Polis, SKMM cari 4 lagi individu dipercayai rakan Melissa Gooi
Pekan: Wanita yang dipercayai terbabit isu menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah, menerusi laman sosial, Facebook ditahan berhampiran kediamannya di Taman Nirwana, Ampang, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pemilik akaun dengan nama Melissa Gooi, 32, ditahan dalam serbuan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), jam 9.30 pagi semalam. Wanita dipercayai seorang pengurus pemasaran syarikat produk kecantikan itu dikatakan menyembunyikan diri sejak identitinya didedahkan beberapa laman blog.
Menghina Tuanku
Sementara itu di Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Tajudin Md Isa, berkata Gooi, ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, kerana menghina ucapan Seri Paduka, dalam laman sosial Facebook pada 1 Jun lalu.
“Dia ditahan selepas polis dan SKMM menerima laporan dari seluruh negara berhubung kenyataan berbentuk penghinaan ke atas titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Baginda.
“Sehingga kini siasatan lanjut sedang dilakukan polis dan SKMM selain mengesan empat lagi kenalan Facebook wanita itu yang turut memberikan komen berbentuk penghinaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mereka dikenal pasti sebagai Weennee Tan; Shuh Chien Loo; Hun Keat Wong dan Carol Tay, yang dipercayai kenalan Melissa.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dalam kenyataannya pula meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai empat individu itu menghubungi Rakan Cop Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21159999, atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tulis kata-kata penghinaan
Sebelum ini, Gooi dan rakan-rakannya dikatakan menulis kata-kata penghinaan di laman sosial berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong bertitah yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang ditentukan mereka sendiri.
Berikutan itu, berpuluh-puluh laporan polis dibuat di samping mencetuskan bantahan orang ramai.
Bantu siasatan
Sementara itu, SKMM dalam kenyataannya berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.
“Serbuan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat dan siasatan yang diterima daripada orang ramai yang tampil bekerjasama dengan JSJK dan SKMM sehingga membawa kepada penahanan itu.
Menurut kenyataan itu, SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja negara ini.
Sementara itu, Gooi dibebaskan dengan jaminan polis lewat petang semalam, manakala telefon bimbitnya dirampas untuk tujuan siasatan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment