London - Seorang tuan rumah terkejut mendapati rumah yang dibelinya dengan harga £450,000 (RM2.25 juta) menerusi satu lelongan berisi sampah sarap setinggi lebih satu meter setengah yang berlonggok selama bertahun-tahun.
Pemaju hartanah Mehmet Koch, 33, membeli rumah teres empat tingkat itu di utara London untuk dijadikan pelaburan bersama adiknya, Abbas.
Pasangan tua yang tinggal di situ sebelum ini tidak membenarkan Mehmet memasuki rumah itu sebelum dia membelinya. Apabila dia memperoleh kunci baru-baru ini, Mehmet terkejut mendapati rumah itu begitu semak sehingga dia tidak boleh menaiki tangga ke tingkat atas.
Mehmet yang syarikatnya, Kaya Properties memiliki 10 rumah di sekitar London, terkejut apabila membuka pintu rumah yang terletak di Finsbury Park itu.
“Saya sangka saya bermimpi. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Kami berkata sesama sendiri, Bagaimana kami hendak membersihkannya,” kata Mehmet.
Setiap bilik penuh dengan baju lama, beg beli-belah, pembungkus yang terbiar dan surat khabar lama setinggi paras bahu.
Mehmet tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas kerana ia juga penuh dengan sampah.
Lebih buruk lagi, rumah empat tingkat berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik atau gas dan berbau busuk.
“Kami simpati kepada mereka yang menetap di rumah ini sebelum ini. Bagaimana mereka boleh tinggal dengan keadaan seperti ini dalam abad ke-21?” kata Mehmet.
Menurut jiran, sepasang suami isteri berusia 70-an yang tidak bergaul dengan orang ramai menetap di rumah itu sejak 1960-an.
“Kami menjenguk rumah itu dari luar tetapi pasangan berkenaan yang tinggal di dalam tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya mengguna satu atau dua bilik rumah itu. Taman di luar dah macam hutan,” katanya. - Dailymail
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment