BALTIMORE – Satu kebakaran di bahagian belakang kapal persiaran milik Royal Caribbean kelmarin menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa pelayaran tersebut dibatalkan, kata pemilik kapal berkenaan.
Royal Caribbean memberitahu, lebih 2,200 penumpang kapal Grandeur of the Seas itu akan pulang ke Amerika Syarikat dari Kepulauan Bahamas dengan menaiki pesawat.
Pada bulan lalu kapal persiaran Triumph milik firma antarabangsa, Carnival Corp tersadai di tengah lautan dalam satu kebakaran pada Februari lalu.
Kebakaran itu turut menyebabkan beribu-ribu penumpang tersadai di Teluk Mexico selama beberapa hari sebelum kapal berkenaan ditunda ke pantai.
Dalam pada itu, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden kelmarin manakala punca kejadian masih tidak dapat dipastikan.
Walaupun terbakar, kapal Grandeur of the Seas masih berupaya berlayar ke pelabuhan di bandar Freeport tengah hari kelmarin.
Seorang wanita, Andrea Sanders berkata, dia tidur di atas dek bersama beratus-ratus penumpang lain ketika asap tebal keluar dari buritan kapal tersebut
“Saya berasa amat takut kerana ia merupakan pelayaran pertama saya,” kata Sanders dalam satu temu bual bersama akhbar Freeport News.
Menurut seorang penumpang, Dan McTigue berkata, dia menyaksikan kebakaran itu dan mendengar letupan kuat.
“Saya mula menangis. Saya berfikir mungkin kami akan mati,” kata cucu perempuannya, Sophie.
Beberapa gambar menunjukkan sebahagian besar buritan dengan beberapa buah dek terbakar dalam nahas tersebut.
Royal Caribbean menyatakan, semua penumpang dan 796 kru selamat dalam kemalangan tersebut.
Menurut Royal Caribbean di laman webnya, penerbangan pulang untuk para penumpang kapal itu telah diaturkan semalam.
Lembaga Pengangkutan Kebangsaan AS menyatakan ia akan menyertai Pasukan Pengawal Pantai untuk menyiasat kejadian tersebut. – Agensi
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment