Korea Utara Ancam Perang Nuklear

on Wednesday, April 10, 2013

korea utara ajak perang nuklear


SEOUL - Korea Utara menggesa semua syarikat asing dan pelancong meninggalkan Korea Selatan kerana perang nuklear akan berlaku melibatkan kedua-dua buah negara, lapor agensi berita Associated Press semalam.

Amaran yang disiarkan stesen televisyen Korea Utara dalam siaran berita itu merupakan ancaman terbaharu selepas beberapa minggu ketegangan berlaku di Semenanjung Korea ekoran sekatan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

Amaran tersebut yang dilaporkan oleh agensi berita Korean Central News Agency menyatakan peperangan besar yang tidak berperikemanusiaan akan berlaku.

"Korea Utara tidak mahu melihat warga asing di Korea Selatan menjadi mangsa peperangan," kata agensi berita tersebut yang memetik kenyataan Jawatankuasa Keamanan Korea Utara - Keamanan Asia.

Sekatan terbaharu yang diumumkan PBB pada bulan lalu menghalang golongan elit di negara itu mengimport barang-barang mewah seperti barang kemas dan kereta mewah.

Korea Utara juga dikenakan sekatan kewangan melibatkan pemindahan wang tunai untuk tujuan program senjata.

Sekatan tersebut dilaksanakan PBB selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear buat kali ketiga pada Februari lalu.

Sekatan tersebut mencetuskan kemarahan Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an sehingga menyebabkan beliau mengancam untuk melancarkan serangan nuklear sehingga ke Amerika Syarikat (AS).

Korea Utara yang merupakan sebuah negara komunis dan mempunyai 1.37 juta anggota tentera turut dilihat mengadakan beberapa latihan ketenteraan sejak bulan lalu. Negara itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menghidupkan semula operasi rektor nuklear Yongbyon yang boleh menghasilkan bom plutonium.

Tentera AS turut menghantar beberapa buah jet pejuang kalis radar F-22 Raptor dan pengebom B-2 ke Korea Selatan bagi menghadapi sebarang serangan dari Korea Utara.

Askar-askar AS turut mengadakan latihan bersama dengan anggota-anggota tentera Korea Selatan di Yeoncheon, dekat sempadan Korea Utara semalam.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberitahu pemberita di Rom, Itali, ketegangan di Semenanjung Korea buat masa ini amat berbahaya.

"Saya meminta beberapa buah negara yang bimbang tentang keadaan di Semenanjung Korea dan di sekitarnya supaya menggunakan pengaruh ke atas kepimpinan Korea Utara (bagi meredakan ketegangan).

"Saya telah berbincang dengan kepimpinan China dan saya akan membincangkannya (ketegangan itu) bersama Presiden Amerika AS, Barack Obama," kata Ki-moon.

"Insiden kecil yang disebabkan silap perhitungan dan pertimbangan akan mencetuskan situasi yang tidak boleh dikawal," tambahnya.

Beliau yang merupakan warga Korea Selatan berkata, semua pihak sepatutnya bertenang dan memulakan dialog bagi menyelesaikan krisis di semenanjung itu.

Bagaimanapun, Kim Haing yang merupakan jurucakap kepada Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye memberitahu wartawan bahawa amaran Korea Utara itu hanya merupakan perang psikologi.

Pada Selasa lalu, Korea Utara meminta para pekerja Korea Selatan tidak memasuki kawasan taman perindustrian Kaesong di negara itu.


Kawasan perindustrian itu beroperasi menerusi usaha sama dengan Korea Selatan sejak tahun 2004.

Lebih 300 warga Korea Selatan bertindak meninggalkan Kaesong sejak larangan Korea Utara itu berkuat kuasa.

Korea Utara juga meminta kedutaan-kedutaan asing pada minggu lalu untuk menimbang memindahkan kakitangan masing-masing kerana ia tidak lagi dapat menjamin keselamatan jika peperangan berlaku.

Sementara itu, Jepun telah menempatkan sejumlah peluru berpandu Patriot di Tokyo sebagai persediaan untuk mempertahankan 30 juta penduduknya daripada sebarang serangan Korea Utara.

Dua buah peluru berpandu balistik Patriot kini diletakkan di Kementerian Pertahanan Jepun.

Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberikan kuasa oleh pemerintah negara itu untuk menyerang AS dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan. - Agensi



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal