Putrajaya - Pelakon antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh, individu pertama dilantik sebagai mentor program IM4U yang akan mengadakan kempen memerangi jenayah, keselamatan jalan raya dan mempromosikan keindahan alam negara ini.
Beliau menerima watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi Lembaga Amanah IM4U, di Pejabat Perdana Menteri, di sini semalam.
Yeoh berharap dapat membantu meningkatkan kesedaran dan menjadikan Malaysia negara paling selamat, pada masa depan.
Kawasan tumpuan
Antara kawasan tumpuan kempen termasuk tempat letak kereta, kawasan berhampiran stesen LRT dan perhentian bas yang sering berlaku jenayah membabitkan wanita.
Beliau yang pernah dilantik sebagai Duta Global Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA) berkata, Perdana Menteri ada memaklumkannya lebih 6,000 kematian dilaporkan setiap tahun di Malaysia akibat nahas jalan raya.
“Setiap kematian bukan membabitkan kehilangan satu nyawa semata-mata, malah menyebabkan ramai kanak-kanak hilang tempat bergantung dan keluarga hilang nafkah,” kata pelakon terkenal di Hong Kong dan Hollywood berasal dari Ipoh, Perak itu.
Pada masa sama, Yeoh berkata beliau juga akan membantu IM4U untuk meningkatkan semangat kesukarelawan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, selain berkongsi pengalaman sebagai pelakon.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment