Wanita Disyaki Ada Hubungan Sulit Mati Ditikam Suami

on Saturday, July 27, 2013

Than Dar wanita indonesia mati ditikam suami


BATU GAJAH  - Akibat mengesyaki isteri mempunyai hubungan sulit, seorang wanita ditikam sehingga mati oleh seorang lelaki dipercayai suaminya di bilik sewa mereka di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Pasar di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.20 malam itu, mangsa, Than Dar, 25, seorang warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui penyewa lain dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta mulutnya berbuih.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, polis yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian, menemukan sebilah pisau pemotong sayur di bawah tubuh mangsa selain kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

"Polis menangkap empat individu termasuk suaminya yang kesemuanya merupakan warga Myanmar dan berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Kesemuanya yang berumur antara 20 hingga 30 tahun itu ditangkap di sekitar Batu Gajah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shaharon Anuar berkata, polis percaya motif kejadian adalah disebabkan cemburu berikutan suami mangsa mempercayai isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama suami dan adik iparnya di dalam rumah kedai berkenaan manakala sebuah lagi bilik di sebelahnya dihuni dua lagi lelaki warga Myanmar.

"Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kesan tikaman di bahagian belakang yang menembusi paru-paru kanan mangsa.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di tingkat atas rumah kedai berkenaan, G. Moganathas, 16, mendakwa, sewaktu kejadian, dia mendengar bunyi bising lalu mengetuk pintu rumah mangsa.

"Saya tidak boleh tidur malam kerana bunyi bising seperti bertengkar. Namun, suaminya kata tiada apa-apa. Selepas itu, saya kembali semula dan mendapati suaminya sudah melarikan diri bersama anak lelaki mereka berusia satu setengah tahun.

"Saya lihat mangsa mati terlentang, lalu menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal