Operasi Menyelamat Dihentikan - Tragedi Jambatan Ke 2

on Sunday, June 9, 2013

tragedi jambatan ke 2 pulau pinang

Georgetown - Selepas 48 jam, operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan tanjakan susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang, dekat Batu Maung di sini, ditamatkan jam 6 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata ia berikutan hasil pemeriksaan unit anjing pengesan Bomba dan Penyelamat mendapati tiada mangsa atau kenderaan lain terperangkap di bawah runtuhan itu.

“Kita sudah mengadakan perbincangan bersama pasukan keselamatan dan memutuskan supaya operasi ini dihentikan.

“Pemeriksaan dilakukan sebanyak tiga kali sejak pagi tadi (semalam) dengan bantuan empat anjing pengesan di setiap ruang yang ada dalam runtuhan itu dan kita berpuas hati bahawa tiada lagi mangsa di kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian 7.15 petang Khamis lalu, sebahagian Jambatan Kedua Pulau Pinang yang masih dalam pembinaan di Batu Maung di sini, runtuh menyebabkan seorang lelaki maut selepas terperangkap di bawah runtuhan konkrit seberat kira-kira 300 tan.

Runtuhan terlalu berat

Mangsa, Tajudin Zainal Abidin, 45, ditemui pada jam 8.45 malam kelmarin, kira-kira 25 jam selepas operasi mengeluarkan mayat dijalankan.

Pasukan penyelamat sebelum ini berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta jenis PERODUA Kelisa berikutan runtuhan terlalu berat dan jentera digunakan juga tidak mampu mengangkat konkrit terbabit.

Serah kepada kontraktor

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada kontraktor untuk melakukan kerja pembersihan sisa runtuhan dan memaklumkan bahawa jalan di lokasi kejadian ditutup sementara kepada orang awam.

“Kita isytihar operasi menyelamat mangsa ditamatkan dan akan serahkan tugas selanjutnya kepada pihak kontraktor untuk menjalankan kerja pembersihan sisa konkrit.

“Berikutan itu juga, laluan ini akan ditutup sementara waktu kepada orang awam sehingga semua kerja oleh pihak kontraktor selesai,” katanya.

Mengulas mengenai kelewatan operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, Abdul Rahim berkata, usaha itu mengambil masa lama disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, anggota keselamatan perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk memastikan keadaan mayat tidak terjejas dengan kerja membersihkan sisa runtuhan.

“Selain berdepan kesukaran untuk mengangkat konkrit yang berat, kita perlu memastikan kerja mengalihkan sisa runtuhan tidak menjejaskan keadaan mangsa demi menjaga hati warisnya,” katanya.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BlogHancus All Rights Reserved
Get smart with the Thesis Blogger Template from Forblogger.net|Design byBudak Nakal