Polis Dan Tentera Mengundi Awal

on Tuesday, April 30, 2013

polis,tentera mengundi


KUALA LUMPUR - Seramai 272,387 orang anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan pasangan masing-masing menjalankan kewajipan mereka sebagai rakyat menerusi pengundian awal hari ini.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria (gambar), sebanyak 544 pusat mengundi yang melibatkan 882 tempat mengundi di ibu pejabat polis dan kem tentera telah disediakan untuk tujuan tersebut.

"Untuk pengundian awal ini, pengundi-pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk tangan kiri dan dakwat kekal ini adalah berbeza warnanya berbanding pengundian biasa.

"Bagi maksud menjalankan pengundian awal itu, SPR telah menyediakan sebanyak 10,000 botol dakwat kekal," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Pengundian awal adalah satu proses penambahbaikan SPR bagi menggantikan amalan undi pos yang dilaksanakan dalam pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, hanya anggota polis, PGA dan tentera yang bertugas di perbatasan atau pada hari pengundian masih perlu mengundi secara pos.

Selain itu, kemudahan undi pos turut diberikan kepada petugas media, kakitangan SPR, kakitangan awam yang sedang berkhidmat di luar negara bersama pasangan.

Pelajar sepenuh masa yang belajar di institut pengajian tinggi di luar negara serta pasangan turut diberikan kemudahan undi pos.

Kamaruddin menjelaskan, pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat-peringkat bergantung kepada bilangan pengundi hingga pukul 7 petang.

"Proses pengundian awal akan disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan termasuk pemerhati tempatan daripada 17 pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR turut mendapat kebenaran masuk ke pusat pengundian daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

Jelas beliau, kertas undi tidak akan dikira di saluran atau tempat mengundi, sebaliknya akan disimpan di tempat selamat seperti di lokap polis.

"Kertas undi itu hanya akan dikira pada jam 4 petang pada hari pengundian biasa 5 Mei ini," ujarnya.

Dalam pada itu, pengundian secara pos di luar negara membabitkan 6,339 pengundi di 103 perwakilan negara di seluruh dunia selesai semalam.

Timbalan Pengerusi (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah keluar mengundi tinggi biarpun pihaknya belum menerima peratusan rasmi mengenainya daripada semua kedutaan terlibat.

"Kita jangka kesemua undi pos dijangka dapat sampai ke tanah air selewat-lewatnya Sabtu ini," katanya.


40 Cedera Dalam Letupan Di Prague

Letupan Di Prague



PRAGUE - Satu letupan kuat memusnahkan sebuah bangunan di kawasan bersejarah di bandar ini semalam, mencederakan kira-kira 40 orang dengan beberapa orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.

Pihak polis telah menutup lokasi pelancongan popular itu selain memindahkan lebih 220 orang dari beberapa buah bangunan berhampiran.

Letupan sebuah bangunan berhampiran bangunan Teater Kebangsaan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

"Kira-kira 40 orang telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan daripada mereka mengalami cedera ringan. Namun kami tidak menolak kemungkinan ada yang mengalami kecederaan serius," kata jurucakap polis Prague, Tomas Hulan.

Wujud kebimbangan bahawa mungkin tiga orang mangsa terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dijadikan ruang pejabat.

"Letupan ini cukup kuat dan menyebabkan tingkap-tingkap cermin pecah," tambah Hulan. - AFP

Google Lancar Chromebook Pixel

on Sunday, April 28, 2013

chromebook pixel


SAN FRANCISCO: Google melancarkan komputer peribadi skrin sesentuh yang direka bagi pengguna mewah sekali gus memberikan persaingan kepada Apple MacBooks.

Google berkata komputer Chromebook Pixel yang menggabungkan teknologi laptop dan tablet, menawarkan cip intel yang berdaya tahan serta skrin yang dikhususkan bagi elemen grafik yang tinggi.

dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain pada harga permulaan AS$1,299 (RM4,026.90).

“Orang ramai akan berhenti memilih MacBook Air dan menggantikannya dengan yang ini,” kata Naib Presiden Kanan Google Chrome, Sundar Pichai.

Model Pixel yang mempunyai ciri seperti sambungan bina dalam kepada perkhidmatan Internet mudah alih Verizon yang akan berada di pasaran AS pada harga AS$1,449 (RM4,491.90).

Versi yang baru dilancarkan itu boleh mempunyai sambungan dalam talian dengan teknologi hotspot tanpa wayar atau kabel.

“Ia adalah sebuah produk yang hebat,” kata Om Malik dari laman web berita teknologi, GigaOm semasa kemunculan pertama Pixel di San Francisco.

“Namun Google mempunyai masalah dengan jualan, mereka perlu bersaing dengan harga asal dan mambina asas pemaju bagi produk mewah,” katanya.

Google berharap peminat akan mengelakkan perbandingan harga dengan pesaing seperti MacBooks atau komputer riba yang menggunakan perisian Windows 8 dan memfokuskan kepada ciri skrin sentuh Pixel dan penyimpanan data yang besar dalam Google Drive yang turut dimuatkan.

“Ia kelihatan seperti agak sukar dijual,” kata Penganalisis Forrester, James McQuivey.

“Saya berharap mereka tidak bercadang untuk membuat keuntungan daripadanya,” katanya.

Dalam pada Pixel kelihatan menyasar pasaran MacBook, ia turut berdepan dengan persaingan sengit daripada komputer riba skrin sentuh berasaskan perisian Windows 8.

“Ia seolah-olah lebih kepada pengeluaran produk simbolik dengan Google cuba menyatakan ia tidak lagi menjadi penyedia peranti yang tidak berkualiti,” kata McQuivey.

Penganalisis daripada Enderle Group, Rob Enderle menyifatkan langkah Pixel sebagai “bangkai kereta api” dengan menyatakan hujah seperti selalunya komputer riba yang berharga lebih AS$600 (RM1,860) tidak mencatatkan jualan yang bagus dan Apple juga bergelut untuk menjual model MacBook Air dengan harga AS$999 (RM3,096.90)

Populariti komputer tablet yang melonjak turut menghakis keseluruhan pasaran bagi komputer riba.

“Ia hanya memeranjatkan. Saya tidak mempunyai petunjuk apa yang sedang difikirkan Google,” kata Enderle.

Pengumuman itu menambah dimensi baru kepada persaingan antara dua gergasi teknologi yang terperangkap dalam saingan sengit pada telefon pintar dan tablet. - AFP


Hackers Serang Twitter

twitter di serang penggodam


New York: Gergasi media sosial, Twitter adalah antara syarikat Amerika Syarikat (AS) terbaru yang melaporkan menjadi mangsa serangan keselamatan internet, sambil menyatakan penggodam mungkin meraih akses terhadap maklumat 250,000 daripada keseluruhan 200 juta pengguna aktifnya.

Dalam satu kenyataan di blog, Twitter berkata ia mengesan percubaan untuk meraih akses kepada data penggunanya awal minggu ini. Ia menghentikan satu serangan sebaik saja ia dikesan.

Twitter bagaimanapun mendapati bahawa penggodam mungkin mencuri kata laluan pengguna, alamat emel dan kata kunci sulit membabitkan 250,000 pengguna yang mana mereka menyifatkannya sebagai “peratusan kecil daripada semua penggunanya.”

Syarikat itu menala semula kata laluan dan telah menghantar emel kepada penggunanya yang terjejas.

Serangan Twitter itu berlaku tidak lama selepas serangan terbaru terhadap sistem komputer syarikat AS, membabitkan The New York Times dan The Wall Street Journal.

Kedua-dua akhbar itu minggu ini melaporkan bahawa sistem komputer mereka diceroboh oleh penggodam yang berpangkalan di China dan mungkin bertujuan memantau liputan media yang dianggap penting oleh kerajaan China.

Jumaat lalu, The Washington Post mendedahkan dalam satu artikel yang diterbitkan dalam laman webnya, bahawa ia turut menjadi sasaran serangan siber kompleks, yang ditemui pada 2011 dan adalah yang pertama dilaporkan oleh blog keselamatan siber bebas.

Jurucakap Washington Post, Kris Coratti, tidak memberikan sebarang perincian termasuk tempoh serangan atau sumber serangan, tetapi mengikut sumber yang dipetik akhbar itu, tanpa memberikan identiti, bahawa penceroboh meraih akses seawal 2008 atau 2009.

Mengikut sumber itu, penyerang China juga dalam senarai yang disyaki.

Coratti bagaimanapun gagal dihubungi untuk maklum balas oleh The Associated Press.

Mengikut komen beliau kepada akhbar itu, syarikat berkenaan bekerjasama dengan syarikat keselamatan, Mandiant untuk “mengesan, menyiasat dan mengatasi situasi itu dengan segera pada akhir 2011.”

China dituduh melancarkan kempen intipan siber secara meluas untuk beberapa tahun, dengan percubaan mencuri maklumat rahsia dan rahsia korporat.

Kementerian Luar China bagaimanapun gagal dihubungi untuk maklum balas pada Sabtu lalu, tetapi kerajaan China sebelum ini berkata tuduhan itu adalah tidak berasas dan menyatakan China sendiri menjadi sasaran serangan siber.

Twitter tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada ia percaya serangan ke atasnya membabitkan China. Namun, kiriman blog pengarah keselamatan maklumat syarikat itu, Bob Lord, menjelaskan bahawa penggodam itu amat mengetahui apa yang mereka lakukan.

Mengikut Lord dalam blog itu, serangan itu “bukan kerja amatur, dan kami tidak percaya bahawa kejadian itu adalah sesuatu yang asing.”

“Penyerang itu amat kompleks, dan kami percaya syarikat dan organisasi lain juga menghadapi serangan yang sama,” kata Lord.

“Justeru, kami merasakan adalah penting untuk mengumumkan serangan sementara kami berusaha untuk mencari lebih banyak maklumat, dan kami sedang membantu kerajaan dan penguat kuasa undang-undang persekutuan dalam usahanya untuk menangkap dan mendakwa penyerang ini dalam menjadikan internet selamat untuk semua pengguna.”

Jurucakap Twitter, Jim Prosser yang dihubungi Sabtu lalu tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut. - AP


Ayam Penyebar Virus H7N9

ayam sebar h7n9 kata penyelidik


BEIJING: Penyelidik mengesahkan virus selesema burung H7N9 yang mula dikesan Februari lalu disebarkan oleh ayam di pasar haiwan ternak kepada manusia.

Kes pertama jangkitan terhadap manusia dilaporkan di Shanghai sebelum virus itu dikesan di wilayah selatan Zhejiang dan Beijing di utara.

Pasar haiwan ternak banyak didapati di Asia. Hasil penyelidikan terbaru itu dilaporkan oleh majalah The Lancet.

Selepas seorang pesakit berusia 39 tahun dirawat di hospital kerana virus berkenaan, sepasukan penyelidik mula menguji 486 orang yang melaporkan tanda-tanda jangkitan pernafasan.

Ia diketuai oleh Profesor Lanjuan Li dari Universiti Zhejiang, Hangzhou, China dan Profesor Kwok-Yung Yuen dari Universiti Hong Kong.

Ujian mereka menunjukkan tiga daripada pesakit dijangkiti virus H7N9 dan meneruskan kajian bagi mengenal pasti petanda jelas jangkitan.

Oleh kerana semua pesakit terdedah kepada haiwan ternakan, mereka berusaha mengesahkan bagaimana jangkitan berlaku daripada ternakan kepada manusia.

Mereka mengambil sampel ayam, quails, burung merpati dan itik di enam pasar haiwan ternak yang dikunjungi pesakit.

Sebanyak 40 peratus burung merpati dan 20 peratus ayan yang diuji didapati positif H7N9.

Penyelidik membandingkan struktur genetik virus H7N9 dengan seorang pesakit dan mendapati beberapa persamaan menunjukkan virus disebar oleh ayam.

Mereka memutuskan manusia bukan penyebar jangkitan virus itu selepas meneliti 303 kediaman dan pejabat pesakit.

Seselema burung H7N9 sudah menjangkiti 108 orang dan membunuh 22 penduduk China di beberapa kawasan berasingan.

Maut DiTembak Ketika Berhenti DiLampu Isyarat

on Saturday, April 27, 2013

ditembak di lampu isyarat



Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut manakala ibunya cedera selepas ditembak oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika mangsa berhenti di lampu isyarat di Bulatan Taman Billion, Cheras, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, R Karikaalan, 29, memandu kereta Nissan Livina bersama ibunya yang berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Puchong.

Mangsa yang terkena tembakan di bahagian dada disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 1 tengah hari.

Bagaimana pun, ibu mangsa yang terkena dua das tembakan pada lengan kanan masih dirawat di hospital sama dan dilaporkan stabil.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, kejadian berlaku ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat di bulatan berkenaan.


Kenderaan Di Bakar ,Bandar Baru Ampang

kenderaan di bakar,blok D pangsapuri nilam


Ampang: “Saya dan anak sempat tarik beberapa motosikal kerana bimbang lebih banyak yang terbakar,” kata Ramli Mohd, 44, saksi kejadian dua kereta dan tujuh motosikal terbakar di tempat letak kenderaan di Blok D Pangsapuri Sri Nilam, Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.

Kejadian jam 3 pagi itu turut menyebabkan beberapa rumah di tingkat atas tempat letak kenderaan itu rosak terkena asap tebal.

Ramli bekerja sebagai juruteknik berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan seorang lelaki warga asing memberitahu ada kebakaran.

“Ketika itu saya tidur di rumah saya tingkat 8 Blok F dan mendengar jeritan memaklumkan ada kebakaran. Selepas menjenguk ke luar rumah. Saya nampak api marak di tempat letak motosikal blok depan.

“Saya dan anak lelaki berusia 18 tahun meluru turun ke bawah untuk menyelamatkan motosikal saya yang turut diletakkan di situ, selain cuba menyelamatkan beberapa motosikal lain,” katanya



Bangunan Runtuh Di Bangladesh

on Friday, April 26, 2013

bangunan kilang runtuh bangladesh



SAVAR, Bangladesh - Beribu-ribu orang kelihatan sayu sambil memerhatikan pasukan penyelamat mencari saudara-mara masing-masing yang masih terperangkap di bawah sebuah bangunan yang runtuh di sini kelmarin.

Sehingga semalam, jumlah mereka yang terkorban meningkat kepada 230 orang. Bangunan lapan tingkat tersebut, Plaza Rana, menempatkan beberapa premis perniagaan termasuk pasar raya dan kilang pakaian.

Angka korban besar tersebut ekoran pihak pengurusan kilang pakaian itu tidak menghiraukan kemunculan keretakan pada dinding bangunan beberapa jam sebelum bangunan itu runtuh.

Susulan kejadian itu kelmarin, beratus-ratus ribu pekerja keluar dari kilang mereka untuk memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terkorban.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mengesan suara mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan.

Namun, setakat semalam mereka hanya mengeluarkan sejumlah mayat mangsa insiden tersebut.

"Jumlah mayat yang ditemui kini 204 orang," kata pegawai kanan polis, Moshiuddowla Reza kepada AFP. Tambahnya, kebanyakan mayat yang ditarik keluar merupakan sebahagian daripada 3,000 orang pekerja perempuan di bangunan lapan tingkat berkenaan.

Kemalangan yang terjadi didakwa berpunca daripada masalah sistem keselamatan dan keadaan suasana tempat kerja kurang sempurna yang melanda industri tekstil Bangladesh. Bangladesh merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia.

Pada November tahun lalu, 111 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang membuat pakaian untuk jenama Walmart dan beberapa label Barat di Dhaka.

Mangsa-mangsa yang terselamat mendakwa pintu kecemasan bangunan kilang berkenaan ditutup oleh pengurus kilang tersebut. - AFP


Timbalan Pengarah Kastam Maut Ditembak

Datuk Saharuddin Ibrahim



PUTRAJAYA,  - Timbalan Pengarah Kastam Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Saharuddin Ibrahim maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh penunggang motosikal di sini pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Lebuh Wawasan dari arah Dengkil bersebelahan IPD Putrajaya.

Mangsa yang ketika itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja bersama pemandunya telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospiral Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham berasal dari Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang tegas dan berani bersuara.




Kaki Digilis Selepas Dihimpit Lori

on Wednesday, April 24, 2013

kaki digilis



BAGAN SERAI - “Saya terpaksa memanggil ambulans kerana bimbang selepas melihat kaki mangsa parah,” kata saksi kemalangan di Sungai Gedung di sini, Ahad lalu.

Saksi dikenali sebagai Ahmad berkata, dia melihat mangsa, P Rajagopal, 50-an, yang menunggang motosikal dikatakan bergesel dengan sebuah lori yang menuju ke arah Taiping dari Bagan Serai.

Menurutnya, akibat kejadian kira-kira jam 3.10 petang, Rajagopal mengalami patah paha dan betis kanan.

“Sejurus motosikal ditunggangi mangsa terjatuh selepas dihimpit lori berkenaan, kaki kanan mangsa digilis tayar belakang lori itu sehingga menyebabkannya terkulai.

“Lori yang mengilis kaki mangsa bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran orang awam ke lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, Ahad lalu.

Ahmad berkata, dia dan beberapa saksi kemalangan membantu mengalihkan tubuh mangsa, yang ketika itu meraung kesakitan ke bahu jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian, N B Sugumaran ketika dihubungi media menegaskan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.24 petang dan bergegas ke sana dengan menaiki ambulans jabatan berkenaan.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami melihat mangsa berada dalam keadaan separuh sedar sambil meraung kesakitan, manakala kaki kanannya sudah terkulai dan parah.

“Kami segera memberi bantuan dengan membalut dan memasang alat penyokong kaki seterusnya menghantar mangsa berkenaan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan.


Seagate Wireless Plus Peranti Ubah Wifi

seagate wireless plus



Seagate Technology memperkenalkan peranti mudah alih Seagate Wireless Plus yang membolehkan pengguna mencipta rangkaian WiFi sendiri tanpa keperluan untuk memindah turun perisian dari Internet.

Ia direka untuk menawarkan kandungan tanpa wayar sehingga lapan gajet pintar dengan ruang simpanan sehingga 500 filem HD selain Aplikasi Seagate Media yang direka bagi semua peranti mudah alih termasuk Apple iOS,Android, Kindle Fire HD.
Gajet terbabit mempunyai ketahanan bateri selama 10 jam untuk menandingi tablet dan telefon pintar.

Bersama pemacu saiz 1TB yang disepadukan, anda akan mempunyai semua yang diperlukan untuk hiburan di mana-mana termasuk dalam penerbangan ataupun perjalanan jalan raya yang panjang tanpa sambungan Internet.


Peranti setoran Seagate Wireless Plus ini boleh diakses melalui aplikasi Seagate Media mudah alih untuk Apple IOS, Android dan peranti Kindle Fire HD.


Anda boleh menggunakan Seagate Wireless Plus untuk menikmati video, foto, muzik dan dokumen melalui skrin besar dengan Apple Airplay, DLNA atau aplikasi yang direka khusus untuk televisyen pintar Samsung dan pemain Blu-ray.

Pemacu baru tanpa wayar ini datang dengan adaptor USB 3.0 SuperSpeed untuk memindahkan gambar, video, muzik, dan dokumen dengan pantas.


Spesifikasi Wireless

Produk: Seagate Wireless Plus
Harga: RM599
Antaramuka: WiFi, USB3.0
Kapasiti: 1TB
Dimensi: 19.9 x 89 x 127mm
Berat: 256g
Bateri: 10 jam


BlackBerry Q10 lengkap QWERTY

blackberry q10 qwerty


Masa yang ditunggu kini tiba untuk menyaksikan kemunculan BlackBerry baru lebih segar selepas penjenamaan semula syarikat kepada hanya nama buah ditambah dengan telefon QWERTY lengkap BlackBerry 10 menerusi Q10.

Ia bakal dilancarkan di Malaysia pada 30 April nanti.
Peranti dan perisian BlackBerry 10 direka bersama-sama ciri baru iaitu Balance yang mampu membahagikan telefon BlackBerry kepada dua `peranti’ yang berasingan, satu untuk bekerja manakala satu lagi untuk kegunaan peribadi.

Sekali gus profil yang dibahagikan kepada dua akan menyimpan maklumat sensitif syarikat dan bahagian IT boleh mengawalnya daripada bocor secara tidak sengaja.


Sementara aplikasi peribadi e-mel dan gambar ditempatkan di ruang `Personal’ membolehkan anda menukar profil ke profil yang lain dengan lebih selamat.


Telefon BlackBerry Q10 bakal disertakan dengan skrin sentuh dan papan kekunci yang bakal memberi nafas baru.

Selain itu, terdapat fungsi Story Maker bertujuan menghasilkan ciri interaktif sebagai salah satu aplikasi tambahan yang memungkinkan pengguna mencipta sendiri kandungan interaktif mereka dengan lebih mudah.

Tidak dilupakan, aplikasi suntingan foto yang siap dibangunkan menghilangkan kerisauan sekiranya anda mahu memiliki aplikasi seperti Instagram.


Spesifikasi BlackBerry

Produk: BlackBerry Q10
Harga: Anggaran RM2,099
OS: BlackBerry 10
Fungsi: Skrin sentuh, papan kekunci
Dimensi: 119.6 x 66.8 x 10.4mm
Berat: 139g
Skrin: 3.1 inci, 720 x 720 piksel Super AMOLED
Setoran: 16GB
RAM: 2GB
Kamera: 8MP
Set cip: TI OMAP 4470
CPU: Dual Core 1.5 GHz Cortex-A9
Bateri: Li-Ion 1800mAh


Kes H7N9 Di China Meningkat Kepada 104 Dengan 21 Kematian

h7n9 penyakit berbahaya



BEIJING - China mengesahkan dua lagi kes selesema burung H7N9 setakat 4 petang Isnin, menjadikan jumlah kes keseluruhan meningkat kepada 104 dengan 21 kematian.

Menurut laporan harian Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Kebangsaan, dua jangkitan baharu itu direkodkan di Wilayah Zhejiang, timur China, menjadikan kes terkumpul 40 dengan lima kematian di wilayah berkenaan.

Sebanyak 70 pesakit H7N9 masih dirawat di hospital yang dikhususkan, sementara tiga telah dibenar keluar, kata laporan itu.

Setakat ini 33 kes termasuk 12 kematian dilaporkan di Shanghai, 24 kes dengan tiga kematian di Wilayah Jiangsu dan tiga kes dengan satu kematian di Wilayah Anhui.

Beijing mengesahkan kes pertama pada pertengahan bulan ini sementara tiga kes dilapor di Wilayah Henan.

China secara rasmi mengesahkan jangkitan pertama H7N9 membabitkan manusia akhir bulan lepas.

Punca sebenar jangkitan masih belum dikenal pasti dan penyelidik sedang berusaha membangunkan vaksin bagi menentang strain baharu selesema burung itu. - Bernama


Letupan Bom Di Kedutaan Perancis, 2 Pengawal Cedera

bom kereta di kedutaan perancis di libya


TRIPOLI - Sebuah kereta meletup, dipercayai diletakkan bom, di luar Kedutaan Perancis di sini, menyebabkan dua pengawal cedera.

Letupan menyebabkan beberapa bahagian kedutaan musnah. Letupan berlaku kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan.

Menurut pemberita Reuters, kejadian berpunca daripada bom kereta.

Pegawai Perancis ketika ini sedang bekerjasama dengan pihak berluasa Libya bagi menyiasat dalang dalam kejadian ini.

Pemerhati berkata, kejadian ini merupakan serangan yang pertama di kedutaan asing di ibu negara Libya.



Terhidu Gas Beracun

pelajar terhidu gas beracun



Alor Setar: Seramai 50 pelajar dan seorang waris yang terhidu gas beracun di Sekolah Menengah Seri Pantai, dekat sini, semalam yang menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II, di sini, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kesemua pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah itu dipercayai terhidu gas berkenaan ketika sedang belajar sebelum mereka mengalami muntah, pening kepala dan sesak nafas.

Berikutan itu, mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Kedah untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mendapati keadaan semua pelajar membimbangkan.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, setiap mangsa dimandikan terlebih dahulu bersama pakaian yang dipakai ketika kejadian untuk mematikan kuman akibat terhidu gas beracun itu.

Beliau berkata, disebabkan jumlah pelajar yang ramai, pihaknya terpaksa memindahkan semua mangsa ke HSB II (Hospital Alor Setar), di sini, untuk menjalani rawatan susulan dan dipantau setiap masa.

"Kita sudah menghantar satu pasukan khas untuk memeriksa di sekitar kawasan lokasi bagi mengenal pasti punca menyebabkan semua pelajar muntah, pening kepala dan sesak nafas," katanya.

Juita berkata, semua pelajar dan waris terbabit mendapat rawatan di Klinik Kesihatan di Kuala Kedah terlebih dahulu sebelum dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan.


Maut DiRempuh Kereta Peronda

on Sunday, April 21, 2013

maut dirempuh kereta peronda



Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar melakukan siasatan di tempat kejadian

kemalangan maut melibatkan sebuah kereta peronda polis merempuh murid sekolah di Jalan Kaki Bukit

dekat Kangar, semalam.

Mohamad Akmal Daniel Che Azni, 11, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Salang maut ketika

dalam perjalanan untuk menjalani latihan hoki di sebuah sekolah yang terletak kira-kira dua kilometer dari

lokasi kemalangan.

Mangsa yang berbasikal dipercayai cuba menyeberang jalan berkembar berkenaan tanpa menyedari

kehadiran kereta peronda polis yang datang dari arah Padang Besar sebelum dirempuh dan tercampak lebih

100 meter mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian. - BERNAMA


Acer Liquid C1

Acer Liquid C1


JIKA sebelum ini jenama Acer terkenal dengan rangkaian produk seperti komputer riba serta pembangunan produk ultrabook, kini jenama tersebut mengorak langkah dengan memperkenalkan telefon bimbit pintar yang menggunakan kuasa Intel Inside sebagai pemproses dalaman.

Diperkenalkan sebagai Acer Liquid C1, ia merupakan telefon pintar pertama yang dikuasakan dengan pemproses Intel sekali gus memperlihatkan kelainan dengan mana-mana telefon yang menggunakan sistem operasi Android 4.1 Ice Cream Sandwich.

Menurut Presiden Kumpulan Bisnes Telefon Pintar Acer Inc., Liew Sze Thai, kerjasama yang terjalin bersama Intel Inside menunjukkan komitmen mereka dalam memastikan pengguna masa kini mampu memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Acer dalam aktiviti seharian mereka.

"Dibangunkan bersama pemproses Intel Atom 1.2 giga herz bagi kelancaran operasi, peranti tersebut membolehkan pengguna merasai ciri-ciri responsif beserta kawalan sentuhan dan pembukaan laman web yang pantas.

"Sistem operasi beserta kuasa enjin grafik sehingga 400 mHz amat sesuai bagi main semula video di samping kamera lapan mega pikselnya mampu menampung rakaman lima cetakan sesaat (fps)," katanya pada majlis pelancaran Acer Liquid C1 di ibu negara baru-baru ini.

Daya ketahanan baterinya sehingga sembilan jam memastikan kelancaran ketika penggunaannya sepanjang hari turut ditambah dengan kelajuan operasi Internet sepantas 3G yang beroperasi pada 21 Mbps.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranti ini boleh layari laman web www.acer.com.my dan Liquid C1 kini telah berada di pasaran dengan harga pengenalan RM999.


Platform Windows Phone 8 Huawei

huawei ascend w1,windows phone 8


BUAT pertama kalinya Huawei memperkenalkan telefon pintar menggunakan platform Windows Phone 8 iaitu Huawei Ascend W1.

Hanya senipis 10.15 milimeter (mm), Ascend W1 turut menawarkan paparan skrin sesentuh IPS LCD (480 x 800) berteknologi OGS seluas empat inci.

Ascend W1 dijana oleh pemproses Qualcomm Snapdragon S4 MSM8230 dual-core 1.2 GHz dan Adreno 305 GPU menjadikan telefon pintar tersebut sebaris dengan telefon pintar hebat jenama terkenal lain.

Malah, pembaharuan keupayaan baterinya 1950 mAh, Ascend W1 mampu bertahan sehingga 470 jam tunggu sedia dan merupakan antara telefon pintar yang memiliki ketahanan bateri paling lama dalam kelasnya.

Seperti biasa, reka bentuk Ascend W1 merupakan kesinambungan legasi inovasi Huawei yang mengambil inspirasi kepulauan tropika.

Hadir dengan empat warna utama, Ascend W1 boleh didapati dalam warna merah, biru, hitam dan putih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu, Ascend W1 dihasilkan berdasarkan gabungan sentuhan inspirasi pengguna dan juga teknologi perisian terkini iaitu Windows Phone 8.

"Kehadiran Ascend W1 dalam barisan telefon pintar yang sedia ada menjadikan pilihan pengguna terhadap gajet keluaran Huawei semakin luas.

"Pada kadar harga yang berpatutan, Ascend W1 merupakan pilihan tepat kepada pengguna masa kini," katanya.

Antara kelebihan lain yang terdapat pada Ascend W1 adalah skrin paparan IPS LCDnya mampu menangkis kesan silau menerusi teknologi lapisan.

Paparan lebih terang dan jelas biarpun anda menggunakan Ascend W1 di bawah terik matahari.

Manakala aplikasi perisian The Windows Phone 8 Start untuk skrin membolehkan pemilik Ascend W1 menyusun mengatur Live Tiles berdasarkan kreativiti mereka.

Sebagai tambahan, kekunci skrin yang lebih dinamik membolehkan pemiliknya memilih gambar biarpun telefon masih terkunci.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.huaweidevice.com


Gempa Bumi Di China 102 Maut

gempa bumi di china,102 maut



BEIJING - Gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan, barat daya China, hari ini dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 113 orang terbunuh dan hampir 2600 orang lagi cedera.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8.02 pagi waktu tempatan dan (8.02 pagi waktu Malaysia) di daerah Lushan berdekatan bandar Ya'an dan berpusat 12 kilometer di bawah bumi.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan 113 orang disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala media rasmi melaporkan kira-kira 2600 orang lagi cedera.

Presiden, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang berkata, semua usaha perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan mangsa bagi mengehadkan peningkatan jumlah kematian.

Xinhua melaporkan, 2,000 askar dikerahkan ke kawasan kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

''Penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 27 mangsa daripada runtuhan di Lushan,'' lapor Xinhua.

Saluran televisyen CCTV pula melaporkan hanya kenderaan jabatan kecemasan dibenarkan memasuki Ya-an dan lapangan terbang Chengdu sudah kembali beroperasi.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah penduduk di Lushan. Bekalan air dan elektrik di bandar itu dilaporkan terputus. Gempa tersebut turut dirasai oleh penduduk di wilayah berdekatan dan Chengdu.

Gambar di laman-laman web China menunjukkan runtuhan bangunan dan orang ramai yang luka diberikan rawatan di hospital. - REUTERS


Angka Kematian H7N9 Di China 16 Orang

on Saturday, April 20, 2013

16 maut H7N9 di china



SHANGHAI -  Virus selesema burung H7N9 meragut dua lagi nyawa dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 16 orang, kelmarin.

Media tempatan melaporkan, China mengesahkan 77 orang dijangkiti virus berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Wabak itu kian menular dan membimbangkan. Penyakit itu menyerang manusia buat kali pertama di China dan tidak mustahil turut merebak ke negara jiran," menurut laporan AFP.

Virus terbaru itu dikesan di timur bandar Shanghai, Zhejiang, Jiangsu dan Anhui sehingga Sabtu lalu dengan kes pertama dilaporkan di Beijing.

Ia kemudiannya merebak ke tengah wilayah Henan apabila dua kes dilaporkan Ahad lalu.


Kanak-Kanak Tersepit Kepala

tersepit kepala di bandar yulin



BEIJING - Keseronokan seorang kanak-kanak bermain 'sorok-sorok' bersama rakan-rakannya berakhir insiden panik apabila kepalanya tersepit di celah bangunan di bandar Yulin, selatan China.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba keluar dari celah bangunan tersebut namun gagal hingga menyebabkan seorang daripada rakannya terpaksa menghubungi ibu bapa mereka.

Menurut laopran MailOnline pegawai polis tempatan berkata, anggota penyelamat mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan kanak-kanak  perempuan berumur 6 tahun.

"Kepala kanak-kanak itu melekat pada dinding. Kami terpaksa menggunakan minyak pelincir untuk membantu mangsa," katanya.


19 Korban Letupan Bom Di Iraq

on Wednesday, April 17, 2013

19 maut letupan bom di iraq



BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan lebih 100 penduduk awam cedera dalam siri letupan bom di seluruh Iraq.  

Kejadian itu dilaporkan berlaku sejak beberapa pemimpin negara itu giat melakukan kempen pilihan raya umum.

"Majoriti serangan membabitkan letupan mortar di bandar Baghdad, barat Fallujah, utara Kirkuk dan beberapa kawasan bandar di selatan ibu negara," kata pegawai yang dipetik daripada laporan AL-Jazeera

Setakat ini, sebanyak 14 kes letupan bom kereta dan tiga serangan bom tepi jalan berlaku di tujuh bandar termasuk Baghdad sekali gus meningkatkan jumlah angka korban.

Sementara itu, satu lagi serangan bom berlaku melibatkan sebuah kenderaan yang diisi bom di utara Kirkuk dan Tuz Khurmatu.

Serangan bersiri di seluruh Iraq dilaporkan berlaku seminggu sebelum rakyat negara itu membuat pilihan menggunakan sistem pilihan raya sejak tentera Amerika Syarikat meninggalkan Iraq pada 2011.

Lelaki Ditembak Depan Isteri, Anak

tan kok soon ditembak mati



SEREMBAN – Selang sehari selepas ahli perniagaan ditembak dalam kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong, Jumaat lalu, seorang lagi ahli perniagaan maut ditembak penjenayah, petang kelmarin.

Kali ini, ahli perniagaan terbabit ditembak di hadapan isteri serta dua anaknya ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di Pusat Komersial Oakland, jam 6.55 petang.

Mangsa, Tan Kok Soon, 56, maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan di belakang badannya.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim berkata, tiga das tembakan dilepaskan seorang penjenayah dari jarak dekat dan kejadian berlaku  amat pantas sehingga beberapa pelanggan lain yang berada di restoran itu tergamam.

“Tembakan itu menyebabkan mangsa rebah di hadapan isteri dan dua anaknya.Penjenayah melarikan diri dengan motosikal.

“Siasatan awal mendapati mangsa maut akibat kecederaan di bahagian belakang badannya,” katanya.

Menurutnya, siasatan polis di tempat kejadian turut menemui tiga kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan penjenayah menggunakan pistol jenis semi automatik.

“Kita masih siasat motif kejadian dan mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.


33 Terbunuh, Bas Terhumban Ke Sungai

on Monday, April 15, 2013

33 maut di Lima peru,bas terhumban ke sungai



LIMA  - Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh, manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bas terhumban ke dalam sungai di utara Peru, awal pagi semalam.

Menurut polis, bas yang membawa pekerja syarikat Horna itu hilang kawalan semasa melalui jalan pergunungan di Trujillo berhampiran bandar Otuzco, kira-kira 570 kilometer ke utara Lima.

Pihak berkuasa berkata, nahas tersebut berlaku disebabkan keadaan jalan yang bengkang bengkok, kenderaan yang uzur serta kelalaian pemandu bas.

Kemalangan jalan raya sering berlaku di Banjaran Andes yang merentasi Peru berikutan keadaan jalan yang gagal diselenggara dengan baik, penyelenggaraan kenderaan yang tidak tetap dan kecenderungan pemandu bas untuk membawa laju.

Menurut angka rasmi terkini, pada 2011, sebanyak 1,124 orang terbunuh dan 2,583 cedera dalam 1,108 kemalangan di lebuh raya di Peru. - AFP

19 Terbunuh Letupan Bom Di Somalia

19 maut letupan,mogadishu somalia



MOGADISHU - Seramai 19 orang terbunuh di tengah bandar Somalia semalam dalam kejadian letupan

bom yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan militan yang mem punyai kaitan dengan militan al-Qaeda.

Kejadian letupan tersebut berlaku di luar bangunan Mah kamah Tinggi selepas yang sebelum itu diserbu

sekumpulan lelaki bersenjata.

"Kira-kira tujuh lelaki yang berpakaian seragam tentera memasuki bangunan tersebut sebelum bom tersebut

meletup. kami sangkakan mereka tentera kerajaan," kata saksi, Aden Sabdow yang bekerja di pejabat daerah.

Katanya lagi, selepas kesemua lelaki memasuki bangunan itu satu letupan kuat berlaku. - Reuters


Beijing Lapor Kes Jangkitan H7N9 Pertama

on Sunday, April 14, 2013

H7N9 beijing china,jangkitan pertama



Beijing - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun disahkan sebagai penghidap pertama selesema burung H7N9 melibatkan manusia ketika wabak itu dilihat mula merebak di sini.

Ini merupakan kes pertama yang dilaporkan berlaku di luar wilayah timur China, di mana virus itu mula-mula dikesan pada Mac lalu. Penemuan itu menyebabkan beribu-ribu ekor ayam dan itik dimusnahkan di beberapa bandar besar di China, termasuklah Shanghai.

Virus selesema burung setakat ini telah membunuh 11 orang mangsa dan menyebabkan 44 yang lain jatuh sakit.

Biro Kesihatan Beijing semalam menyatakan bahawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan terlibat dalam perniagaan ayam dan itik hidup.

Mangsa dimasukkan ke hospital pada Khamis selepas dilaporkan mengalami simptom demam, sakit tekak, batuk dan sakit kepala. Dia kini dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Kanak-kanak tersebut disahkan dijangkiti virus H7N9 selepas beberapa ujian dibuat oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit.

Ibu bapanya turut dikuarantin bagi tujuan pemantauan, tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom terkena jangkitan virus tersebut. - Agensi


Proses PRU-13 Lancar

pru 13


LAHAD DATU - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk yang tinggal di kawasan pantai timur Sabah bahawa proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan berjalan lancar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya keluar mengundi bagi melaksanakan hak mereka pada 5 Mei ini tanpa rasa resah ataupun takut demi menentukan masa depan negara.

"Ketua Polis Negara dibantu oleh ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan menjamin proses ini (pilihan raya) berjalan (lancar) dan hak mereka mengikut perlembagaan negara dilunaskan seperti mana yang diharapkan.

"Janganlah kerana kekhuatiran dan ketakutan, mereka tidak keluar mengundi sebab niat jahat pihak pengganas ini adalah untuk menakutkan kita. Kalau kita berani, niat mereka tidak akan tercapai," katanya ketika berucap merasmikan majlis Penghargaan Operasi Daulat di Dewan Desa Kencana, Felda Sahabat 16, di sini semalam.

Najib turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menunjukkan keberanian dan semangat juang tinggi seperti anggota keselamatan dengan keluar menunaikan hak mereka nanti.

Katanya, rakyat Malaysia perlu membuat keputusan sebaik-baiknya dan tepat serta memihak dan memberi sokongan kepada parti yang boleh memberi jaminan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara.

Untuk itu, Perdana Menteri meminta rakyat berfikir mengenai tindak-tanduk pihak yang merendahkan moral dan memperlekehkan anggota keselamatan negara.

Katanya, pihak terbabit mendakwa kononnya anggota keselamatan terlibat dalam sandiwara dengan pihak pemerintah serta mempertikaikan kesyahidan wira negara yang gugur, meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan mereka mati syahid.

"Soalnya apakah mereka ini boleh diharapkan menjamin keamanan dan kedaulatan negara Malaysia kita yang tercinta, apatah lagi kalau dari segi tindakan yang mereka lakukan menimbulkan banyak rasa kecurigaan dalam kalangan rakyat.

"Saya tampilkan persoalan ini kepada tuan-tuan dan puan-puan, khususnya rakyat Malaysia di Sabah. Fikirlah sebaik-baiknya kerana soal keamanan dan keselamatan serta kedaulatan adalah tanggungjawab kita bersama.

"Ia turut melibatkan pemilihan sebuah kerajaan yang boleh menjamin apa yang diharapkan oleh kita," katanya. - Bernama

Polis Tahan Doktor Pondan

doktor pondan melaka



Melaka - Selepas dipercayai memperdayakan ribuan pesakit, seorang doktor berwajah ayu, memakai tudung dan gemar mengenakan baju kurung akhirnya disedari bukan sahaja sebenarnya seorang lelaki tetapi juga tidak memiliki kelayakan perubatan.

Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Sabah itu pernah mengikuti kursus kejururawatan tetapi tidak menamatkan pengajian.

Dia dikatakan berjaya menjadi doktor sambilan sejak awal tahun lalu di beberapa klinik di Perak, Pahang dan Melaka dengan hanya menunjukkan sijil Perakuan Amalan Tahunan daripada Majlis Perubatan Malaysia yang kemudian disahkan palsu.

Tembelang lelaki yang dikenali sebagai Doktor Ika itu akhirnya terbongkar apabila pemilik sebuah klinik di Batu Berendam, Melaka mendapati sijil itu palsu.

Siasatan juga dibuat setelah seorang pesakit wanita mengadu kepada majikan terbabit selepas berasa sangsi dengan perbuatan Doktor Ika suka menelefon suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Soh Hock Sing berkata, suspek ditahan di klinik itu ketika menunggu pesakit pada Khamis lalu.

"Suspek bekerja dari pukul 6 petang hingga 10 malam dengan bayaran RM45 sejam," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Hock Sing berkata, sijil perakuan palsu yang digunakan oleh suspek menggunakan nombor siri pada sijil yang dimiliki oleh doktor lain.

Dalam sehari beliau dipercayai merawat lebih 25 orang pesakit di klinik itu sejak tiga bulan lalu.

Lelaki itu mempunyai alamat tetap di Ampang, Selangor.

Katanya, sepanjang tempoh menyamar, suspek lebih cenderung melayan pesakit lelaki di klinik tersebut dengan mengendalikan rawatan pesakit luar dan prosedur jahitan kecil untuk kes kemalangan.

Dia juga mengeluarkan sijil cuti sakit seperti doktor lain.

"Selain kursus kejururawatan di Selangor, dia juga tidak menghabiskan pengajian kejuruteraan di sebuah universiti di Johor," katanya.

Menurutnya, suspek sebelum itu pernah bekerja sebagai doktor sambilan di lima lagi klinik swasta di sekitar Melaka termasuk Sungai Udang dan Melaka Baru.

Beliau turut meminta orang ramai yang pernah menerima rawatan daripada lelaki tersebut supaya tampil membuat laporan polis.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun keseksaan kerana menyamar dengan niat menipu.


Dua Polis Nyaris Maut Kereta, Rumah Dibakar

on Wednesday, April 10, 2013

kereta dan rumah anggota polis dibakar



Klang: Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara nyaris maut apabila kediaman dan kenderaan mereka dibakar awal pagi semalam oleh dua lelaki bermotosikal.

Kedua-dua anggota berpangkat Lans Koperal dan Sub Inspektor berusia 30-an dan 50-an itu bagaimanapun terselamat kerana sempat keluar dari rumah sejurus terdengar letupan kuat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong, berkata kejadian disedari mangsa kira-kira jam 3 pagi ketika mereka sedang tidur di rumah teres setingkat di Kapar.

"Mengesyaki sesuatu tidak kena, mereka segera ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat langsir dan pintu utama terbakar.

Ketika cuba menyelamatkan diri, mereka turut terkejut melihat kenderaan yang diletakkan di halaman rumah turut terbakar, katanya.

Dalam kejadian itu, bahagian hadapan rumah mereka mengalami kerosakan, manakala kereta jenis Proton Saga milik Lans Koperal itu rosak teruk.

Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri rumah sewa mangsa sebelum menyimbah petrol di depan ruang tamu dan dua kenderaan terbabit sebelum menyalakan api.


Korea Utara Ancam Perang Nuklear

korea utara ajak perang nuklear


SEOUL - Korea Utara menggesa semua syarikat asing dan pelancong meninggalkan Korea Selatan kerana perang nuklear akan berlaku melibatkan kedua-dua buah negara, lapor agensi berita Associated Press semalam.

Amaran yang disiarkan stesen televisyen Korea Utara dalam siaran berita itu merupakan ancaman terbaharu selepas beberapa minggu ketegangan berlaku di Semenanjung Korea ekoran sekatan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

Amaran tersebut yang dilaporkan oleh agensi berita Korean Central News Agency menyatakan peperangan besar yang tidak berperikemanusiaan akan berlaku.

"Korea Utara tidak mahu melihat warga asing di Korea Selatan menjadi mangsa peperangan," kata agensi berita tersebut yang memetik kenyataan Jawatankuasa Keamanan Korea Utara - Keamanan Asia.

Sekatan terbaharu yang diumumkan PBB pada bulan lalu menghalang golongan elit di negara itu mengimport barang-barang mewah seperti barang kemas dan kereta mewah.

Korea Utara juga dikenakan sekatan kewangan melibatkan pemindahan wang tunai untuk tujuan program senjata.

Sekatan tersebut dilaksanakan PBB selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear buat kali ketiga pada Februari lalu.

Sekatan tersebut mencetuskan kemarahan Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an sehingga menyebabkan beliau mengancam untuk melancarkan serangan nuklear sehingga ke Amerika Syarikat (AS).

Korea Utara yang merupakan sebuah negara komunis dan mempunyai 1.37 juta anggota tentera turut dilihat mengadakan beberapa latihan ketenteraan sejak bulan lalu. Negara itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menghidupkan semula operasi rektor nuklear Yongbyon yang boleh menghasilkan bom plutonium.

Tentera AS turut menghantar beberapa buah jet pejuang kalis radar F-22 Raptor dan pengebom B-2 ke Korea Selatan bagi menghadapi sebarang serangan dari Korea Utara.

Askar-askar AS turut mengadakan latihan bersama dengan anggota-anggota tentera Korea Selatan di Yeoncheon, dekat sempadan Korea Utara semalam.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberitahu pemberita di Rom, Itali, ketegangan di Semenanjung Korea buat masa ini amat berbahaya.

"Saya meminta beberapa buah negara yang bimbang tentang keadaan di Semenanjung Korea dan di sekitarnya supaya menggunakan pengaruh ke atas kepimpinan Korea Utara (bagi meredakan ketegangan).

"Saya telah berbincang dengan kepimpinan China dan saya akan membincangkannya (ketegangan itu) bersama Presiden Amerika AS, Barack Obama," kata Ki-moon.

"Insiden kecil yang disebabkan silap perhitungan dan pertimbangan akan mencetuskan situasi yang tidak boleh dikawal," tambahnya.

Beliau yang merupakan warga Korea Selatan berkata, semua pihak sepatutnya bertenang dan memulakan dialog bagi menyelesaikan krisis di semenanjung itu.

Bagaimanapun, Kim Haing yang merupakan jurucakap kepada Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye memberitahu wartawan bahawa amaran Korea Utara itu hanya merupakan perang psikologi.

Pada Selasa lalu, Korea Utara meminta para pekerja Korea Selatan tidak memasuki kawasan taman perindustrian Kaesong di negara itu.


Kawasan perindustrian itu beroperasi menerusi usaha sama dengan Korea Selatan sejak tahun 2004.

Lebih 300 warga Korea Selatan bertindak meninggalkan Kaesong sejak larangan Korea Utara itu berkuat kuasa.

Korea Utara juga meminta kedutaan-kedutaan asing pada minggu lalu untuk menimbang memindahkan kakitangan masing-masing kerana ia tidak lagi dapat menjamin keselamatan jika peperangan berlaku.

Sementara itu, Jepun telah menempatkan sejumlah peluru berpandu Patriot di Tokyo sebagai persediaan untuk mempertahankan 30 juta penduduknya daripada sebarang serangan Korea Utara.

Dua buah peluru berpandu balistik Patriot kini diletakkan di Kementerian Pertahanan Jepun.

Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberikan kuasa oleh pemerintah negara itu untuk menyerang AS dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan. - Agensi



Margaret Thatcher Meninggal Dunia

on Monday, April 8, 2013

wanita besi britain



London - Bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher meninggal dunia akibat strok, kata seorang jurucakap keluarga mendiang.

“Dengan rasa penuh kesedihan, Mark dan Carol Thatcher mengumumkan bahawa ibu mereka, Thatcher meninggal dunia selepas diserang strok pagi ini,” kata jurucakap tersebut, Tim Bell.

Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri Britain daripada kalangan wanita.

Thatcher, 87, yang menerajui Parti Konservatif untuk memenangi tiga pilihan raya umum, mentadbir kerajaan dari tahun 1979 hingga 1990.

Penggal tersebut adalah yang tempoh pentadbiran berturut-turut terpanjang pernah dipegang oleh seseorang perdana menteri sejak awal kurun ke-19. - Reuters



Kaherah DiLanda Rusuhan Agama

rusuhan agama dikaherah,bangunan dibakar



Kaherah - Satu pertempuran meletus di luar sebuah gereja Kristian Koptik di bandar ini semalam selepas satu majlis pengebumian yang menyebabkan empat orang penganut agama itu terbunuh, kata beberapa saksi.

Mereka berkata, sejumlah orang yang menghadiri pengebumian itu dibaling dengan batu ketika mereka keluar dari gereja tersebut.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Dalam Negeri berkata, beberapa hadirin yang hadir ke majlis itu mula merosakkan kenderaan di sekitar kawasan tersebut sehingga mencetuskan konfrantasi dengan penduduk.

Rakaman stesen televisyen menunjukkan suasana kecoh di luar Gereja Abbassiya.

Sebelum ini, lima warga Mesir terbunuh dan lapan lagi cedera dalam satu pertempuran antara penganut Kristian dan Islam di sebuah bandar di Kaherah kelmarin.

Ia dilihat sebagai keganasan agama yang terburuk pernah berlaku di sini dalam tempoh beberapa bulan.

Empat penganut Kristian Koptik dan seorang orang Islam terbunuh apabila kedua-dua komuniti itu mula bertempur dan menembak antara satu sama lain. - Agensi

Geng Oxy Lari Wang Mesin ATM RM250,000

pecah mesin atm



Kuala Lumpur: Geng Oxy mengganas lagi apabila memecah dan membakar mesin juruwang automatik (ATM) di dalam sebuah stesen minyak di Persiaran Kewajipan USJ 18, Subang Jaya, dan melarikan wang tunai RM250,000, semalam.

Selasa lalu, geng terbabit dipercayai melakukan taktik sama dengan menggunakan gas Oxy sebelum melarikan RM300,000 di sebuah mesin ATM di Jalan Medan Pasar.


Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, dua pekerja wanita yang tiba untuk bekerja, terkejut mendapati pintu utama stesen minyak diumpil.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 5.20 pagi.


Menurutnya, dua pekerja terbabit mendapati pintu utama stesen minyak itu didapati terbuka dan mempunyai kesan umpil di bahagian bawah sebelum melihat mesin ATM terbuka.


“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua suspek lelaki bermotosikal menyembur cat pada kamera itu sebelum memotong wayar elektrik premis berkenaan.

“Melalui rakaman CCTV, polis percaya kejadian berlaku jam 3 pagi apabila melihat kehadiran dua suspek.


“Seorang lelaki memakai sarung tangan, bertopeng, baju warna putih berlengan panjang. Seorang lagi memakai topi keledar dan bertopeng,” katanya.

Yahaya berkata, suspek yang menyembur cat pada CCTV kemudian memasuki bilik rakaman dan memotong wayar telefon dan elektrik bagi mengelak kehadiran mereka dikesan.


Shaheizy Sam Bintang Paling Popular ABPBH 2012

anugerah bintang popular berita harian



Shaheizy Sam yang pernah bergelar Bintang Paling Popular ABPBH 2010 mendahului senarai pemenang ABPBH2012 iaitu;
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012

* Bintang Paling Popular - Shaheizy Sam

* Pelakon Filem Lelaki Popular - Shaheizy Sam

* Pelakon Filem Wanita Popular - Yana Samsudin

* Pelakon TV Lelaki Popular - Aaron Aziz

* Pelakon TV Wanita Popular - Nabila Huda

* Artis Baru Lelaki Popular - Aiman Hakim

* Artis Baru Wanita Popular - Wawa Zainal.

* Penyanyi Lelaki Popular - Hafiz Suip

* Penyanyi Wanita Popular - Shila Amzah

* Artis Duo/Berkumpulan Popular - Black dan RJ

* Komedi Lelaki Popular - Zizan Razak

* Artis Komedi Wanita Popular - Didie Alias

* Pengacara TV Lelaki Popular - Datuk Aznil Nawawi

* Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana

* Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail

* Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana

* Anugerah Sepanjang Hayat - Search

Maut Celah Lif

warga indonesia tersepit lif pulau pinang



Georgetown: Tindakan seorang lelaki membuka pintu lif yang tersekat di tingkat dua mengundang padah

apabila isterinya maut selepas terjatuh dari lif itu ketika cuba keluar di Pangsapuri BJ Court di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, Faridah Hanum, 41, berasal dari Langsa, Indonesia, maut selepas cedera

parah di rusuk kiri akibat terhentak lantai di tingkat bawah.

Lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan anak lelakinya yang turut berada dalam lif.

Seorang penghuni yang turut berada dalam lif dikenali sebagai Azmi, 23, berkata, pada mulanya mereka tersangkut dalam lif hampir setengah jam.

“Ketika kejadian, kami mahu ke tingkat atas dan ada hampir 15 orang dalam lif. Selepas tersekat hampir

setengah jam, keadaan dalam lif berbahang kerana ramai terperangkap sebelum seorang lelaki cuba membuka pintunya,” katanya.

Berkayak DiLahar Gunung Berapi

on Sunday, April 7, 2013

gunung berapi,kayak di hawaii



HAWAII  - Berani melakukan apa saja, mungkin itu ungkapan sesuai buat seorang peminat sukan kayak dari Brazil, Pedro Oliva.

Dalam penjelajahan terbaharunya, lelaki itu menunjukkan keberaniannya berdayung di kawasan berhampiran lahar panas yang melimpah dari Gunung Berapi Kilauea, Hawaii, hingga mengalir ke lautan.

Tidak cukup dengan itu, dia turun dari kayak dan berjalan di kawasan berbatu di situ serta cuba menguji kehangatan lahar lebur dengan suhu mencecah antara 700 dan 1,100 darjah celsius dengan mencelup pendayung ke dalamnya.

Pendayung tersebut terbakar sejurus terkena cecair panas itu.

Oliva meneroka beberapa laluan berkayak di Hawaii yang kurang diketahui umum bersama dua rakannya, Chris Korbulic dan Ben Stookesberry.

Dua lelaki tersebut yang merupakan peminat sukan kayak profesional mengakui keberanian Oliva dalam ekspedisi tersebut.

"Anda boleh mendengar dengan jelas bunyi desis lahar panas yang bercampur air laut. Memang menakutkan dan tangan anda boleh terbakar seandainya terkena cecair itu.

"Namun, Oliva tetap Oliva, dia mahu merasai sesuatu dengan lebih dekat, kerana itu dia berani mencuba dengan pendayung," kata mereka.

Pasukan itu menghabiskan masa selama sehari menjelajah kawasan tersebut yang terletak pada ketinggian 60 meter dengan melalui kawasan lahar yang telah mengeras.

Penjelajahan pasukan itu dirakam bagi program televisyen Brazil, Kaiak yang akan disiarkan di negara tersebut. - AGENSI


Botak Beri Risiko Kesihatan

botak risiko kesihatan



Paris: Lelaki botak dikatakan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Tetapi, satu kajian terbaru menyatakan risiko itu dihadapi oleh mereka yang botak di bahagian tengah kepala.

Lelaki yang mengalami botak depan dikatakan tidak memiliki risiko tambahan bagi penyakit arteri tersumbat yang juga boleh menyebabkan serangan jantung, menurut laporan jurnal BMJ Open.

Penyelidikan

Ia berdasarkan penemuan penyelidik dari Bahagian Penyakit Metabolik dan Diabetes Universiti Tokyo.

Mereka menganalisis enam kajian mengenai perbezaan botak di kalangan lelaki dan penyakit koronari jantung yang dijalankan antara 1993 dan 2008 membabitkan hampir 40,000 responden di Amerika Syarikat dan Eropah.

Analisis berkenaan menunjukkan bahawa lelaki yang kehilangan banyak rambut berkemungkinan lebih satu pertiga untuk mendapat penyakit arteri koronari berbanding mereka yang berambut lebat.

Lebih teruk keadaan botak akan mempengaruhi peringkat risiko tetapi sekali lagi ia hanya membabitkan mereka yang botak di bahagian tengah kepala.

“Hasil kajian ini menunjukkan bahawa botak di bahagian tengah adalah lebih dikaitkan dengan systemic atherosclerosis (penyakit jantung koronari) berbanding mereka yang botak bahagian depan.

“Faktor risiko kardiovaskular berkenaan perlu dikaji dengan lebih teliti di kalangan lelaki yang botak tengah kepala terutama golongan lelaki muda dan mereka yang mungkin digalakkan untuk melihat risiko profil kardivaskular masing-masing,” menurut kajian berkenaan.

Pun begitu, kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini. - AGENSI


Bandar Purba Zaman Nabi Ibrahim DiTemui

on Saturday, April 6, 2013

bandar purba di baghdad



Baghdad - Seorang ahli arkeologi Britain, Stuart Campbell menyatakan, dia dan beberapa orang rakan telah menemui bekas sebuah kompleks bangunan berhampiran bandar purba Ur di selatan Iraq yang merupakan tempat tinggal Nabi Ibrahim.

Campbell yang merupakan arkeologi dari Universiti Manchester berkata, bangunan itu dianggarkan berusia 4,000 tahun.

Kawasan berkenaan dipercayai merupakan pusat pentadbiran bandar Ur.

Campbell berkata, kompleks itu bersaiz sebesar sebuah padang bola iaitu kira-kira 80 meter setiap sisi.

Menurutnya, kompleks bersaiz besar itu merupakan sesuatu yang jarang ditemui.

Ia merupakan penggalian pertama kumpulan arkeologi dari Britain di Iraq sejak tahun 80-an.

Penggalian itu bermula pada bulan lalu apabila enam anggota pasukan Britain dan empat ahli arkeologi Iraq menggali tanah di Tell Khaiber, wilayah Thi Qar, selatan Iraq. Kawasan itu terletak 320 kilometer ke selatan Baghdad.

Campbell berkata, salah sebuah artifak yang ditemui kumpulan penggalian itu ialah plak tanah liat yang menunjukkan seorang manusia memakai jubah labuh mendekati sebuah tapak yang suci. - AP



31 Pengikut ‘Tuhan Harun’ Ditahan

tuhan harun ajaran sesat



Pengasas ajaran sesat rekrut lebih 100 ahli

Kuantan: Seramai 31 individu, termasuk enam wanita dipercayai pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam serbuan di sebuah premis, Lorong Pandan Damai, di sini, petang kelmarin.

Maklumat orang awam
Serbuan dibuat kira-kira jam 6.50 petang berdasarkan maklumat orang awam bahawa terdapat kegiatan mencurigakan dilakukan Harun Mat Saat atau bergelar Tuhan Harun.

Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati Harun yang berusia 48 tahun sudah merekrut lebih 100 pengikut terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang termasuk doktor dan ahli perniagaan.

“Kegiatan ajaran sesat ini dipercayai sudah wujud setahun lalu dan mereka aktif mencari ahli baru terutama remaja dan individu bekerjaya.

Ritual bermain muzik

“Mereka mengamalkan ajaran sesat dengan melakukan ritual bermain muzik secara ‘live band’ setiap kali pertemuan diadakan pada waktu senja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sumber berkenaan berkata, turut ditahan ialah orang kanannya berusia 40-an yang turut dikenali sebagai ‘Doctor of God’ yang turut membantu menyebar ajaran sesat terbabit.

Beliau berkata, semua mereka yang ditahan berusia antara 12 tahun dan 50 tahun dan kini ditempatkan sementara di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.

Selain itu, sumber itu berkata, penahanan Tuhan Harun turut membongkar kegiatan penipuan pelaburan skim cepat kaya yang dikenali ‘program ganda wang’ dan dipercayai sudah memperdayakan orang ramai dengan anggaran kerugian lebih RM200 juta.

Skim cepat kaya

“Kami menemui wang tunai kira-kira RM70,000 dalam kereta suspek dan dipercayai ia hasil pelaburan orang ramai terhadap skim cepat kaya yang dianjurkannya.

“Saya difahamkan Harun juga dalam senarai antara individu paling dikehendaki Bank Negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan kumpulan berkenaan.


47 Maut Bangunan Runtuh

Bangunan runtuh di mumbai, 47 maut



Struktur tak kukuh dipercayai punca bangunan dibina secara haram roboh

Mumbai: Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh manakala 70 lagi cedera, apabila sebuah bangunan separuh siap yang dibina secara haram di pinggir hab kewangan India itu runtuh semalam, kata polis.

Pekerja penyelamat menggunakan kren dan jentolak bagi mencari mangsa di celah runtuhan konkrit dan besi selepas bangunan tujuh tingkat itu runtuh. Seorang bayi berjaya diselamatkan dari celah runtuhan itu.
“Ramai lagi dikhuatiri terperangkap di dalamnya ketika ini. Antara yang maut termasuk 11 kanak-kanak,” kata Pesuruhjaya Polis tempatan, K.P Raghuvanshi.

Polis buru pemaju

Punca runtuhan tidak dapat dipastikan, tetapi Raghuvanshi berkata struktur bangunan terbabit adalah lemah. Polis turut mencari pemaju untuk menahan mereka, katanya.

“Siasatan sedang dijalankan. Kerja menyelamat juga diteruskan, keutamaan kami kini adalah untuk menyelamatkan seramai mangsa yang boleh,” katanya.

Penduduk tempatan berkata, buruh membayar AS$5 (RM15.30) sehari untuk tinggal di bangunan itu.
Inspektor polis, Digamber Jangale berkata, sekurang-kurangnya empat tingkat bangunan terbabit sudah siap dan didiami. Pekerja sedang menyiapkan tiga tingkat lagi dan menambahkan tingkat ke lapan apabila bangunan terbabit runtuh.

Beliau berkata, antara yang maut adalah pekerja pembinaan yang tinggal di dalam bangunan terbabit.

Runtuh tiga saat

“Bangunan itu runtuh seperti kepingan kad dalam masa dua atau tiga saat. Ia hanya bergegar sedikit sebelum runtuh,” kata seorang penduduk tempatan.
Bangunan terbabit tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, katanya.

Polis bersama anjing penyelamat melakukan kerja pencarian di bangunan terbabit semalam. Mereka juga sedang mengesan pemilik bangunan itu untuk dikenakan dakwaan.

Peningkatan harga hartanah di kota paling padat India itu menyebabkan berpuluh ribu penduduknya tidak mampu memiliki rumah sendiri manakala beribu-ribu lagi terpaksa tinggal di tepi jalan atau kawasan setinggan. - AP

Johor DT Lepas Guiza Dan Del Nero

Guiza Dan Del Nero skuad johor dt


Johor Bahru: Segala teka-teki berhubung status dua bintang import Johor Darul Takzim – Daniel Guiza dan Simone Del Nero terjawab selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak akan menggunakan khidmat kedua-dua pemain pada saingan pusingan kedua, Liga Super bermula 12 April ini.

Kedua-dua pemain itu akan membuat penampilan terakhir pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini dan keputusan melepaskan Guiza dan Del Nero dibuat selepas penilaian berhubung kedudukan pasukan dan juga prestasi bintang Sepanyol dan Itali itu selepas tamat pusingan pertama liga elit domestik.
“Keputusan itu terpaksa diambil kerana kontrak secara pinjaman Guiza berakhir Ogos ini bersama kelab beliau, Getafe CF dan ini menyebabkan pemain itu tidak dapat beraksi pada saingan Piala Malaysia nanti.

Ada 3 import dalam senarai

Simone (Del Nero) masih belum pulih daripada kecederaan dan pasti tidak boleh memberi persembahan terbaik kepada skuad dan memandangkan pendaftaran pemain baru dibuka bermula Isnin ini, pihak pengurusan PBNJ mengambil keputusan melepaskan kedua-dua pemain itu dan mencari pengganti baru,” kata Pemangku Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil menerusi kenyataan, semalam.

Beliau juga mengesahkan pemain tengah Johor, Andre Francisco Da Silva dikenal pasti mengambil alih tempat Del Nero manakala sudah ada tiga pemain import disenarai serta dinilai ketua jurulatih, Fandi Ahmad. PBNJ akan memutuskan status ketiga-tiga pemain itu dalam tempoh terdekat.

“Saya akan pastikan pengganti Guiza dan Del Nero akan mempamerkan aksi lebih baik dan cemerlang dalam usaha memastikan visi transformasi Johor DT tercapai,” kata Obet.


Warga Korea Selatan Dihalang Ke Kaesong

on Thursday, April 4, 2013

korea utara halang warga korea selatan ke kaesong


Seoul: Korea Utara semalam, menyekat rakyat Korea Selatan daripada memasuki kompleks Kaesong, sebuah zon industri kerjasama penting sebagai reaksi balas terhadap kecaman Washington yang menyifatkan tindakan Pyongyang sebagai berbahaya dan membuta tuli.

Tindakan terbaru Korea Utara juga dipercayai sebagai reaksi terhadap sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pihak berkuasa Korea Selatan berkata, KoreUtara memaklumkan bahawa ia menghentikan pergerakan harian warga Korea Selatan ke Kaesong, 10 kilometer di bahagian sempadan Utara.

Bagaimanapun, ia akan membenarkan 861 warga Korea Selatan yang berada di sana untuk beredar, kata mereka.

Gesa henti sekatan

Jurucakap Kementerian Perpaduan, Kim Hyung-Suk, menggesa Utara memulihkan pergerakan ke Kaesong dengan segera dan menyifatkan tindakan Korea Utara sebagai ‘amat dikesali.’

Tidak jelas berapa lama larangan kemasukan itu akan berkuat kuasa.
Kementerian berkata, 46 penduduk Korea Selatan kembali dari Kaesong lewat semalam, dengan beratus-ratus lagi memilih untuk terus berada di sana bagi memastikan syarikat mereka beroperasi dengan lancar.

Kebanyakan warga Korea Selatan tinggal di Kaesong selama beberapa hari.
Kira-kira 53,000 rakyat Korea Utara bekerja di 120 kilang Korea Selatan di kompleks itu yang masih beroperasi seperti biasa semalam.

Sebarang perubahan di Kompleks Kaesong yang ditubuhkan pada 2004 dan sumber kewangan penting Korea Utara, akan memberi kesan besar selain mampu meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua Korea tidak membenarkan krisis sebelum ini menjejaskan kedudukan Kaesong, contoh wujud kerjasama dalaman Korea dan dilihat sebagai satu teladan politik untuk kestabilan semenanjung Korea.

Tindakan ketenteraan

Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, ia mempunyai pelan kontingensi termasuk tindakan ketenteraan untuk memastikan keselamatan ratusan rakyat Korea Selatan yang ketika ini bekerja di kompleks itu.

Pengurus kilang pembuatan jam di Kaesong, Lee Jae-Young, adalah antara mereka yang dihalang daripada menyeberang masuk ke Utara, semalam.

“Saya berasa bimbang dengan keadaan rakan saya di sana. Ini adalah satu situasi kecemasan dan ia tidak kelihatan bagus.

“Ini mungkin masalah besar buat perniagaan kami yang memerlukan penghantaran kerap bahan mentah ke Kaesong untuk pengeluaran,” katanya.

Seorang pengurus syarikat Korea Selatan yang masih berada di Kaesong, Kim Dong-Kyu, kelihatan lebih tenang.

“Suasana di sini seperti biasa. Tidak kelihatan kompleks akan ditutup seperti yang saya tahu,” kata Kim. - AFP

Shah Rukh Khan disaman RM56.9 juta

srk dan deepika bollywood


NEW DELHI - Seorang pengarah filem dan pelakon veteran India, Manoj Kumar memfailkan saman sebanyak AS$18.5 juta (RM56.9 juta) ke atas aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.

Kumar memfailkan saman itu kerana Shah Rukh tidak memotong satu adegan yang memalukannya dalam sebuah filem berjudul Om Shanti Om yang disiarkan di Jepun pada tahun 2007.

Kumar memfailkan saman itu kepada Shah Rukh dan Eros International yang menjadi penerbit filem tersebut.

Menurut media India, tuntutan saman itu difailkan di sebuah mahkamah di Mumbai.

Pada tahun 2008, sebuah mahkamah di Mumbai mengarahkan adegan filem tersebut dipotong.

Shah Rukh kemudian meminta maaf berhubung adegan tersebut.

Kumar menyatakan, filem tersebut yang disiarkan di Jepun tidak memotong adegan itu baru-baru ini.

"Saya telah memaafkan mereka sebelum ini tetapi tidak kali ini. Mereka (Shah Rukh dan pihak Eros International) tidak menghormati saya," kata Kumar.

Kumar yang berusia 75 tahun pernah menjadi pelakon utama dalam beberapa buah filem pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Filem komedi Om Shanti Om menampilkan Shah Rukh dan Deepika Padukone sebagai pelakon utama.

Pengarah filem tersebut, Farah Khan berkata, versi filem yang silap mungkin telah diedarkan di Jepun. - AP

Najib Umum Bubar Dewan Rakyat

umum bubar dewan rakyat,pilihanraya ke 13


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk diadakan.

Najib berkata, permohonan untuk pembubaran Dewan Rakyat ke-12 itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah setelah beliau menghadap Seri Paduka pagi semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar menghadap sultan dan bertemu Yang Dipertua Negeri bagi mendapat perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Ia bertujuan agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara,” katanya ketika berucap mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya di sini semalam. Ucapan itu disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet lain yang rata-rata berpakaian sut gelap dan bertali leher merah.

DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik pada 28 Mac lalu, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April tahun 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional menang 55 daripada 71 kerusi DUN.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Rakyat.

Berdasarkan daftar pengundi sehingga Disember 2012, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara ialah seramai 13.3 juta orang.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi DUN akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Ketika Dewan Rakyat dibubarkan, komposisi di Parlimen menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23) dan Parti Keadilan Rakyat (22).

Parti Sosialis Malaysia memiliki satu kerusi dan Parti Progresif Sabah (SAPP) menguasai dua kerusi, manakala lapan lagi kerusi disandang Ahli Parlimen bebas.

Sementara itu, Najib turut menyeru agar semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam proses pilihan raya kali ini supaya bertanggungjawab dengan mengamalkan demokrasi yang telah diamalkan di negara ini selama lebih lima dekad lalu.

“Amalan demokrasi Malaysia kekal dan berjaya walaupun bersifat sengit dan amat berdaya bersaing, namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

“Saya menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan,” katanya.

Najib turut menyeru rakyat supaya insaf dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik kotor seumpama itu diguna pakai.

“Kesan akhirnya, proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk daripada parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat.

“Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita,” jelasnya.

50 Buah Kenderaan Berlanggar Di Switzerland

on Tuesday, April 2, 2013

perlanggaran 50 buah kenderaan di switzerland



CHEXBRES, Switzerland - Sebanyak 50 buah kenderaan berlanggar di sebuah lebuh raya dekat sini kelmarin.

Sebahagian kereta itu bertindih antara satu sama lain selepas pemandunya gagal menekan brek sekali gus merempuh kenderaan yang berada di hadapannya.

Menurut ketua perkhidmatan akhbar Polis Vaud Cantonal, Jean-Christophe Sauterel, nahas itu berlaku sebelum kereta berkenaan memasuki terowong Chexbres.

Seramai 11 orang cedera ringan dalam nahas itu dan dirawat di hospital berdekatan.

Bagaimanapun, tiada mangsa mengalami kecederaan serius.

Kabus tebal dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut selain jarak antara sebuah kenderaan dengan kenderaan lain yang terlalu dekat.

Seramai 70 orang dibawa menaiki bas untuk menuju ke sebuah balai polis untuk tujuan siasatan berhubung punca nahas tersebut. - Agensi


Pesawat Mendarat DiLadang Anggur

pesawat ringan mendarat kecemasan ,sainte-radegonde



PARIS - Sebuah pesawat ringan mendarat di sebuah ladang anggur dekat Sainte-Radegonde, selatan Perancis kelmarin.

Pesawat tersebut mendarat selepas ia mengalami masalah teknikal dan minyak.

Juruterbang pesawat berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mempunyai pilihan lain kecuali membuat pendaratan di ladang itu.

Ketika kejadian, pesawat itu dinaiki dua orang termasuk juruterbang berkenaan.

Seorang penumpang pesawat itu yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beberapa anggota bomba turut berada di lokasi kejadian.

Pesawat berkenaan berlepas dari landasan terbang Sarlat sebelum pendaratan cemas tersebut dibuat.

Ladang anggur turut mengalami kerosakan apabila selluas 12.14 hektar tanaman musnah akibat pendaratan cemas itu.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan disoal siasat oleh pihak berkuasa penerbangan ekoran kejadian tersebut. - Agensi


sumber:kosmo

Gadis Lari Rumah Ikut Teman Facebook

on Monday, April 1, 2013




ALOR SETAR - Seorang gadis berusia 17 tahun dari Taman Kota Jaya, Kota Sarang Semut di sini dipercayai bertindak melarikan diri dari rumah semalam untuk mengikut kenalan lelaki yang dikenalinya di Facebook kira-kira setahun lalu.

Kehilangan gadis itu, See Yuan Ping, 17, disedari adik lelakinya, See Wei Loon, 15, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam apabila dia mendapati kakaknya itu tiada di bilik tidur rumah mereka.

Bapa gadis itu, See Eng Hua, 46, berkata, anak gadisnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah di sini mengenali lelaki berusia 21 tahun itu melalui Facebook dan lelaki tersebut pernah dua kali datang ke rumah mereka.

"Saya marah anak saya keran amahu dia tumpukan perhatian kepada pelajaran dahulu, jangan asyik main Internet. Saya tak sangka dia bertindak lari dari rumah mengikut lelaki tersebut.

"Kami cuba cari anak saya di sekitar Alor Setar dengan bantuan Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM). Namun kami dapat tahu anak saya dan lelaki itu telah menaiki bas ke Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di Bangunan MCA di sini hari ini.

Orang ramai yang ternampak Yuan Ping diminta segera hubungi Eng Huat di talian 010-5369490 atau CRSM Alor Setar, 010-5652011.

sumber: utusan online

3 Beradik Terhidu Racun

terhidu racun rumput dan serangga,3 beradik


KOTA BHARU  - Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika sedang bermain masak-masak di Kampung Berangan, Tumpat di sini petang semalam.

Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami muntah-muntah dan pening.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haluwi Yusof, 49, yang bekerja sebagai buruh dan Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun dari jenis faradon ketika sedang bermain masak-masak.

Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.

“Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.

Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga dan semasa kejadian bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.

“Hasil temu bual dengan kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu kilat dan kita syak bahan tersebut adalah faradon," ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain masak-masak berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumahnya.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Jadi ketiga-tiga adik saya kemudian mengambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan kemudian dijadikan sebagai permainan.

“Ketiga-tiga adik saya kemudiannya pening dan muntah-muntah, tidak lama kemudian mereka bertiga dibawa ke hospital," katanya.



 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal