Ditahan Cuba Seludup Petrol Subsidi

on Monday, June 17, 2013

seludup petrol subsidi 27,000 liter

Bukit Kayu Hitam - Seorang pemandu lori tangki ditahan ketika cuba menyeludup 27,300 liter petrol subsidi bernilai RM51,870 ke negara jiran di Kilometer 7 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran jejantas Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Changlun di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam dalam operasi bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kubang Pasu dan Putrajaya, jam 11.40 pagi.

Komander UPP Kedah, Abd Latif Abd Rahman, berkata sepasukan empat anggotanya bersama enam pegawai KPDNKK Kubang Pasu menahan lori berkenaan untuk pemeriksaan sebelum mendapati kenderaan itu membawa petrol bersubsidi secara haram.

Pemandu diupah

“Siasatan mendapati petrol itu dibawa dari Pulau Pinang untuk dijual di kawasan ini. Suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan kita percaya dia diupah sindiket tertentu untuk menjalankan kerja ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran UPP di sini, semalam.

Turut hadir, Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Shahidan Ladin dan Timbalan Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kubang Pasu, Ahmad Fauzi Man.

Abd Latif berkata, pihaknya percaya lelaki itu dalam perjalanan untuk memindahkan petrol berkenaan ke beberapa stor kecil di sekitar daerah ini untuk dipindahkan menggunakan kenderaan lebih kecil.

“Modus operandi sindiket ialah bergerak jauh dari sempadan untuk mengelak ditahan pihak berkuasa dan biasanya ia bergerak di sekitar Changlun ke Jitra.

“Mereka akan memindahkan minyak itu di kawasan jauh dari sempadan iaitu dari lori tangki ke kenderaan atau stor kecil,” katanya.

Kes diserahkan kepada KPDNKK Kubang Pasu untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 20 (1) kerana memindahkan barangan kawalan di tempat tidak dibenarkan oleh pegawai bekalan dan Seksyen 22 AKB 1961, yang boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu dan RM250,000 atau setahun penjara, jika sabit kesalahan bagi syarikat.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal