Proses PRU-13 Lancar

on Sunday, April 14, 2013

pru 13


LAHAD DATU - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk yang tinggal di kawasan pantai timur Sabah bahawa proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan berjalan lancar.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya keluar mengundi bagi melaksanakan hak mereka pada 5 Mei ini tanpa rasa resah ataupun takut demi menentukan masa depan negara.

"Ketua Polis Negara dibantu oleh ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan menjamin proses ini (pilihan raya) berjalan (lancar) dan hak mereka mengikut perlembagaan negara dilunaskan seperti mana yang diharapkan.

"Janganlah kerana kekhuatiran dan ketakutan, mereka tidak keluar mengundi sebab niat jahat pihak pengganas ini adalah untuk menakutkan kita. Kalau kita berani, niat mereka tidak akan tercapai," katanya ketika berucap merasmikan majlis Penghargaan Operasi Daulat di Dewan Desa Kencana, Felda Sahabat 16, di sini semalam.

Najib turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menunjukkan keberanian dan semangat juang tinggi seperti anggota keselamatan dengan keluar menunaikan hak mereka nanti.

Katanya, rakyat Malaysia perlu membuat keputusan sebaik-baiknya dan tepat serta memihak dan memberi sokongan kepada parti yang boleh memberi jaminan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara.

Untuk itu, Perdana Menteri meminta rakyat berfikir mengenai tindak-tanduk pihak yang merendahkan moral dan memperlekehkan anggota keselamatan negara.

Katanya, pihak terbabit mendakwa kononnya anggota keselamatan terlibat dalam sandiwara dengan pihak pemerintah serta mempertikaikan kesyahidan wira negara yang gugur, meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan mereka mati syahid.

"Soalnya apakah mereka ini boleh diharapkan menjamin keamanan dan kedaulatan negara Malaysia kita yang tercinta, apatah lagi kalau dari segi tindakan yang mereka lakukan menimbulkan banyak rasa kecurigaan dalam kalangan rakyat.

"Saya tampilkan persoalan ini kepada tuan-tuan dan puan-puan, khususnya rakyat Malaysia di Sabah. Fikirlah sebaik-baiknya kerana soal keamanan dan keselamatan serta kedaulatan adalah tanggungjawab kita bersama.

"Ia turut melibatkan pemilihan sebuah kerajaan yang boleh menjamin apa yang diharapkan oleh kita," katanya. - Bernama
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal