Paling Nipis Didunia - Huawei Ascend P6

on Monday, July 29, 2013

Huawei Ascend P6 paling nipis didunia

Huawei, penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi global terkemuka yang berpangkalan di China, melancarkan Huawei Ascend P6, telefon pintar paling nipis di dunia, dalam pasaran Malaysia.

Ketua Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Gary Xu, berkata Ascend P6 mempunyai ketebalan hanya 6.18 milimeter dan dilengkapi dengan pemprosesan 1.5GHz empat teras serta badan logam yang anggun.

Katanya, dengan paparan sel dalaman definisi tinggi 4.7 inci, Huawei Ascend P6 adalah telefon pintar yang tampil dengan pelbagai kelebihan.

“Meskipun kami sedang membina asas bagi jenama Huawei di Malaysia, kami tetap berbesar hati melihat sambutan positif terhadap produk kami oleh pengguna di sini.

“Pelancaran telefon pintar kebanggaan terbaru kami ini disifatkan sebagai tepat pada masanya dan ia melambangkan komitmen kami terhadap usaha mengembangkan jenama dan menambah penguasaan pasaran kami di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Telefon pintar itu kini boleh didapati di seluruh negara menerusi pengedar yang sah dan harga jualannya adalah RM1,399. Ia didatangkan dalam pilihan warna hitam dan putih.

Antara ciri lain yang terdapat pada telefon pintar berkenaan termasuklah kamera hadapan lima mega piksel serta beroperasi dari sistem Android Jelly Bean 4.2.2.
Teknologi jimat kuasa

Selain itu, paparan antara muka Emotion turut dilengkapi dengan ciri QPC dan ADRX yang membolehkan teknologi penjimatan kuasa dan penggunaan optimum bateri untuk meningkatkan prestasi lebih 30 peratus berbanding telefon pintar dengan saiz yang sama.

Dari aspek pengalaman fotografi pula, telefon pintar itu dilengkapi dengan ciri pengecaman muka dan pengguna boleh mengambil gambar dalam ciri panorama.

Huawei Ascend P6 membolehkan pengguna menikmati keupayaan pandangan makro dari jarak empat sentimeter daripada kamera belakang lapan mega piksel.

Malah jurugambar amatur akan berasa seperti profesional dengan perisian IMAGESmart yang menyediakan fungsi kontras dan warna tambahan.

Pengguna telefon pintar berkenaan juga boleh memuat naik dan memuat turun program dengan kepantasan HSPA+ DL: kategori 14, 21 Mbit/s, UL: kategori 6, 5.76 Mbit/s, 3G WCDMA Radio Bearer UL/DL: 384 kbit/s.


Tangan Bayi Tersepit Mesin

on Sunday, July 28, 2013

tangan tersepit mesin,bayi tersepit mesin di muar

Muar - Seorang bayi berusia 13 bulan nyaris maut apabila tangan kirinya tersepit pada mesin pengadun kuih di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Mohd Uqshah Iman Ramli dipercayai bermain bersendirian berhampiran mesin pengadun yang berada di atas lantai.


Ketika kejadian, ibunya Maznah Osman, 37, yang juga pekerja kilang itu membancuh adunan kuih di kawasan berhampiran selepas berpesan kepada Mohd Uqshah supaya jangan menghampiri mesin.

Maznah berkata, pada mulanya dia melihat Mohd Uqshah bermain jauh daripada mesin itu sebelum terdengar jeritan kuat disusuli tangisan anaknya.


“Saya bergegas mendapatkan Mohd Uqshah dan mendapati tangan kirinya tersepit pada mesin yang masih berputar.


“Badannya turut bergerak sama dengan mesin itu, ia mengakibatkan tangannya bengkak selain mulutnya berdarah akibat terhantuk.

“Bagaimanapun, seorang pekerja segera menutup suis mesin,” katanya.


Menurutnya, walaupun suis dimatikan, tangan kiri Mohd Uqshah yang tersepit di antara tempat meletak bekas tepung dan badan mesin gagal ditarik keluar.

“Pengurusan kilang meminta bantuan bomba dan penyelamat, dan mereka terpaksa membuka skru untuk mengeluarkan bekas kuih itu terlebih dulu.


“Selepas hampir 20 minit, akhirnya tangan Mohd Uqshah Iman dapat dikeluarkan,” katanya.


Sementara itu, pemilik kilang Norhadidah Harun, 43, berkata, ketika kejadian dia di tingkat atas sebelum terdengar jeritan bayi.


Katanya, mujur seorang pekerjanya pantas menutup suis mesin itu kerana jika sebaliknya, bayi berkenaan mungkin berdepan keadaan lebih buruk.


“Mohd Uqshah Iman yang bengkak di tangan kiri serta mengalami pendarahan di mulut dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan,” katanya.


Sultan Johor Pandu Keretapi Kali Ke-6

on Saturday, July 27, 2013

sultan ibrahim pandu keretapi


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar teruja dapat memandu kereta api buat kali keenam dengan membawa 236 penumpang yang menaiki tren Ekspress Rakyat bagi perjalanan Singapura ke Butterworth, semalam.

Baginda tuanku memandu kereta api itu dengan diiringi Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir.

Kereta api berkenaan memulakan perjalanan dari JB Sentral sekitar jam 8.50 pagi dan baginda memandu tren tersebut sehingga ke Stesen KTMB Segamat dengan melalui jarak perjalanan sejauh 180 kilometer.

Perjalanan tren yang melalui lapan stesen KTMB melibatkan 13 gerabak termasuk dua salun khas itu mengambil masa kira-kira tiga jam 30 minit untuk sampai ke Segamat.


Wanita Disyaki Ada Hubungan Sulit Mati Ditikam Suami

Than Dar wanita indonesia mati ditikam suami


BATU GAJAH  - Akibat mengesyaki isteri mempunyai hubungan sulit, seorang wanita ditikam sehingga mati oleh seorang lelaki dipercayai suaminya di bilik sewa mereka di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Pasar di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, mangsa, Than Dar, 25, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui penyewa lain dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta mulutnya berbuih.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, menemukan sebilah pisau pemotong sayur di bawah tubuh mangsa selain kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

"Polis menangkap empat individu termasuk suaminya yang kesemuanya merupakan warga Myanmar dan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Kesemuanya yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditangkap di sekitar Batu Gajah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaharon Anuar berkata, polis percaya motif kejadian adalah disebabkan cemburu berikutan suami mangsa mempercayai isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama suami dan adik iparnya di dalam rumah kedai berkenaan manakala sebuah lagi bilik di sebelahnya dihuni dua lagi lelaki warga Myanmar.

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kesan tikaman di bahagian belakang yang menembusi paru-paru kanan mangsa.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di tingkat atas rumah kedai berkenaan, G. Moganathas, 16, mendakwa, sewaktu kejadian, dia mendengar bunyi bising lalu mengetuk pintu rumah mangsa.

"Saya tidak boleh tidur malam kerana bunyi bising seperti bertengkar. Namun, suaminya kata tiada apa-apa. Selepas itu, saya kembali semula dan mendapati suaminya sudah melarikan diri bersama anak lelaki mereka berusia satu setengah tahun.

"Saya lihat mangsa mati terlentang, lalu menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.


Taman Tema 20th Century Fox

20th Century Fox theme park


Pengeluar filem blockbuster, Kumpulan Genting jalin kerjasama

Kuala Lumpur - Malaysia menjadi lokasi pertama di dunia yang dipilih penerbit dan pengedar filem terkemuka global, Twentieth Century Fox (20th Century Fox) untuk membangunkan taman tema sulung di bawah jenamanya.

Pembangunan taman tema yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Genting itu akan dibangunkan di Genting Highland bagi menggantikan taman tema sedia ada milik kumpulan itu yang sudah berusia 35 tahun.
Justeru itu, taman tema sedia ada kumpulan itu akan ditutup sepenuhnya bermula September ini bagi memberi laluan dan mempercepatkan kerja pembinaan taman tema 20th Century Fox yang pertama di dunia itu.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay, berkata Resorts World Genting akan membelanjakan RM400 juta bagi membangunkan taman tema berkenaan di kawasan seluas lebih 10 hektar.

Naik taraf RM3 bilion

Pelaburan itu, katanya, adalah sebahagian daripada program menaik taraf Resorts World Genting berjumlah RM3 bilion yang juga termasuk pembangunan bilik hotel tambahan 1,300 unit bersebelahan First World Hotel.

“Pembangunan taman tema jenama 20th Century Fox ini akan merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan kami dan juga membantu memastikan Resorts World Genting terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian perkongsian lesen antara Resorts World Genting dan 20th Century Fox Consumer Products di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia, Datuk Lee Choong Yan dan Presiden 20th Century Fox Consumer Products, Jeffrey Godsick.

Kok Thay berkata, pembukaan taman tema 20th Century Fox itu akan mengangkat nama Resorts World Genting ke peringkat yang lebih tinggi dalam segmen hiburan keluarga, sekali gus menjadikannya dan negara ini destinasi percutian utama dunia.

Siap dibina pada 2015

“Kami berharap taman tema 20th Century Fox ini siap dibina paling awal pada 2015. Kami jangka dengan pembukaan taman tema baru ini akan menggandakan jumlah pengunjung daripada 20 juta setahun ketika ini,” katanya.

Mengulas sama ada penutupan taman tema sedia ada pada September ini akan menjejaskan pendapatannya, Kok Thay berkata, penutupan taman tema sedia ada itu dilihat tidak akan menjejaskan prestasi kewangan syarikatnya.

Lagipun kata beliau, syarikatnya sudah mempunyai rancangan menganjurkan pameran antarabangsa bagi memeriahkan suasana sepanjang penutupan taman tema itu.

Sementara itu, Godsick berkata, taman tema itu akan menggunakan 25 hingga 30 hak harta intelek filem blockbuster keluaran 20th Century Fox seperti Ice Age, Rio, Life of Pi, Alien, Predator dan Night At The Museum.

“Kami memilih Resorts World Genting sebagai rakan kongsi untuk membangunkan taman tema pertama kami di dunia kerana pengendali resort itu mempunyai rekod yang mengagumkan dan menepati kehendak pelaburan 20th Century Fox.

“Lagipun, kedudukan Genting Highlands di tanah tinggi menjadi lokasi yang menarik untuk taman tema ini dan Malaysia sendiri adalah pasaran sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar,” katanya.


Shisha Haram - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

on Saturday, July 20, 2013

shisha diputuskan haram oleh majlis fatwa

KUALA LUMPUR  - Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan bahawa shisha adalah haram.

Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu diambil setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia termasuklah meneliti maklumat serta bukti perubatan mengenai kesan mudarat akibat shisha.

Oleh itu, katanya, umat Islam adalah dilarang menghisap shihsa atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengannya.


Blackberry Q5

Blackberry Q5 berwarna merah jambu,merah,hitam dan putih

BLACKBERRY Malaysia sekali lagi memperkenalkan peranti terbaharu iaitu Q5 yang mampu memenuhi permintaan pengguna menerusi konsep papan kekunci Qwerty lengkap

Fungsi dalaman dan perisian yang mendapat inspirasi dari Blackberry 10 itu dikuasakan oleh pemproses dual core 1.2GHz dengan kapasiti RAM sebanyak dua giga bait (GB) bersama binaan memori dalaman lapan GB.

Menurut Pengarah Negara Malaysia bagi Blackberry, Annamalai Muthu, telefon pintar terbaharu itu juga menawarkan pengalaman menarik menerusi kebolehan skrin sentuh dan papan kekunci untuk menaip dengan lebih pantas.

"Telefon nipis dan menyerlahkan gaya ini mempunyai keupayaan kamera depan dua dan kamera belakang lima megapiksel.

"Q5 mempunyai paparan skrin 3.1 inci dan turut didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, hitam, putih dan merah jambu," katanya pada majlis memperkenalkan Blackkberry Q5 di ibu negara baru-baru ini.

Tambahnya, telefon bimbit pintar itu akan dijual pada harga RM1,299 dan akan mula berada di pasaran pada 15 Julai serta ditawarkan dengan syarikat telekomunukasi seperti Maxis, Celcom, Tune Talk dan U Mobile.

Pengguna kini boleh memanfaatkan pelbagai aplikasi pada Blackberry World yang kini telah menjangkau hampir 120,000 aplikasi di dalamnya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Blackberry Q5 boleh layhari laman web www.blackberry.com.my/VlackBerryQ5.


XOLO Play T1000

on Sunday, July 14, 2013

XOLO Play T1000 terbaru,keluaran XOLO

Sejak diperkenalkan, akhirnya telefon keluaran XOLO terbaru iaitu Xolo Play T1000 kini telah rasmi

dipasarkan. Didukung oleh prosesor quad core NVIDIA Tegra 3 1.5GHz, XOLO Play T1000 ini menemui

pasaran dengan fungsi skrin sentuh 4.7 inci HD IPS, RAM 1GB, dan memori dalaman 4GB yang dapat

diperluas menggunakan kad memori microSD berkapasiti hingga 32GB melalui slot yang ada.

Selain menggunakan Android 4.1.1 Jelly Bean, telefon ini juga telah dilengkapi oleh kamera belakang 8MP

berkemampuan menangkap gambar dan merakam video 1080p dan kamera depan 2MP untuk keperluan panggilan video.

Menariknya telefon ini mampu bertahan sehingga lebih 9 jam kerana menggunakan bateri 2000 mAh.


Visa Mengerjakan Haji Diperketat

mengerjakan haji dimekah diperketat

Arab Saudi larang golongan tua, pesakit kronik elak penyebaran MERS-CoV

Riyadh - Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan peraturan baru tidak mengeluarkan visa haji kepada golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik tahun ini bagi mengelak penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat - Virus Korona (MERS-CoV).
Menurut pengumuman Kementerian Kesihatan negara itu, peraturan itu akan berkuat kuasa pada musim haji tahun ini dan musim umrah berikutnya.
Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” Anis Zuhani Ahmad, Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji

Bagaimanapun jurucakap kementerian, Khalid Al-Mirghalani tidak menetapkan had umur namun berkata, golongan tua yang lemah dan tidak sihat dari segi perubatan tidak akan dipertimbangkan mendapat visa.

Beliau memberitahu Arab News, Kedutaan Arab Saudi di luar negara akan mematuhi arahan tegas kementerian yang dihantarnya menerusi Kementerian Luar itu.

Di Kuala Lumpur; Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima surat daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai arahan terbaru itu.

“Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” katanya.
Selain itu, Arab Saudi juga tidak akan mengeluarkan visa haji dan umrah kepada mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang.

“Jemaah lain dikecualikan adalah pesakit kecacatan imun, penyakit serius, wanita hamil dan kanak-kanak,” kata jurucakap itu.

Virus baru korona itu menjangkiti 66 orang, termasuk 38 kematian sejak September tahun lalu di negara pentadbiran diraja itu.

Kementerian Kesihatan negara itu katanya, mengambil semua langkah pencegahan bagi memerangi penyebaran penyakit itu dengan bantuan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa termasuk pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai tambahan kepada syarat itu, katanya kementerian menggariskan peraturan kuarantin di negara ini.

Ia termasuk sijil sah vaksinasi meningitis, 10 hari sebelum jemaah berangkat ke bandar suci Makkah dan Madinah serta vaksinasi polio oleh jemaah dari negara di mana penyakit itu berleluasa.

Ada juga syarat pilihan vaksin ke atas influenza sebagai langkah berjaga-jaga ke atas serangan selesema, tambahnya.

Katanya, kementerian menegaskan jemaah supaya menjaga kebersihan diri dengan betul. Mereka juga perlu memastikan masakan bersih, simpanan, pengangkutan dan kaedah hidangan bagi mengelak cirit-birit, muntah, keracunan makanan, disentri, demam kepialu dan taun. - AGENSI


Monitor 4K Sharp Teknologi IGZO

on Monday, July 8, 2013

Monitor 4K Sharp Teknologi IGZO, Sharp PN-K322B


Sharp tidak ketinggalan dalam persaingan teknologi dengan turut memperkenalkan monitor 4k terbarunya, Sharp PN-K322B. Menariknya, monitor berukuran 32 inci ini disokong dengan panel berteknologi IGZO.

Selain menghadirkan resolusi 3840 x 2160 piksel, monitor ini juga memiliki kemampuan menyokong digital writing. Untuk memudahkannya, monitor ini turut dilengkapi dengan touch pen yang memiliki lebar dua milimeter.

Mempunyai ukuran yang sangat tipis dengan ketebalan hanya 36 milimeter (mm). Sebagai tambahan, turut dilengkapi dengan penyokong yang memungkinkannya dipakai secara menegak atau dengan sudut yang rendah.

Fungsi lainnya, monitor ini mempunyai dua input HDMI, sebuah DisplayPort dan jack stereo 3.5mm. Namun belum ada maklumat mengenai harga yang diberikan oleh Sharp untuk monitor terbarunya ini.


2 Maut Boeing 777 Terhempas

boeing 777 terhempas dilapangan terbang antarabangsa san francisco


Pesawat Asiana Airlines milik Korea Selatan patah ekor ketika cuba mendarat

San Francisco - Sebuah pesawat Asiana Airlines Boeing 777 membawa 307 penumpang terhempas dan terbakar kelmarin ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.

Dua terbunuh dan lebih 180 lagi cedera. Pesawat itu berlepas dari ibu kota Korea Selatan, Seoul.
Saksi berkata, ekor pesawat patah ketika cuba mendarat menyebabkan kapal terbang itu terhentak kuat sebelum berhenti.

Gambar yang diambil mangsa terselamat menunjukkan penumpang keluar daripada pesawat dan bergegas keluar dari kawasan dekat situ.

Asap tebal keluar daripada tempat mengisi minyak. Rakaman televisyen selepas itu menunjukkan pesawat yang rentung dan hitam dimamah api selain bumbungnya yang sudah tiada.

Tiada petanda segera mendedahkan sebab punca kemalangan dan pegawai persekutuan dalam perjalanan dari Washington ke situ untuk menyiasat.

Tetapi, seorang daripada mereka yang selamat berkata, juruterbang seperti cuba membawa naik pesawat sebelum ia terhempas.
Asiana Airlines berkata, penerbangan dari Shanghai itu membawa 291 penumpang dan 16 kru, kebanyakannya warga China, Korea dan Amerika.

Timbalan Ketua Bomba Dale Carnes berkata, dua orang yang maut dalam kejadian itu dan 49 dihantar ke hospital berdekatan kerana cedera parah.

Kemalangan pertama

Seramai 132 lagi dihantar ke beberapa hospital dengan kecederaan ringan.
Seorang pegawai kanan Asiana berkata, juruterbang ialah Lee Jeong-min, yang menghabiskan kerjaya dengan syarikat itu.

Dia adalah antara 4 juruterbang veteran syarikat penerbangan berkenaan. Ada dua juruterbang dalam perjalanan dari Seoul ke San Francisco selama 10 jam.

Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Deborah Hersman, berkata pihaknya menghantar sekumpulan penyiasat ke San Francisco dan masih terlalu awal untuk menyatakan punca kemalangan.

Nahas itu juga kemalangan udara pertama membabitkan pesawat Boeing 777 yang popular sejak dipekenalkan pada 1995.

Ia juga kemalangan pesawat komersial pertama di Amerika sejak kapal terbang kendalian Colgan Air terhempas di New York pada 2009. - REUTERS


Nokia Oyi Lancar Tiga Telefon Baru

on Friday, July 5, 2013

nokia oyi


Nokia Oyi, pembuat telefon mudah alih kedua terbesar, melancarkan tiga telefon semalam bagi memenuhi peningkatan permintaan pengguna yang mahukan sambungan internet.

Telefon berkenaan adalah Nokia 207, 208 dan 208 versi dua kad SIM.

Model 207 dan 208 adalah telefon berbentuk bar coklat yang didatangkan dalam barisan warna yang terang dan membolehkan pengguna berhubung dengan rangkaian internet generasi ketiga yang lebih pantas, kata syarikat itu dalam satu kenyataannya.

Ditawar pada harga RM216.88

Telefon itu didatangkan dengan Nokia Xpress Browser, yang boleh memampatkan data, menjadikannya lebih jimat bagi pengguna dan membabitkan aplikasi sosial seperti Whatapps, Facebook dan Twitter.

Kedua-dua telefon bimbit itu ditawarkan pada harga AS$68 (RM216.88) dan dijangka mula dihantar pada suku semasa.

Jualan suku pertama Nokia susut 20 peratus kerana persaingan daripada pengilang Asia yang membina telefon menggunakan perisian Android Google Inc, yang mana ia menjejaskan permintaan bagi barisan model mampu milik syarikat itu. - BLOOMBERG


20,000 Rakyat Malaysia Diburu Imigresen UK

on Wednesday, July 3, 2013

Imigresen UK

Ramai tinggal secara haram selepas visa tamat tempoh, disalah guna

London - Kira-kira 20,000 rakyat Malaysia menetap secara haram di United Kingdom (UK) dan mereka kini diburu pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan dihantar pulang.
Sumber di sini memberitahu kebanyakan mereka tinggal secara haram selepas tamat tempoh visa atau menyalahgunakan visa. Mereka kebanyakannya bekerja atau berniaga kerana tertarik dengan gaji atau hasil lumayan.
Jika mereka ada masalah, kita sedia membantu tetapi jangan tinggal secara haram di sini” Zakaria Sulong, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Seri Zakaria Sulong, ketika diminta mengulas bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai perangkaan rasmi jumlah sebenar rakyat Malaysia tinggal secara haram di sekitar UK.

Peraturan ketat

“Peraturan imigresen Kerajaan Britain agak ketat dan tidak berkompromi dalam isu ini meskipun mereka mengalu-alukan kedatangan pelancong, pelajar dan peniaga Malaysia yang masuk dan keluar secara sah.

“Saya harap rakyat Malaysia patuh kepada undang-undang Britain dan tidak menyalahgunakan visa. Jika mereka ada masalah, kita sedia membantu tetapi jangan tinggal secara haram di sini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada isu itu turut disentuh dalam perbincangan dua hala antara Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Britain, David Cameron, esok.

Najib dalam rangka lawatan kerja empat hari ke UK dan hari ini beliau menemui 130 pelajar tajaan FELDA di Universiti LimKokWing sebelum menghadiri taklimat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang akan diadakan di sini Oktober nanti.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula mengadakan lawatan ke pusat autisme di Treehouse School di sini.

Permit khas pelajar

Zakaria berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di UK ada permit khas dan begitu juga di kalangan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di sini, memerlukan permit kerja.

Sebelum ini UK memutuskan tidak mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia selepas berpuas hati dengan usaha negara menangani masalah rakyatnya yang tinggal melebihi tempoh di UK.

Difahamkan, Malaysia berada di kalangan 10 negara tertinggi bagi pencabulan undang-undang imigresen di UK.


Dadah Dalam Sarung Ipad

on Tuesday, July 2, 2013

sarung ipad berisi dadah

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki warganegara India kerana disyaki membawa masuk dadah jenis Methamphetamine atau syabu yang disorok dalam 29 sarung iPad di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), minggu lalu.

Dalam rampasan jam 1 pagi pada 25 Jun lalu, suspek dikesan cuba menyeludup syabu dianggarkan seberat 9.55 kilogram (kg) dengan nilai anggaran RM1.8 juta.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, semua sarung iPad itu diletakkan dalam sebuah bagasi berjaya dikesan selepas melalui mesin pengimbas yang mendapati ada imej mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan menemui semua sarung itu diisi dengan serbuk putih disyaki dadah jenis syabu.

"Berikutan itu, suspek yang tiba dari Kolkata, India ditahan dan dia kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan.

"Jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini.

Kumpulan Anti-Islam Sasar 700 Masjid

on Monday, July 1, 2013

Masjid dibakar di britain


LONDON  - Satu kajian mendedahkan bahawa separuh daripada masjid di Britain telah diserang sejak serangan keganasan di New York pada 11 September 2011 ketika serangan anti-Islam merebak.

Perbuatan bakar bangunan dengan sengaja, ancaman siber dan serangan secara fizikal meningkat 10 kali ganda selepas pembunuhan anggota tentera Lee Rigby pada bulan lalu.

Pemantau Islamfobia, Tell Mama mendapati antara 40 dan 60 peratus masjid serta pusat Islam iaitu berjumlah kira-kira 700 buah, dijadikan sasaran di Britain sejak berlaku serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York itu.

Penulis laporan itu, Profesor Nigel Copsey dari Universiti Teesside berkata, apa yang penting tentang analisis tersebut merupakan sejauh mana kumpulan berhaluan kanan terbabit dalam jenayah kebencian dan anti-Islam.

Kajian yang dijalankan oleh akhbar Independent juga mendapati peningkatan sebanyak 10 kali ganda serangan keganasan sejak kematian Tigby dengan masjid dan rumah penganut Islam dibakar.

Rigby, 25, dibunuh oleh dua anggota pelampau Islam berhampiran sebuah berek tentera di Woolwich pada bulan lalu, yang mencetuskan kemarahan penduduk Britain terhadap penduduk Islam dan meningkatkan kembali sentimen ant-Islam di negara ini.

Hampir sembilan serangan keganasan dilaporkan setiap hari sejurus selepas kematian Rigby, namun ia menurun kepada dua serangan setiap hari pada minggu-minggu selepas itu.

Copsey berkata, tidak dapat disangkalkan berlaku peningkatan serangan anti-Islam sejak pembunuhan Rigby di Woolwich.

''Kebimbangan yang nyata kini adalah, sama ada jumlah jenayah kebencian akan kembali ke peringkat normal atau serangan di Woolwich akan mengubah keadaan dengan meningkatnya kejadian serangan dan anti-Islam dalam jangka panjang,'' katanya.

Masyarakat Islam diberi amaran tentang bahaya yang bakal dihadapi daripada kumpulan anti-Islam melalui khutbah Jumaat di 500 buah masjid di negara ini, kelmarin. - AGENSI


 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal