Kabul - Pengebom bunuh diri menyerang ibu pejabat majlis perbandaran di utara Afghanistan, meragut nyawa ketua majlis dan sekurang-kurangnya 13 lagi, kata pihak berkuasa. Taliban segera mendakwa bertanggungjawab.
“Pemimpin majlis perbandaran Baghlan, Mohammad Rasoul Mohseni, memasuki perkarangan bangunan itu pada waktu pagi apabila pengebom tiba-tiba berlari ke arahnya dan meletupkan bom,” kata jurucakap polis di Baghlan, Jawed Bashrat.
Ketua polis wilayah, Asadullah Sherzad, berkata 14 terbunuh termasuk Mohseni, dan 11 lagi cedera.
Ahli Parlimen dari Baghlan, Mohammad Zahier Ghanizada, mengesahkan kematian ketua majlis itu dan menambah Mohseni sebelum ini menerima beberapa ancaman maut.
7 orang awam terbunuh
Turut terbunuh dalam serangan itu ialah pengawal peribadi polis dan tujuh penduduk awam.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, mendakwa dalam pesanan ringkas kepada wartawan pergerakan itu melancarkan serangan berkenaan.
“Hari ini jam 11.00 pagi di depan pejabat majlis perbandaran Baghlan, kami melancarkan serangan bunuh diri dan membunuh ketua majlis,” katanya.
Berusaha melemahkan kerajaan Afghanistan, Taliban melancarkan serangan dan pembunuhan bertujuan mengugut pegawai dan penduduk awam menjelang pengunduran kebanyakan tentera antarabangsa tahun depan.
Presiden Hamid Karzai mengutuk serangan semalam.
“Serangan seumpama itu menentang semua hak kemanusiaan dan prinsip Islam. Penjenayah serangan seumpama itu ialah musuh Afghanistan dan boneka kuasa asing,” katanya. - AP
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment