Indonesia enggan terima bantuan kota Singa jika jumlah terlalu kecil
Jakarta: Indonesia semalam menuduh Singapura bersikap seperti budak kecil dengan menggembar-gemburkan masalah jerebu teruk akibat pembakaran hutan di Sumatera yang menyelubungi republik itu.
“Singapura tidak sepatutnya bersikap macam budak-budak dan membuat gempar. Ini bukan apa yang dikehendaki Indonesia, ia semula jadi,” kata menteri yang menyelaras reaksi Indonesia kepada krisis jerebu, Agung Laksono, kepada wartawan di Jakarta.
Beliau berkata, Jakarta akan menolak sebarang tawaran bantuan kewangan daripada Singapura kecuali jumlahnya besar.
“Kecuali Singapura mahu memberikan kami sejumlah besar wang, kami tidak mahu menerimanya.
“Jika ia cuma setengah juta atau sejuta dolar, kami tidak perlukan ia. Lebih baik gunakan bajet sendiri,” katanya.
Kenyataan dibuat ketika negara jiran Indonesia bersedia mengadakan rundingan mengejut di Jakarta untuk mengurangkan jerebu teruk yang menyelubungi Singapura.
Pada paras bahaya
Indeks pencemaran udara Singapura sekali lagi berada pada paras bahaya dengan bacaan 301 tengah hari, menghampiri rekod 321 yang dicatatkan malam sebelumnya. Sebarang bacaan melebihi 200 dianggap bahaya kepada kesihatan.
Laksono berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti syarikat bertanggungjawab menyebabkan jerebu.
“Ada syarikat Indonesia, Singapura dan Malaysia di situ,” katanya, mengulangi komen terdahulu daripada pegawai di Jakarta yang tidak mahu firma Indonesia dipersalahkan sepenuhnya.
Gesa tindakan berkesan
Singapura semalam menggesa tindakan lebih berkesan daripada Indonesia ketika kualiti udara kekal pada paras tidak sihat untuk hari kedua kerana pembakaran hutan di negara jirannya itu, mengganggu perniagaan di republik berkenaan.
Pekerjaan di beberapa kawasan pembinaan di Singapura perlahan dengan tidak ramai pekerja dilihat dan restoran makanan segera McDonald’s menggantung perkhidmatan penghantaran.
Tentera Singapura turut menggantung latihan di luar.
“Tiada negara atau perbadanan mempunyai hak mencemarkan udara dengan mengorbankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Singapura,” kata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Vivian Balakrishnan pada laman Facebooknya.
Ketua Agensi Alam Sekitar Kebangsaan, Andrew Tan, menghadiri pertemuan yang diadakan di Jakarta, katanya.
“Kami mahukan tindakan muktamad,” katanya.
Pembakaran hutan secara haram di Sumatera, barat Singapura, untuk membersihkan ladang bagi penanaman kelapa sawit menjadi masalah kronik terutama ketika musim panas daripada Jun hingga September.
Singapura, yang selalu berbangga dengan persekitarannya yang bersih, melihat kualiti udaranya merosot kepada paras tidak sihat Isnin lalu. - AFP
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment