuri dengar perbualan telefon, menceroboh komputer diplomat asing, GCHQ juga didakwa terlibat dalam aktiviti menggodam telefon pintar mereka. - AP


Kuota Haji Kurang 20%,Senarai Jemaah Dikaji -LTH

on Monday, June 17, 2013

kuota haji berkurang 20%

Lembaga Tabung Haji (LTH) akan merombak semula senarai jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini berikutan arahan terbaru daripada kerajaan Arab Saudi untuk mengurangkan kuota jemaah sebanyak 20 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, arahan itu diterima secara rasmi daripada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad Al Rashid tiga hari lalu, lapor Berita Harian.

Dalam laporan itu, Jamil berkata pengurangan jemaah bagi menunaikan ibadah itu tahun ini perlu dipatuhi kerana ia membabitkan kerja menaik taraf dan pembesaran kawasan tawaf di sekeliling Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

Kuota jemaah haji Malaysia adalah kira-kira 28,000 atau satu peratus daripada jumlah penduduk iaitu seramai 28 juta dan pengurangan sebanyak 20 peratus itu membabitkan seramai 5,600 orang jemaah.

Laporan itu juga menyebut, difahamkan rata-rata jemaah haji di negara ini sudah menerima surat tawaran menunaikan haji dan ada juga yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Saya sangat berharap keadaan ini dapat diterima dengan baik dan difahami semua jemaah haji Malaysia. Arahan ini bukan dikeluarkan sesuka hati, sebaliknya ia bersangkut paut dengan kerja menambah baik keselesaan jemaah di seluruh dunia.

"Ia bukan hanya membabitkan jemaah haji Malaysia tetapi jemaah dari seluruh dunia. Tidak ada pengecualian atau pilih kasih dalam hal ini," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

Sementara itu, akhbar itu turut memetik Menteri Haji Arab Saudi Bandar Hajjar sebagai berkata arahan itu dibuat bukan untuk menghalang kedatangan jemaah haji ke Makkah.

Sebaliknya, ia perlu dilakukan bagi menjamin keselesaan jemaah sepanjang tempoh menunaikan rukun Islam kelima itu.


Ditahan Cuba Seludup Petrol Subsidi

seludup petrol subsidi 27,000 liter

Bukit Kayu Hitam - Seorang pemandu lori tangki ditahan ketika cuba menyeludup 27,300 liter petrol subsidi bernilai RM51,870 ke negara jiran di Kilometer 7 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran jejantas Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Changlun di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam dalam operasi bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kubang Pasu dan Putrajaya, jam 11.40 pagi.

Komander UPP Kedah, Abd Latif Abd Rahman, berkata sepasukan empat anggotanya bersama enam pegawai KPDNKK Kubang Pasu menahan lori berkenaan untuk pemeriksaan sebelum mendapati kenderaan itu membawa petrol bersubsidi secara haram.

Pemandu diupah

“Siasatan mendapati petrol itu dibawa dari Pulau Pinang untuk dijual di kawasan ini. Suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan kita percaya dia diupah sindiket tertentu untuk menjalankan kerja ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran UPP di sini, semalam.

Turut hadir, Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Shahidan Ladin dan Timbalan Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kubang Pasu, Ahmad Fauzi Man.

Abd Latif berkata, pihaknya percaya lelaki itu dalam perjalanan untuk memindahkan petrol berkenaan ke beberapa stor kecil di sekitar daerah ini untuk dipindahkan menggunakan kenderaan lebih kecil.

“Modus operandi sindiket ialah bergerak jauh dari sempadan untuk mengelak ditahan pihak berkuasa dan biasanya ia bergerak di sekitar Changlun ke Jitra.

“Mereka akan memindahkan minyak itu di kawasan jauh dari sempadan iaitu dari lori tangki ke kenderaan atau stor kecil,” katanya.

Kes diserahkan kepada KPDNKK Kubang Pasu untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 20 (1) kerana memindahkan barangan kawalan di tempat tidak dibenarkan oleh pegawai bekalan dan Seksyen 22 AKB 1961, yang boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu dan RM250,000 atau setahun penjara, jika sabit kesalahan bagi syarikat.


Proton Saga SV Lebih Murah

on Sunday, June 16, 2013

saga sv 1.3L,lebih murah

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan kereta rakyat baharu, Saga SV 1.3L dengan penurunan harga sebanyak 12 peratus berbanding model sebelum ini tanpa mengurangkan sebarang spesifikasi malah lebih baik.

Saga SV dijual pada harga serendah RM33,438 untuk jenis manual dan RM36,438 untuk automatik, penurunan sebanyak hampir RM5,000 hasil perancangan penstrukturan vendor dan menyokong usaha kerajaan dalam menawarkan kereta mampu milik kepada rakyat.

Kereta berkenaan dilengkapi kerangka lebih kukuh dengan pengiktirafan tiga bintang daripada ASEAN NCAP, stereng elektrik, empat tingkap elektrik, dua beg udara, cermin sisi dengan lampu LED, tali pinggang keledar dengan sistem pratekanan, ciri-ciri keselamatan kanak-kanak dan kunci immobiliser.

Pengguna boleh memiliki kereta rakyat itu dengan ansuran bulanan serendah RM250 dengan sasaran penghantaran sebelum musim perayaan jika membuat tempahan awal bermula hari ini.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, pelancaran kereta mampu milik itu merupakan langkah berterusan syarikat kereta nasional tersebut menawarkan kereta berbaloi tanpa berkompromi dalam aspek kualiti.

"Kami tidak mengurangkan spesifikasi Saga untuk mengurangkan harganya, tetapi kami menggunakan pendekatan sendiri untuk merealisasikan penawaran harga rendah bagi memenuhi hasrat kerajaan.

"Proton menyasarkan menjual sebanyak 2,000 buah Saga SV sebulan dalam usaha mencapai sasaran menjual kira-kira 80,000 buah model Saga tahun ini sekali gus mencapai penguasaan pasaran sebanyak 30 peratus untuk segmen B," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kereta berkenaan di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim.

Saga SV didatangkan dalam enam warna pilihan iaitu putih, perang, hitam, perak, merah dan biru dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 kilometer perbatuan manakala servis pertama bagi model tersebut kurang daripada RM100.

Mengulas cadangan menyelaraskan harga kereta untuk pasaran Sabah dan Sarawak, beliau berkata, perkara itu sedang dikaji namun seperti yang diketahui umum kos logistik merupakan faktor utama perbezaan harga tersebut.

"Tetapi kami akan mengusahakannya sama ada menyerap kos berkenaan atau menerusi cara lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Khamil berkata, pengurangan harga tersebut tidak akan menjejaskan prestasi kewangan Proton malah akan menambah perolehan syarikat berkenaan melalui pertambahan jualan serta keuntungan.

Sementara itu, ditanya sama ada penurunan harga itu hasil usaha Proton sendiri atau kerajaan, Lukman berkata, perkara tersebut adalah usaha bersama antara kedua-dua pihak.

"Proton menyokong hasrat kerajaan menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus secara berperingkat dan Saga SV adalah hasil yang berjaya dilaksana Proton," katanya.

Beliau menambah, pendekatan dan strategi yang digunakan sehingga mampu mengurangkan harga Saga itu akan diguna pakai kepada model lain selepas ini.


Skrin Iphone Tambah Lebar

skrin iphone lebar

Apple Inc bercadang melancarkan beberapa model iPhone dengan skrin lebih besar dan berharga murah dengan pelbagai warna tahun depan, sekali gus memberi saingan kepada Samsung Electronics, kata empat sumber rapat dengan perkara itu.

Langkah itu yang kini masih dalam perbincangan menunjukkan bahawa syarikat dari California yang pernah menguasai pasaran telefon pintar itu, semakin terancam oleh pesaingnya dari Korea.

Samsung mengambil alih bahagian pasaran Apple menerusi model popular Galaxy dengan skrin besar dikenali phablets dan menguasai pasaran dengan pelbagai rangkaian produk pada harga yang berbeza.

Apple merancang memperkenalkan sekurang-kurangnya dua varian iPhone dengan skrin lebih besar, satu daripadanya menggunakan skrin 4.7 inci dan satu lagi 5.7 inci, kata sumber yang turut menjelaskan ia merangkumi rantaian bekalan di Asia.

Mereka berkata, pembekal sudah dimaklumkan dengan rancangan berhubung skrin lebih besar, namun ia belum jelas sama ada Apple akan melancarkan produk utamanya dalam saiz lebih besar.

Mereka sentiasa mengubah spesifikasi produk pada saat akhir, jadi belum pasti sama ada ia adalah prototaip akhir, kata salah seorang daripada sumber.

Apple enggan mengulas berhubung perkara itu.

Apple berkemungkinan mengubah daripada produk yang ditawarkan sebelum ini kepada phablets, telefon pintar yang tidak berapa besar untuk melayakkannya dipanggil tablet yang hadir sejak sekian lama pengguna dan pelabur berharap untuk menerima lebih daripada model telefon bimbit baru setahun.

Kadar inovasi iPhone perlahan

Pengkritik berkata, kadar inovasi iPhone perlahan selepas kematian pengasas bersama, Steve Jobs.

Bagi tahun ini, Apple dijangka melancarkan dua model baru yang secara meluas merujuk kepada iPhone 5S dengan teknologi cap jari selain versi lebih murah dengan badan plastik, kata sumber rantaian bekalan.

Apple merancang menawarkan telefon lebih murah dengan lima hingga enam warna berbeza berbanding kebiasaannya dengan warna hitam dan putih.

Firma AS merancang menawarkan telefon murah pada harga AS$99 (RM308) yang akan diumumkan tahun depan, kata sumber, namun mendedahkan sama ada ia adalah harga akhir atau sebaliknya.

Ujian pengeluaran bagi model iPhone standard dan lebih murah dijangka bermula bulan depan dengan pengeluaran besar-besaran bermula Ogos bagi menerusi sasaran pelancaran pada September, kata dua sumber itu.

Ujian pengeluaran pada asalnya dirancang pada Jun, namun campuran warna mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana Apple amat mementingkan standard, kata sumber di Ais dengan menambah 20 juta plastik untuk iPhone dijangka diedarkan pada suku tahun bermula Oktober hingga Disember.

Dua syarikat Jepun iaitu Sharp Corp dan Japan Display serta satu syarikat Korea, LG Display akan membekalkan panel aluminium untuk iPhone 5S dan iPhone plastik, sementara Hon Hai Precision Industry akan memasang teknologi dan Pegatron.

REUTERS


Jumpa Bom Dalam Gumpalan Udang Beku

noraida mat din,jumpa bom dalam gumpalan udang beku

Parit Buntar - Seorang suri rumah terkejut apabila menemui sebutir bom tangan lama dalam gumpalan udang beku di rumahnya di Kampung Tok Ngah di sini, semalam.

Noraida Mat Din, 42, berkata perkara itu disedarinya selepas merendam udang beku itu di dalam air kerana mahu menyediakan hidangan cucur udang kepada keluarganya pada jam 1.30 tengah hari.

“Saya mengambil udang itu jam 11 pagi tadi (semalam) selepas empat hari disimpan dalam peti sejuk di rumah bapa yang bekerja sebagai nelayan di Kampung Nelayan Kuala Kurau.

“Disebabkan keadaannya beku, saya merendam udang itu ke dalam besen plastik tetapi sekitar jam 1.30 tengah hari apabila saya sedang membersihkan udang itu saya mendapati objek bulat dan keras seperti batu lalu saya memanggil suami, Rosli Abu Osman, 45, untuk memeriksanya.

Bom masih aktif

“Apabila suami memegang benda itu, beliau terus berlari keluar rumah dan mencampakkan objek itu sambil memberitahu ia adalah sebutir bom tangan lama yang dipercayai masih aktif,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Noraida berkata, suaminya terus membuat laporan penemuan bom tangan itu di Balai Polis Kuala Kurau.

“Saya tidak menyangka niat untuk memasak cucur udang hampir menjadi mimpi ngeri bagi kami sekeluarga.

“Bagaimanapun, kedua ibu bapa saya lebih bernasib baik dan Tuhan melindungi mereka kerana bom itu berada selama empat hari di dalam peti sejuk rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian,Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika ditemui mengesahkan penemuan itu.


Bayi Diculik Ditemui 100km Dari Rumah

on Thursday, June 13, 2013

bayi diculik ditemui 100km dari rumah

Budak dari Muar dilihat menangis bersendirian di Yong Peng

Muar - Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan dilarikan seorang lelaki lebih 100 kilometer dari rumah ibunya di Jalan Bakariah di sini, sebelum ditinggalkan di Medan Selera Yong Peng, kelmarin. 

Bayi itu yang dilarikan kira-kira jam 10 pagi, ditemui dalam keadaan selamat pada jam 1.30 tengah hari di hadapan tandas medan selera itu oleh seorang peniaga wanita sebelum menyerahkan kepada polis. 

Kami berusaha mengesan ibu bapanya sekitar kawasan ini tetapi tidak berhasil” Peniaga, Isi jawatan disini

Sebelum itu, seorang lelaki yang memandu PROTON Persona pergi ke rumah ibu mangsa sambil membawa kotak, kononnya mahu menghantar ikan yang dipesan bapa mentua wanita itu.

Bagaimanapun, ketika wanita itu menuju ke dapur, suspek menolak suri rumah berkenaan sebelum mengikat tangan dan menutup matanya.

Selepas itu, lelaki terbabit meninggalkan rumah sambil membawa bayi berkenaan. 

Kira-kira tiga setengah jam selepas itu, bayi itu yang belum boleh berjalan, ditemui seorang peniaga wanita berusia 49 tahun selepas melihat dia bersendirian di hadapan tandas medan berkenaan. 

Sangka ditinggalkan sementara

“Pada mulanya saya tidak mencurigai apa-apa kerana menyangka dia ditinggalkan ibu bapa untuk seketika kerana kebetulan semalam (kelmarin) orang ramai di sini kerana pasar petang.

“Kira-kira jam 2 petang, saya mendapati bayi itu masih berada di tempat sama sambil menangis dengan kuat.

“Kami berusaha mengesan ibu bapanya sekitar kawasan ini tetapi tidak berhasil. Saya bawa dia ke klinik untuk dibersihkan sebelum menghantarnya ke Balai Polis Yong Peng, kira-kira jam 4 petang,” katanya.

Kira-kira jam 7 malam hari yang sama, polis berjaya mengesan keluarga bayi itu dan memanggil mereka untuk mengambilnya.

Difahamkan, bayi itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan dan dilaporkan stabil. 

Keluarga bayi itu enggan ditemubual ketika dikunjungi wakil media di rumah mereka. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar, mengesahkan menerima laporan berkaitan penemuan semula bayi itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.

Blogger Bakal Diwajibkan Meletak Maklumat Identiti Sebenar

blogger diwajib meletak identiti sebenar

Pemilik blog, portal diwajib dedah identiti sebenar

Kuala Lumpur: Pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah akan dikenakan tindakan tegas selepas kerajaan mewajibkan mereka meletakkan maklumat identiti sebenar tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri menegaskan, peraturan ‘ketetapan-sendiri’ itu bertujuan memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap maklumat disampaikan, sekali gus mengelak perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dirosakkan oleh maklumat palsu.
Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” Datuk Seri Najib Razak

Sehubungan itu, Najib menegaskan, tidak akan ada lagi penulis ‘tidak bernama’ dalam blog atau portal seperti sekarang bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tulisan masing-masing.

Kerajaan tak tapis internet: Najib

“Hari ini landskap media dan organisasi berita mengalami perubahan amat pesat dengan kehadiran media cetak dan elektronik yang dilengkapi media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara menjadi kenyataan.

“Penggunaan semua bentuk media ini dapat kita saksikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial oleh kelompok yang menggelar diri mereka sebagai wartawan seperti yang berleluasa ketika PRU-13 tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada negara,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Hotel Istana, di sini, malam tadi.

Tidak lesen portal berita

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menapis internet walaupun kerajaan mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia dan Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan rakyat yang sedang menghadapi ‘cabaran kematangan’ sekarang tidak bersikap melampau selepas menikmati kemajuan pesat dalam landskap media dan organisasi berita.

Sehubungan itu, rakyat harus mampu memanfaatkan kebebasan bersuara sebaik mungkin kerana jika corak tenaga baru yang datang daripada kebebasan bersuara itu tidak digunakan dengan baik, mereka akan terkeliru.

‘Kesan rama-rama’

“Isu melanda pemikiran rakyat sekarang adalah pemahaman demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Ia memberi kesan yang tidak pernah berlaku sebelum ini hingga meninggalkan ‘kesan rama-rama’,” katanya.

Najib berkata, kunci bagi kejayaan untuk memanfaatkan kebebasan bersuara adalah dengan bermuhasabah mengenai identiti diri sebagai warga Malaysia dan bertanya pada diri sendiri mengenai kebebasan bersuara yang harus sesuai dengan identiti rakyat Malaysia yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni.

“Adakah perlu perbezaan pendapat mewujudkan syak wasangka melampau yang asing daripada budaya Malaysia? Untuk demokrasi benar-benar berfungsi, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada antara kita yang menyimpang, mahupun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan wartawan supaya mengetengahkan isu lebih utama seperti perpaduan dan usaha memajukan negara, selain menjadi perantara berkesan dalam menyampaikan maklumat antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya.

Microsoft Umum Konsol Xbox One Baru

on Wednesday, June 12, 2013

microsoft xbox one

Los Angeles - Microsoft Corp mengumumkan konsol Xbox One barunya yang akan dilancarkan November ini di Amerika Syarikat (AS) akan dijual pada harga AS$499 (RM1,547), lebih tinggi daripada yang dijangkakan peminat konsol permainan video.

Harga itu adalah lebih mahal daripada konsol sekarang, Xbox 360, tetapi peranti baru datang bersama pengimbas gerakan permainan, Kinect untuk permainan bebas tangan.

Microsoft mengumumkan mengenai Xbox One awal bulan lalu sebagai langkah terbaru dalam persaingan dengan Nintendo Co Ltd dan Sony Corp dalam perniagaan permainan video di AS yang bernilai AS$65 bilion (RM202 bilion) setahun.

Ketika membuat pengumuman itu di Ekspo Hiburan Elektronik (E3) di sini, Microsoft berkata, konsol itu akan dijual di 21 negara, termasuk United Kingdom pada harga £429 (RM2,016).

Pengumuman harga itu mendapat rungutan majoriti penonton, yang sebahagian besarnya adalah peminat tegar permainan video yang mengharapkan tanda harganya yang lebih murah.

Xbox One dengan kapasiti 8GB itu lebih mahal daripada permainan baru Nintendo, Wii U dengan kapasiti 8GB pada harga AS$300 (RM933). - Reuters


Petronas Labur AS$20 Billion Di Kanada

tapak LNG petronas di kanada

Bina loji pencairan, pembersihan LNG kapasiti 6 juta tan

PETRONAS menjangkakan pelaburan sebanyak AS$20 bilion (RM63.13 bilion) dalam projek eksport gas asli cecair (LNG) miliknya di barat Kanada yang disasarkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi bahan api di Asia.

Projek yang dikenali sebagai Pacific NorthWest LNG itu akan membabitkan pembinaan dua loji pencairan dan pembersihan LNG dengan masing-masing mempunyai kapasiti enam juta tan setahun (tpy) menjelang akhir 2018 atau 2019, kata Naib Presiden Perancangan Korporat PETRONAS, Arif Mahmood, pada persidangan industri minyak dan gas (O&G) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pelaburan bernilai AS$20 bilion itu termasuk kira-kira AS$5 bilion untuk projek saluran paip yang akan dibina oleh TransCanada Corp untuk membekalkan gas kepada kedua-dua loji LNG terbabit.

“Ada ruang untuk membina loji ketiga dan kapasiti boleh meningkat sehingga 18 juta tpy,” katanya, merujuk kepada potensi pengembangan projek itu.

Perjanjian berprofil tinggi

PETRONAS membeli syarikat rakan usaha samanya, Progress Energy Resources Corp tahun lalu menerusi satu perjanjian berprofil tinggi yang pada mulanya dihalang oleh Kerajaan Kanada.

Syarikat petroleum nasional itu memperoleh pembeli LNG pertamanya daripada Pacific NorthWest LNG itu selepas menjual 10 peratus pegangannya dalam projek berkenaan kepada Japan Petroleum Exploration Co.

Ia sedang berunding dengan lebih ramai lagi pembeli untuk menjual kepentingannya dalam projek berkenaan.

"Apa kami cari sebenarnya adalah rakan kongsi berpotensi yang juga akan menjadi pembeli bagi gas yang dihasilkan," kata Arif, sambil menambah bahawa PETRONAS akan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam projek itu.

Arif berkata, di Malaysia, PETRONAS merancang membuat keputusan muktamad mengenai pelaburan untuk projek LNG terapung (FLNG) keduanya sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, projek FLNG dengan kapasiti 1.5 juta tpy itu terletak di Blok H Rotan Field di luar pesisir Sabah yang bakal memulakan pengeluarannya pada 2016.

Projek FLNG pertama PETRONAS dengan kapasiti 1.2 juta tpy di medan Kanowit, 180 kilometer di luar pesisir Bintulu, Sarawak dijangka siap pada 2015. - REUTERS


Penduduk Jerman Hadapi Banjir Terburuk

on Monday, June 10, 2013

banjir terburuk di jerman

MAGDEBURG - Beribu-ribu petugas kecemasan, anggota tentera dan sukarelawan di Jerman semalam bertungkus lumus menghadapi banjir yang dianggap terburuk pernah melanda tengah Eropah sejak sedekad lalu.

Bencana alam itu memaksa perpindahan besar-besaran dilakukan dengan seorang ahli politik menyifatkannya sebagai malapetaka nasional.

Tumpuan kini diberikan pada bandar ini di timur Jerman yang ditenggelami air sungai Elbe.

Paras air sungai yang mengalir dari Republik Czech itu meningkat dengan mendadak susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Setakat pagi semalam, paras air sungai Magdeburg mencecah 7.45 meter sekali gus melepasi paras biasa dua meter.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu, keadaan tersebut jauh lebih teruk berbanding banjir besar yang pernah melanda rantau berkenaan pada 2002.

Hampir 3,000 penduduk daerah Rothensee di sini telah dipindahkan ekoran kediaman mereka ditenggelami air bah.

Beratus-ratus anggota tentera pula bertungkus lumus mengukuhkan benteng sebuah terusan di sini bagi menghalang air sungai daripada membanjiri janakuasa elektrik sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Sekitar 8,000 penduduk bandar Aken dekat sini dipindahkan ke lokasi selamat menggunakan sejumlah kereta perisai dan ambulans.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Jerman, Joachim Gauck dijadualkan melawat dua negeri yang dilanda banjir iaitu Saxony dan Saxony-Anhalt lewat semalam.

Sementara itu di Hungary, pekerja-pekerja bertungkus lumus mengukuhkan tebing beberapa terusan di ibu kota negara berkenaan, Budapest, dalam persediaan menghadapi banjir.

Pihak berkuasa meramalkan Sungai Danube yang mengalir merentasi Budapest akan mencatat paras tertingginya semalam.

Setakat ini, berpuluh-puluh ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dengan sekurang-kurangnya 18 orang terkorban akibat banjir yang melanda Jerman, Austria, Slovakia, Poland dan Republik Czech sejak seminggu lalu. - Agensi


Ambulans Terbalik Pesakit Cedera

on Sunday, June 9, 2013

ambulans terbalik di muar


Muar - Seorang pesakit jantung cedera apabila ambulans dinaikinya terbalik selepas dirempuh kereta Toyota Camry di jalan pintas berdekatan persimpangan empat Jalan Bakri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, ambulans Hospital Pakar Putra Melaka itu dipercayai dalam perjalanan dari Batu Pahat untuk menghantar mangsa yang berusia 50-an bagi mendapatkan rawatan.

Saksi, Abdullah Sariman, 76, berkata pemandu kereta itu dikatakan tidak menyedari kehadiran ambulans itu tiba-tiba melintas jalan berkenaan menyebabkannya merempuhnya.

Katanya, kedua-dua tayar belakang ambulans itu meletup menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan terbalik kira-kira 50 meter dari simpang empat berkenaan.

Abdullah berkata, ketika kemalangan beliau berada tidak jauh dari tempat kejadian dan mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat ambulans itu terbalik.

Katanya, beliau dan menantu bergegas ke tempat kejadian dan mujurlah pengguna jalan raya lain turut memberhentikan kenderaan bagi menyelamatkan mangsa dalam ambulans itu.


Operasi Menyelamat Dihentikan - Tragedi Jambatan Ke 2

tragedi jambatan ke 2 pulau pinang

Georgetown - Selepas 48 jam, operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan tanjakan susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang, dekat Batu Maung di sini, ditamatkan jam 6 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata ia berikutan hasil pemeriksaan unit anjing pengesan Bomba dan Penyelamat mendapati tiada mangsa atau kenderaan lain terperangkap di bawah runtuhan itu.

“Kita sudah mengadakan perbincangan bersama pasukan keselamatan dan memutuskan supaya operasi ini dihentikan.

“Pemeriksaan dilakukan sebanyak tiga kali sejak pagi tadi (semalam) dengan bantuan empat anjing pengesan di setiap ruang yang ada dalam runtuhan itu dan kita berpuas hati bahawa tiada lagi mangsa di kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian 7.15 petang Khamis lalu, sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan di Batu Maung di sini, runtuh menyebabkan seorang lelaki maut selepas terperangkap di bawah runtuhan konkrit seberat kira-kira 300 tan.

Runtuhan terlalu berat

Mangsa, Tajudin Zainal Abidin, 45, ditemui pada jam 8.45 malam kelmarin, kira-kira 25 jam selepas operasi mengeluarkan mayat dijalankan.

Pasukan penyelamat sebelum ini berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta jenis PERODUA Kelisa berikutan runtuhan terlalu berat dan jentera digunakan juga tidak mampu mengangkat konkrit terbabit.

Serah kepada kontraktor

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada kontraktor untuk melakukan kerja pembersihan sisa runtuhan dan memaklumkan bahawa jalan di lokasi kejadian ditutup sementara kepada orang awam.

“Kita isytihar operasi menyelamat mangsa ditamatkan dan akan serahkan tugas selanjutnya kepada pihak kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan sisa konkrit.

“Berikutan itu juga, laluan ini akan ditutup sementara waktu kepada orang awam sehingga semua kerja oleh pihak kontraktor selesai,” katanya.

Mengulas mengenai kelewatan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, Abdul Rahim berkata, usaha itu mengambil masa lama disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, anggota keselamatan perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk memastikan keadaan mayat tidak terjejas dengan kerja membersihkan sisa runtuhan.

“Selain berdepan kesukaran untuk mengangkat konkrit yang berat, kita perlu memastikan kerja mengalihkan sisa runtuhan tidak menjejaskan keadaan mangsa demi menjaga hati warisnya,” katanya.


Lelaki Bunuh Bapa, Abang

Amuk di santa monica


Los Angeles - Lima orang terbunuh dalam kejadian amuk terbaru di Amerika Syarikat semalam termasuk seorang penyerang yang berpakaian serba hitam.

Polis menembak mati penyerang di sebuah perpustakaan kolej, kata pihak berkuasa.
Serangan bermula dengan suspek membunuh bapa dan abangnya sebelum melepaskan tembakan secara rambang di Santa Monica, tidak jauh dari sebuah majlis yang dihadiri Presiden Barack Obama.Saksi berkata, penyerang adalah lelaki berkulit putih berusia 25 hingga 30 tahun membawa tali pinggang peluru dan senapang separuh automatik, menembak ke arah seorang pemandu kereta sebelum merampas kereta lain.


Lima lagi cedera, seorang daripadanya kritikal dan seorang lagi dalam keadaan serius tetapi stabil, kata Sarjan Richard Lewis.

Bebas suspek lain

Suspek lain turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan selepas kejadian tembakan itu, yang berlaku ketika Obama menyampaikan ucapan pada majlis pungutan dana politik tidak jauh dari bandar itu di barat Los Angeles.
“Pada masa ini kami percaya ia hanyalah membabitkan seorang lelaki bersenjata,” kata Lewis sambil menambah bahawa koroner masih lagi menyiasat untuk mengesahkan identiti suspek.

Cetus perdebatan

Kejadian itu adalah kejadian amuk dan tembak di Amerika yang mencetuskan perdebatan mengenai kawalan senjata api di negara itu.

Ia adalah berikutan kejadian bunuh beramai-ramai tahun lalu membabitkan 20 kanak-kanak sekolah di Connecticut dan pembunuhan 12 penonton filem di sebuah panggung wayang di Colorado.

Insiden terbaru ini bermula dengan tembakan di sebuah rumah yang kemudian dibakar. Los Angeles Times melaporkan, dua mayat ditemui dalam rumah itu adalah bapa dan abang penyerang.

Seorang saksi yang tinggal bertentangan memberitahu televisyen KTLA 5, dia mendengar tembakan dan bergegas keluar dari rumahnya sebelum melihat seorang lelaki baru melepaskan tembakan dari dalam atau ke arah rumah itu.

“Ada lelaki berdiri di jalan depan rumah, berpakaian SWAT, tali pinggang peluru dan senapang separuh automatik,” kata Gerry Cunningham.

Katanya, lelaki terbabit berjalan ke persimpangan berhampiran dan menahan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita.

“Wanita terbabit teragak-agak dan memperlahankan kenderaan dan suspek terus melepaskan tiga atau empat das tembakan ke arahnya,” kata Cunningham.

Rampas kenderaan

Penyerang kemudian merampas kenderaan lain dan tidak lama selepas itu menembak sebuah bas dan kenderaan lain menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera sebelum menuju ke Kolej Santa Monica.

Mangsa keempat adalah seorang wanita yang ditembak di hadapan perpustakaan kolej terbabit dan mati selepas dibawa ke hospital.

Suspek memasuki perpustakaan disusuli polis dan mereka berbalas tembakan sebelum dia ditembak mati. - AFP


Tragedi Jambatan ke 2 Pulau Pinang

on Saturday, June 8, 2013

jambatan ke 2 runtuh, susur masuk ke jambatan ke 2 runtuh

Georgetown - Empat dipercayai maut manakala tiga cedera parah selepas sebahagian rangka utama susur masuk ke Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 50 meter dari arah Batu Maung yang dalam pembinaan runtuh, petang semalam.

Bagaimanapun, mengikut beberapa saksi, dipercayai masih ada kenderaan terperangkap apabila sisa jambatan seberat 200 tan itu runtuh di atas Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu itu.
Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, jalan kedua-dua arah dikatakan sibuk dengan kenderaan berikutan waktu pulang bekerja.

Bagaimanapun sehingga jam 12.30 malam tadi, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar enggan mengesahkan jumlah kematian dalam kereta berkenaan.

Difahamkan, lebih 10 pekerja sibuk memasukkan simen dalam rongga rangka utama jambatan berkenaan sebelum ia runtuh.


Alih struktur runtuh
Sehingga tengah malam tadi, pihak penyelamat sedang berusaha mengalihkan rangka runtuhan bagi memastikan jika masih ada mangsa terperangkap.

Pengarah Bomba Pulau Pinang, Azmi Tammat, berkata t iga kren digunakan untuk mengalihkan runtuhan.

Sementara itu, seorang pemandu lori simen yang berada di tempat kejadian berkata, lima minit sebelum kejadian, dia bersama beberapa pekerja terdengar bunyi retakan disusuli penyambung konkrit rangka jambatan itu bergoyang dan runtuh.

Ahmad Saad, 39, berkata dia yang ketika itu berada di dalam lori melompat keluar dan terus berlari menyelamatkan diri sebaik melihat enam pekerja melarikan diri dalam debu yang melingkungi 200 meter kawasan jam kejadian.

“Ketika menyelamatkan diri saya melihat dua kereta jenis PROTON Waja dan PERODUA Viva serta sebuah motosikal yang menghala ke Batu Maung dihempap runtuhan. Saya tak pasti nasib mereka.

Selamatkan mangsa

“Kami segera menyelamatkan dua pekerja iaitu seorang Myanmar yang cedera parah manakala seorang lagi warga Indonesia patah kaki kanan dan dibawa ke HPP,” katanya.

Ahmad yang yakin ada penumpang dalam kedua-dua kereta itu berharap mereka selamat kerana runtuhan yang berlaku, besar.

“Waktu kejadian, jalan menghala Batu Maung dan pusat bandar serta Jambatan Pulau Pinang sibuk berikutan orang balik kerja,” katanya.

Tinjauan BH mendapati pasukan penyelamat iaitu Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan syarikat kontraktor sedang giat mengalihkan runtuhan menggunakan kren.

'Nasib baik lewat 3 saat'

Georgetown: “Kami bernasib baik kerana lewat tiga saat, jika tidak pasti kami juga menjadi mangsa runtuhan jambatan ini,” kata dua sahabat, G Gajashaantini dan R Thilashantini, masing-masing berusia 24 tahun.

Kira-kira jam 7.15 malam tadi, penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan runtuh di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Maung.


  • 4 dipercayai maut kereta dihempap kerangka Jambatan Kedua Pulau Pinang
  • 3 pekerja cedera parah

Tiket Piala FA Kekal RM40

on Friday, June 7, 2013

tiket piala fa rm40


Kuala Lumpur - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menegaskan harga tiket final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 29 Jun ini, tetap kekal RM40.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata tidak ada sebarang perbincangan dilakukan berkaitan kenaikan harga tiket dan berharap peminat mendapatkan pengesahan rasmi supaya tidak mudah tertipu dengan spekulasi yang timbul.

“Dari awal musim 2012, kami sudah menetapkan harga tiket perlawanan akhir Piala FA adalah RM40 bagi dewasa manakala RM5 untuk kanak-kanak.

“Saya pun tidak tahu boleh timbul desas desus kenaikan harga tiket perlawanan terbabit kerana FAM tidak pernah membuat sebarang keputusan berkaitan kenaikan harga tiket.

“Semua berita mengatakan tiket perlawanan Kelantan dan Johor DT bernilai RM45 adalah tidak benar. Saya harap peminat jangan mudah terpedaya dengan khabar angin,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, dalam beberapa blog dan laman sosial, penyokong kedua-dua pasukan keliru apabila terdapat banyak dakwaan harga tiket aksi final dinaikkan daripada RM40 kepada RM45.


 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal