Pengeluar filem blockbuster, Kumpulan Genting jalin kerjasama
Kuala Lumpur - Malaysia menjadi lokasi pertama di dunia yang dipilih penerbit dan pengedar filem terkemuka global, Twentieth Century Fox (20th Century Fox) untuk membangunkan taman tema sulung di bawah jenamanya.
Pembangunan taman tema yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Genting itu akan dibangunkan di Genting Highland bagi menggantikan taman tema sedia ada milik kumpulan itu yang sudah berusia 35 tahun.
Justeru itu, taman tema sedia ada kumpulan itu akan ditutup sepenuhnya bermula September ini bagi memberi laluan dan mempercepatkan kerja pembinaan taman tema 20th Century Fox yang pertama di dunia itu.
Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay, berkata Resorts World Genting akan membelanjakan RM400 juta bagi membangunkan taman tema berkenaan di kawasan seluas lebih 10 hektar.
Naik taraf RM3 bilion
Pelaburan itu, katanya, adalah sebahagian daripada program menaik taraf Resorts World Genting berjumlah RM3 bilion yang juga termasuk pembangunan bilik hotel tambahan 1,300 unit bersebelahan First World Hotel.
“Pembangunan taman tema jenama 20th Century Fox ini akan merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan kami dan juga membantu memastikan Resorts World Genting terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian perkongsian lesen antara Resorts World Genting dan 20th Century Fox Consumer Products di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia, Datuk Lee Choong Yan dan Presiden 20th Century Fox Consumer Products, Jeffrey Godsick.
Kok Thay berkata, pembukaan taman tema 20th Century Fox itu akan mengangkat nama Resorts World Genting ke peringkat yang lebih tinggi dalam segmen hiburan keluarga, sekali gus menjadikannya dan negara ini destinasi percutian utama dunia.
Siap dibina pada 2015
“Kami berharap taman tema 20th Century Fox ini siap dibina paling awal pada 2015. Kami jangka dengan pembukaan taman tema baru ini akan menggandakan jumlah pengunjung daripada 20 juta setahun ketika ini,” katanya.
Mengulas sama ada penutupan taman tema sedia ada pada September ini akan menjejaskan pendapatannya, Kok Thay berkata, penutupan taman tema sedia ada itu dilihat tidak akan menjejaskan prestasi kewangan syarikatnya.
Lagipun kata beliau, syarikatnya sudah mempunyai rancangan menganjurkan pameran antarabangsa bagi memeriahkan suasana sepanjang penutupan taman tema itu.
Sementara itu, Godsick berkata, taman tema itu akan menggunakan 25 hingga 30 hak harta intelek filem blockbuster keluaran 20th Century Fox seperti Ice Age, Rio, Life of Pi, Alien, Predator dan Night At The Museum.
“Kami memilih Resorts World Genting sebagai rakan kongsi untuk membangunkan taman tema pertama kami di dunia kerana pengendali resort itu mempunyai rekod yang mengagumkan dan menepati kehendak pelaburan 20th Century Fox.
“Lagipun, kedudukan Genting Highlands di tanah tinggi menjadi lokasi yang menarik untuk taman tema ini dan Malaysia sendiri adalah pasaran sedang pesat membangun dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment