3 Beradik Terhidu Racun

on Monday, April 1, 2013

terhidu racun rumput dan serangga,3 beradik


KOTA BHARU  - Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika sedang bermain masak-masak di Kampung Berangan, Tumpat di sini petang semalam.

Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami muntah-muntah dan pening.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haluwi Yusof, 49, yang bekerja sebagai buruh dan Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun dari jenis faradon ketika sedang bermain masak-masak.

Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.

“Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.

Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga dan semasa kejadian bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.

“Hasil temu bual dengan kanak-kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu kilat dan kita syak bahan tersebut adalah faradon," ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain masak-masak berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumahnya.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Jadi ketiga-tiga adik saya kemudian mengambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan kemudian dijadikan sebagai permainan.

“Ketiga-tiga adik saya kemudiannya pening dan muntah-muntah, tidak lama kemudian mereka bertiga dibawa ke hospital," katanya.



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal