Bayi Jadi Tebusan Bapa

on Saturday, September 21, 2013

bayi empat bulan jadi tebusan bapa


Pegang parang bersama anak elak dicekup polis

Bukit Mertajam - Seorang bapa bersenjatakan dua parang tergamak menjadikan bayi perempuannya yang berusia empat bulan sebagai tebusan apabila sepasukan polis membuat serbuan di rumahnya di Kampung Bukit Teh, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, suspek yang dipanggil dengan nama gelaran Kopi dalam kalangan penduduk kampung berada di dalam rumah berkenaan bersama isteri dan anaknya.
Bagi mengelak daripada ditangkap polis, suspek mendukung bayinya di tangan kiri sambil memegang sebilah parang yang diletakkan di leher bayinya manakala tangan kanan yang turut memegang sebilah parang mengacukannya ke arah polis selain mengugut mahu membunuh bayinya.

Polis cuba memujuk suspek namun dia bertindak agresif ke atas bayinya hingga memaksa polis melepaskan satu das tembakan amaran tetapi tidak dipedulikan.

Cuba lepaskan diri

Suspek yang semakin agresif cuba melarikan diri bersama bayi ke arah kawasan belukar berhampiran menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kaki serta paha kiri suspek sebelum rebah.

Sebaik menghampiri suspek, anggota polis terus menyelamatkan bayi berkenaan daripada bapanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata suspek yang berusia 26 tahun cuba ditahan dalam operasi kes narkotik mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kaki dan paha kiri suspek selepas dia bertindak agresif ke atas bayi yang didukung selain mencederakan seorang anggota polis selepas melibaskan parang ke arah anggota berkenaan.

“Suspek yang tidak bekerja didapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan curi motosikal dilaporkan dalam keadaan stabil serta akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Din mendakwa terdengar suara orang menjerit-jerit sebelum disusuli bunyi tembakan ketika menjalankan kerja ukur tanah di kampung berkenaan.

Katanya, dia terlihat seorang lelaki berlari sambil mendukung seorang bayi dengan kedua-dua belah tangannya memegang parang sambil menjerit dan mengacukan parang kepada sepasukan polis yang mengekorinya.

“Saya lihat polis cuba memujuknya namun lelaki itu bertindak agresif dan melibaskan parang ke arah polis sebelum polis menembak bahagian kakinya,” katanya.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal