BEIJING - Gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan, barat daya China, hari ini dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 113 orang terbunuh dan hampir 2600 orang lagi cedera.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8.02 pagi waktu tempatan dan (8.02 pagi waktu Malaysia) di daerah Lushan berdekatan bandar Ya'an dan berpusat 12 kilometer di bawah bumi.
Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan 113 orang disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala media rasmi melaporkan kira-kira 2600 orang lagi cedera.
Presiden, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang berkata, semua usaha perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan mangsa bagi mengehadkan peningkatan jumlah kematian.
Xinhua melaporkan, 2,000 askar dikerahkan ke kawasan kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
''Penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 27 mangsa daripada runtuhan di Lushan,'' lapor Xinhua.
Saluran televisyen CCTV pula melaporkan hanya kenderaan jabatan kecemasan dibenarkan memasuki Ya-an dan lapangan terbang Chengdu sudah kembali beroperasi.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah penduduk di Lushan. Bekalan air dan elektrik di bandar itu dilaporkan terputus. Gempa tersebut turut dirasai oleh penduduk di wilayah berdekatan dan Chengdu.
Gambar di laman-laman web China menunjukkan runtuhan bangunan dan orang ramai yang luka diberikan rawatan di hospital. - REUTERS
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment